Ramai masih menganggap hak cipta hanya berkaitan artis, penyanyi atau syarikat penerbitan. Sedangkan penulis blog, pencipta kandungan media sosial, pereka grafik, jurugambar dan pembangun perisian juga mempunyai hak terhadap karya yang mereka hasilkan. Disebabkan kurang pendedahan, tidak ramai yang tahu bahawa proses cara daftar copyright di Malaysia kini jauh lebih mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal MyIPO .
Sebelum membuat permohonan, ada beberapa perkara penting yang wajar difahami supaya anda tahu apa yang sebenarnya dilindungi oleh hak cipta dan mengapa pendaftaran ini boleh menjadi nilai tambah kepada karya anda.
Baca juga: Ada Kad OKU, Banyak Kelebihannya. Ini Cara Daftar Online JKM
Apa Sebenarnya Yang Dilindungi Oleh Copyright?
Secara ringkas, anda perlu tahu bahawa copyright atau hak cipta ialah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta sesuatu karya untuk mengawal penggunaan karya tersebut di bawah Akta Cipta 1987 yang mengiktiraf hak pencipta terhadap hasil kerja intelektual mereka.
Mungkin hari ini ada yang masih menganggap hak cipta hanya melibatkan buku atau lagi. Hakikatnya, perlindungan hak cipta merangkumi pelbagai jenis karya kreatif dan intelektual yang dihasilkan dalam bentuk yang boleh dibuktikan kewujudannya.
Lagi menarik untuk memiliki copyright bagi karya anda, ia tidak bergantung kepada hasil keuntungan atau nilai komersial yang tinggi.
Kategori Karya Yang Dilindungi Oleh Copyright
Menurut MyIPO, terdapat beberapa kategori utama karya yang layak mendapat perlindungan hak cipta.
1. Karya Sastera (Literary Works)
Kategori ini meliputi pelbagai bentuk penulisan dan bahan intelektual seperti:
- Buku
- Artikel
- Manuskrip
- Skrip siaran
- Tesis
- Laporan
- Ucapan, syarahan dan khutbah
- Ensiklopedia
- Kamus
- Jadual atau susunan data
- Program komputer seperti source code dan framework
Ramai pencipta kandungan tidak menyedari bahawa artikel blog, e-buku, modul latihan dan bahan akademik juga termasuk dalam kategori karya sastera yang boleh didaftarkan.
2. Karya Seni (Artistic Works)
Karya seni merangkumi hasil kreativiti yang dapat dilihat secara visual seperti:
- Lukisan
- Grafik
- Fotografi
- Kolaj
- Karikatur
- Seni ukir
- Model bangunan 2D dan 3D
- Reka bentuk seni bina
- Seni digital
- Kandungan Virtual Reality (VR)
- Kandungan Augmented Reality (AR)
Jika anda seorang pereka grafik, ilustrator, jurugambar atau pencipta kandungan visual, karya anda biasanya berada dalam kategori ini.
3. Karya Muzik (Musical Works)
Karya muzik melibatkan:
- Gubahan muzik
- Nota muzik atau muzik skor
Perlindungan ini diberikan kepada komposisi muzik itu sendiri dan bukan semata-mata rakaman lagu.
4. Filem
Kategori filem merangkumi karya yang dipersembahkan dalam bentuk gambar bergerak seperti:
- Rakaman video
- Filem pendek
- Dokumentari
- Animasi
- Kandungan multimedia
- Video permainan interaktif
- Kandungan VR dan AR
Elemen seperti rakaman gambar dan kesan bunyi yang membentuk sesuatu filem juga termasuk dalam perlindungan ini.
5. Rakaman Bunyi (Sound Recording)
Kategori ini melibatkan:
- Lagu yang dirakam di studio
- Podcast
- Rakaman audio
- Rakaman suara
- Sebarang penetapan bunyi yang boleh dimainkan semula
Hak cipta dalam kategori ini melindungi rakaman tersebut sebagai satu hasil kerja yang berasingan daripada karya muzik asal.
