Jabatan Pendaftaran Negara (JPN): Peranan dan Fungsi
Setiap daripada kita pasti pernah menghadirkan diri ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuat kad pengenalan pada usia 12 tahun.
Bagi ibu bapa yang pernah mendapat bayi juga, anda pastinya pernah menghadirkan diri ke JPN untuk mendaftarkan kelahiran anak anda.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Ia bertanggungjawab mendaftar peristiwa-peristiwa penting setiap individu seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian.
Di samping itu, JPN juga bertanggungjawab dalam menentukan taraf kewarganegaraan dan seterusnya mengeluarkan dokumen identiti individu dalam bentuk kad pengenalan kepada mereka yang layak.
Laman web rasmi JPN bolehdilayari di alamat https://www.jpn.gov.my/my/
Sejarah penubuhan JPN
Jabatan Pendaftaran Negara ditubuhkan selepas Peraturan-peraturan Dharurat (Kawasan – kawasan Pendaftaran) 1948 dikuatkuasakan sebagai salah satu langkah untuk menentang ancaman keselamatan.
Peraturan-peraturan ini memerlukan semua penduduk supaya mendaftar dan memperolehi kad pengenalan apabila mencapai umur 12 tahun ke atas.
Jabatan ini juga telah diberi fungsi tambahan iaitu untuk mendaftarkan semua peristiwa penting yang merangkumi pendaftaran kelahiran, kematian,anak angkat, perkahwinan, perceraian dan kewarganegaraan.
Semenjak penubuhannya, Jabatan ini telah berpindah ke beberapa buah bangunan di Kuala Lumpur dan Selangor.
Pada awalnya, Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara terletak di Bangunan Sulaiman, Jalan Damansara, Kuala Lumpur. Pada 1958, Ibu Pejabat ini telah berpindah ke Bangunan Persekutuan Petaling Jaya untuk menampung pertambahan rekod-rekod, dokumen dan kakitangan yang meningkat.
Selepas beberapa tahun, Ibu Pejabat JPN sekali lagi berpindah ke Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan kekal di sini sehingga sekarang.
Mulai Disember 2004, Ibu Pejabat JPN ini telah beroperasi di Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Dasar JPN
- Visi JPN : Peneraju Pengurusan Rekod Kependudukan Yang Berintegriti Demi Kedaulatan Negara.
- Misi JPN : Memastikan JPN Kekal Sebagai Agensi Rujukan Utama Negara Dalam Pengurusan Rekod Pengenalan Diri Melalui Transformasi Digital.
- Dasar Kualiti: Jabatan Pendaftaran Negara Komited Untuk Memberi Perkhidmatan Yang Berkualiti, Cekap, Tepat Dan Mesra Demi Kepentingan Negara.
- Slogan: Rakyat Di Hati JPN
Peranan JPN
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berperanan untuk mendaftarkan maklumat individu seperti:
- Kelahiran
- Kad Pengenalan
- Perkahwinan (Bukan Islam)
- Kewarganegaraan
- Kematian
Pertanyaan dan maklumat lanjut
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan serta perkhidmatan yang disediakan oleh pihak JPN, sila berhubung dengan pegawai yang bertugas di talian:
Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya,
No 20, Persiaran Perdana, Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ,
62551 Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Telefon: 03-8000 8000 Faks: 03-8880 8288
Emel : [email protected]