Potensi Daun Durian Belanda dan Risikonya Pada Kesihatan

Sejak beberapa tahun ini, kelebihan daun durian belanda telah mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia.

Sesetengah pihak turut mendakwa bahawa durian belanda juga mempunyai kesan sehingga 10,000 kali lebih kuat dari ubat kemoterapi.

Disebabkan itu, kita boleh dapati banyak produk berasaskan daun ini terjual di pasaran sama ada di kedai jamu atau secara atas talian.

Selain itu, ada yang turut mencadangkan petua merebus daun ini untuk melegakan pelbagai penyakit.

Persoalannya, benarkah tumbuhan ini memiliki khasiat seperti yang diwar-warkan ramai? Kalau nak tahu, ayuh ikuti perkongsian kami dengan lebih lanjut.

daun durian belanda
Sumber : Facebook Petua Ibu

Khasiat Daun Durian Belanda dan Potensinya Pada Kesihatan

1. Mempunyai Komponen Antikanser

Juga dikenali sebagai graviola tea, teh yang dihasilkan dengan merebus daun durian belanda dikatakan mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan khususnya untuk pesakit kanser.

Beberapa kajian mengesahkan kandungan antikanser dalam daun ini, namun masih belum ada bukti yang menunjukkan ia mampu merawat kanser yang dialami pesakit.

2. Kaya Dengan Antioksidan

Daun serta buah durian belanda mengandungi pelbagai komponen antioksidan termasuk phytosterol, tannin dan flavonoid.

Seperti yang kita tahu, antioksida mempunyai potensi yang tinggi untuk melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit.

3. Mencegah Keradangan

Khasiat antioksida yang terkandung dalam daun ini juga dikatakan dapat mengurangkan keradangan apabila kerosakan sel berlaku.

Ini sekaligus mengesyorkan potensinya sebagai antiradang.

Risiko dan Kesan Sampingan

Meskipun daun ini dikatakan mempunyai potensi yang tinggi untuk bertindak sebagai antikanser, namun kebanyakan kajian yang dilakukan hanyalah pada fasa ujian haiwan atau in-vitro sahaja.

Dr Suhazeli Abdullah, pakar perubatan keluarga turut menyatakan bahawa untuk memastikan keberkesanan sesebuah ubat atau herba, ia perlu melalui ujian klinikal kepada sebilangan manusia dan dicatat dalam satu metodologi kajian.

Kaedah ini penting bagi mengelakkan bias atau kecenderungan.

Dengan erti kata lain, kajian klinikal terhadap pesakit masih perlu dilakukan untuk mengesahkan keberkesanan daun durian belanda ini.

Beliau juga menegaskan bahawa testimoni dalam apa jua bentuk sekalipun tidak boleh dijadikan bahan rujukan oleh pengguna.

Memorial Sloan Kettering Cancer Center turut menasihatkan orang ramai supaya tidak makan durian belanda atau gunakan daunnya jika pesakit :

  • Sedang mengambil ubat tekanan darah tinggi
  • Sedang mengambil ubat diabetes
  • Sedang menjalani sesi pengimejan nuklear

Pusat kanser tersebut turut mengingatkan orang ramai bahawa pengambilan durian belanda serta daunnya boleh mengakibatkan beberapa kesan sampingan seperti :

  • Keracunan pada organ seperti buah pinggang dan hati
  • Masalah kesihatan terutamanya untuk pesakit kencing manis dan darah tinggi
  • Gangguan pergerakan dan myeloneurpathy (kondisi dengan simptom yang sama dengan penyakit Parkinson).
daun durian belanda

Sesetengah pesakit mungkin akan terdorong untuk mencuba daun durian belanda ini disebabkan perkongsian di media sosial atau saranan orang terdekat.

Meskipun begitu, ia tidak sesuai untuk diambil oleh semua pesakit. Pastikan anda mendapat nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkannya.

Sumber : WebMD, verywellfit.com, Medical Mythbuster Malaysia

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!