6. Siaran (Broadcast)
Perlindungan siaran meliputi:
- Siaran televisyen
- Siaran radio
- Siaran digital
- Penstriman yang disiarkan kepada orang awam
Hak cipta diberikan kepada bentuk penyiaran sama ada melalui wayar atau tanpa wayar yang membolehkan kandungan diterima oleh orang ramai.
7. Karya Terbitan (Derivative Works)
Karya terbitan ialah karya baharu yang dihasilkan daripada karya asal, antaranya:
- Terjemahan buku
- Adaptasi novel kepada filem
- Gubahan semula lagu
- Penyusunan atau pengumpulan data (database)
- Pengubahsuaian karya sedia ada yang memenuhi syarat hak cipta

Baca juga: SSM Percuma Untuk B40 & Pelajar IPT – Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP 2026)
Tidak Semua Perkara Boleh Dilindungi Oleh Copyright
Satu perkara yang sering disalah fahami ialah hak cipta tidak melindungi idea semata-mata.
Sebagai contoh, idea untuk menulis novel fantasi, menghasilkan aplikasi baharu atau mencipta jalan cerita tertentu tidak boleh didaftarkan sebagai hak cipta. Sebaliknya, hak cipta hanya melindungi ekspresi idea tersebut, seperti manuskrip yang telah ditulis, ilustrasi yang telah dihasilkan atau kod program yang telah dibangunkan.
Akta Hak Cipta 1987 juga tidak memberikan perlindungan kepada:
- Idea
- Konsep
- Kaedah pengendalian
- Prosedur
- Formula
- Prinsip matematik
Atas sebab itu, seseorang tidak boleh menuntut hak cipta ke atas sesuatu idea yang masih belum diterjemahkan ke dalam bentuk karya yang nyata.
Cara Daftar Copyright Secara Online Langkah Demi Langkah
Berkongsi dari pemilik akaun Facebook Aidi Ahmi semasa beliau mendaftar BiblioMagika, berikut adalah cara daftar copyright mengikut pengalamannya.
1. Daftar & Login MyIPO
Daftar akaun di portal MyIPO dan log masuk menggunakan akaun tersebut. Selepas berjaya log masuk, lengkapkan profil peribadi anda dengan maklumat yang diperlukan sebelum meneruskan permohonan hak cipta.



2. Lengkapkan Maklumat Individu
Sebelum membuat permohonan copyright, pergi ke bahagian My Account dan pilih Maintain Individual/Company. Klik Add untuk menambah maklumat diri dan tandakan pilihan “Set as myself”.
Isi semua maklumat yang diminta seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, e-mel dan nombor telefon. Setelah dihantar, MyIPO akan menyemak maklumat tersebut. Proses pengesahan biasanya mengambil masa sekitar satu hari bekerja sebelum diluluskan.
3. Mohon Sijil Digital (Digital Certificate)
Selepas maklumat individu diluluskan, anda perlu memohon Digital Certificate melalui Pos Digicert. Sijil digital ini diperlukan sebagai tandatangan elektronik untuk menghantar permohonan copyright.
Proses kelulusan biasanya mengambil masa antara tiga hingga lima hari bekerja. Sepanjang tempoh ini, anda mungkin akan menerima panggilan daripada pihak Pos Digicert untuk tujuan pengesahan. Oleh itu, pastikan anda menjawab panggilan yang diterima bagi mengelakkan kelewatan proses
4. Mulakan Permohonan Copyright
Apabila akaun dan Digital Certificate telah siap, anda boleh mula membuat permohonan hak cipta. Pergi ke menu Copyright dan pilih Apply for a CVN (CR1).
Seterusnya, pilih kategori karya yang paling sesuai dengan hasil kerja anda.
5. Muat Naik Dokumen Karya
Selepas memilih kategori, muat naik dokumen yang boleh membuktikan kewujudan karya tersebut.
Anda tidak semestinya perlu memuat naik keseluruhan karya. Dalam banyak kes, tangkap layar (screenshot), salinan PDF atau dokumen berkaitan yang menunjukkan karya itu benar-benar wujud sudah memadai. Pastikan saiz fail tidak melebihi had yang ditetapkan oleh sistem.
6. Isi Maklumat Karya
Masukkan tajuk karya dan maklumat berkaitan karya yang ingin didaftarkan.
Anda juga perlu mengisi tarikh penciptaan karya (Creation Date). Tarikh ini merujuk kepada bila karya tersebut mula dihasilkan atau direkodkan dalam bentuk yang boleh dibuktikan. Sebagai contoh, bagi artikel atau buku, ia boleh merujuk kepada tarikh manuskrip disiapkan.
Bagi lagu atau rakaman audio pula, ia merujuk kepada tarikh rakaman dibuat.
7. Pilih Status Penerbitan
Pada bahagian ini, anda perlu menyatakan sama ada karya tersebut telah diterbitkan atau belum.
Pilih Unpublished jika karya masih belum diterbitkan, disiarkan atau dikongsikan kepada orang ramai. Jika karya telah dijual, dimuat naik ke internet, diterbitkan atau boleh diakses oleh orang awam, pilih Published.
Maklumat ini digunakan untuk tujuan rekod dan pentadbiran.
8. Buat Pengisytiharan Dan Tandatangan Digital
Sebelum menghantar permohonan, anda perlu membuat pengisytiharan bahawa anda ialah pencipta atau pemilik karya tersebut.
Kemudian masukkan ID dan PIN Digital Certificate untuk menandatangani permohonan secara elektronik sebelum menekan butang Submit.
9. Buat Bayaran Dan Tunggu Kelulusan
Setiap permohonan pendaftaran hak cipta dikenakan bayaran sebanyak RM200.
Selepas pembayaran dibuat, pihak MyIPO akan menyemak permohonan anda. Jika tiada sebarang masalah, anda akan menerima e-mel yang memaklumkan bahawa sijil hak cipta telah diluluskan dan sedia untuk dimuat turun.
Untuk mendapatkan sijil, log masuk semula ke portal MyIPO dan pilih menu Print Certificate.
10. Muat Turun Dan Simpan Sijil
Sebaik sahaja sijil tersedia, muat turun dan simpan salinan tersebut dengan selamat.
Sijil yang dijana oleh sistem hanya boleh dimuat turun sekali, jadi anda disarankan menyimpan salinan digital dan mencetaknya sebagai rekod. Simpan juga semua dokumen berkaitan permohonan kerana ia boleh digunakan sebagai bukti pemilikan karya pada masa hadapan.

Untuk lebih mudah, anda boleh rujuk Panduan Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta yang dikeluarkan oleh MyIPO.
Berapa Kos Untuk Daftar Copyright Di Malaysia?
| Perihalan | RM | Borang |
|---|---|---|
| (a) Pemberitahuan hak cipta dalam sesuatu karya [subperaturan 5(2) and 5(3)] | 200.00 | CR-1 |
| (b) Fi tambahan bagi pemberitahuan hak cipta dalam sesuatu karya oleh seseorang wakil atau seseorang yang bertindak bagi pihak pemunya hak cipta karya atau pemegang serah hak hak cipta [subperaturan 5(3) and 14(2)] | 30.00 | CR-3 |
| (c) Fi pentadbiran bagi suatu permohonan pemberitahuan hak cipta yang dibuat secara manual [subperaturan 5(3A)] | 50.00 | – |
| Deposit salinan elektronik karya bagi tiap-tiap 1GB tambahan selepas 3GB [subperaturan 5(2) and 5(3)] | 20.00 | – |
| Permintaan bagi pindaan pemberitahuan hak cipta [peraturan 6] | 30.00 | CR-4 |
| Permintaan bagi pembetulan kesilapan perkeranian [peraturan 9] | 30.00 | CR-6 |
| Pembetulan, pemadaman atau pindaan mana-mana catatan dalam Daftar [peraturan 10] | – | CR-7 |
| Permintaan bagi pemeriksaan Daftar [peraturan 11] | 20.00 (setiap jam) | CR-8 |
| Permintaan bagi— [subperaturan 8(2) and peraturan 12] (a) sijil pemberitahuan hak cipta tambahan | 100.00 (setiap salinan) | CR-9 |
| (b) petikan pemberitahuan yang diperakui sah | 10.00 (setiap muka surat) | CR-9 |
| (c) petikan yang tidak diperakui sah (i) salinan cetak | 5.00 (setiap muka surat) | CR-9 |
| (ii) salinan elektronik (A) 1KB hingga 1GB | 30.00 | CR-9 |
| (B) setiap tambahan 1GB | 10.00 | CR-9 |
| Pemberitahuan pertukaran alamat [peraturan 13] | 20.00 | CR-10 |
| Pemberitahuan penyerahhakan, lesen, pemberian berwasiat atau kuat kuasa undang-undang [peraturan 14] | 50.00 | CR-11 |
Apa Anda Dapat Selepas Pendaftaran?
Selepas pendaftaran berjaya, anda akan mendapat Notis Pemberitahuan Hak Cipta dan Sijil Hak Cipta seperti di bawah:


Adakah Copyright Perlu Diperbaharui Dari Semasa Ke Semasa?
Menurut MyIPO, tempoh perlindungan copyright perlu diperbaharui dari semasa ke semasa bergantung kepada jenis karya yang dihasilkan.
| Jenis Karya | Tempoh Perlindungan |
|---|---|
| Karya Sastera, Muzik dan Seni | Sepanjang hayat pencipta + 50 tahun selepas kematian |
| Filem dan Rakaman Bunyi | 50 tahun dari tarikh diterbitkan atau dirakam |
| Siaran | 50 tahun dari tarikh siaran pertama |
| Hak Pelaku | 50 tahun dari tarikh persembahan atau rakaman |
Kesilapan Yang Sering Menyebabkan Permohonan Copyright Tertangguh
Walaupun cara daftar copyright boleh dilakukan secara online, tetapi ada sesetengah kes boleh menyebabkan proses copyright tertangguh.
Hal ini disebabkan oleh penggunaan unsur-unsur yang dilarang dalam karya yang ingin didaftarkan, terutamanya jika melibatkan elemen penjenamaan atau logo.
Antara unsur yang boleh menimbulkan masalah semasa semakan termasuk:
- Kandungan yang menyinggung sensitiviti masyarakat
- Lambang atau simbol rasmi kerajaan
- Bendera negara
- Lambang ASEAN
- Lambang kebesaran diraja
- Lencana polis atau tentera
- Istana Diraja
- Simbol rasmi kerajaan atau agensi awam
- Unsur yang tidak bermoral
- Unsur yang bersifat skandal atau tidak wajar

Begitu juga samanya sekiranya karya anda mengandungi nama tempat atau lokasi tertentu. Berdasarkan panduan MyIPO, penggunaan nama seperti negeri, bandar atau kawasan tertentu dalam sesuatu permohonan mungkin memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
Sebagai contoh, penggunaan nama seperti “Selangor”, “Kuala Pilah”, “Terengganu” atau lokasi lain dalam sesuatu tanda atau identiti komersial boleh memerlukan pengesahan rasmi sebelum diluluskan.

Apakah Yang Dikira Sebagai Pelanggaran Hak Cipta?
Pelanggaran hak cipta berlaku apabila seseorang menggunakan karya yang dilindungi tanpa kebenaran pemilik hak cipta.
Antara contoh pelanggaran yang biasa berlaku termasuk:
- Menyalin artikel, buku atau kandungan digital tanpa izin
- Memuat naik semula video atau gambar milik orang lain tanpa kebenaran
- Menjual salinan cetak rompak
- Mengimport salinan langgaran ke Malaysia
- Mengedar atau menyewakan salinan langgaran untuk tujuan komersial
- Menyimpan salinan langgaran untuk tujuan perdagangan
- Mempamerkan salinan langgaran kepada orang awam
Walaupun internet memudahkan perkongsian kandungan, penggunaan karya tanpa kebenaran masih boleh dianggap sebagai pelanggaran hak cipta sekiranya tidak mendapat persetujuan pemilik yang sah.

Adakah Daftar Copyright Berbaloi Untuk Melindungi Karya Anda?
Bagi saya ia amatlah berbaloi. Apabila sesuatu karya dilindungi oleh hak cipta, pemilik karya mempunyai beberapa hak penting yang diiktiraf oleh undang-undang.
1. Hak Perundangan
Pemilik hak cipta mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan karya mereka tanpa kebenaran.
Sekiranya berlaku pelanggaran hak cipta, tindakan boleh diambil melalui proses sivil atau jenayah. Penguatkuasaan biasanya melibatkan pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
2. Hak Ekonomi
Hak ekonomi membolehkan pemilik karya memperoleh manfaat kewangan daripada hasil kerja mereka.
Antara hak ekonomi yang diberikan termasuk:
- Hak pengeluaran semula karya
- Hak pengedaran
- Hak penyampaian kepada orang awam
- Hak pertunjukan dan tayangan
- Hak sewa komersial
Hak-hak ini boleh dipindahkan melalui lesen, perjanjian atau wasiat mengikut peruntukan undang-undang.
3. Hak Moral
Selain hak ekonomi, pencipta juga mempunyai hak moral yang melindungi hubungan mereka dengan karya yang dihasilkan.
Hak Paterniti membolehkan pencipta diiktiraf sebagai pengarang atau pencipta asal sesuatu karya.
Hak Integriti pula membolehkan pencipta membantah sebarang pengubahsuaian, penyelewengan atau pencacatan terhadap karya yang boleh menjejaskan reputasi mereka.
Soalan Lazim Cara Daftar Copyright
Hak cipta sebenarnya wujud secara automatik sebaik sahaja sesuatu karya asli dihasilkan dalam bentuk yang boleh dibuktikan. Walau bagaimanapun, pendaftaran copyright melalui MyIPO boleh dijadikan rekod rasmi dan bukti tambahan pemilikan karya sekiranya berlaku pertikaian pada masa hadapan.
Sesiapa sahaja yang menghasilkan karya asli boleh membuat pendaftaran hak cipta. Ini termasuk penulis, pencipta kandungan, pereka grafik, jurugambar, pemuzik, pembangun perisian, penyelidik dan individu yang menghasilkan karya kreatif lain.
Setiap permohonan pendaftaran copyright melalui MyIPO dikenakan bayaran sebanyak RM200 bagi satu karya. Pemohon juga mungkin perlu membayar yuran Digital Certificate yang diperlukan untuk menghantar permohonan secara dalam talian.
Tempoh kelulusan bergantung kepada semakan MyIPO dan kelengkapan dokumen yang dihantar. Berdasarkan pengalaman sesetengah pemohon, sijil copyright boleh diperoleh dalam masa 1 hingga 2 hari bekerja selepas permohonan lengkap dihantar.
Antara karya yang layak didaftarkan termasuk:
Buku dan artikel
Manuskrip dan tesis
Grafik dan fotografi
Lukisan dan ilustrasi
Muzik dan rakaman bunyi
Video dan filem
Program komputer
Podcast
Terjemahan dan karya adaptasi
Tidak. Hak cipta tidak memerlukan pembaharuan tahunan seperti sesetengah lesen atau tanda dagangan. Setelah didaftarkan, perlindungan hak cipta tertakluk kepada tempoh perlindungan yang ditetapkan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
Antara contoh pelanggaran hak cipta termasuk menyalin artikel tanpa kebenaran, menggunakan gambar orang lain tanpa izin, menjual salinan cetak rompak, memuat naik semula video milik pihak lain atau mengedar karya berhak cipta tanpa kebenaran pemilik asal.
Untuk dapatkan lebih banyak soalan lazim berkaitan Copyright, anda boleh rujuk Portal Rasmi MyIPO
Siapa yang Perlu Dihubungi?
Sekiranya anda mempunyai pertanyaan tentang cara daftar copyright, anda boleh hubungi nombor berikut:
- Talian Utama: 03–7496 8900
- Talian Harta Intelek: 03–7496 8989
Atau, walk in sahaja ke kaunter operasi pada waktu yang ditetapkan:
- Waktu Operasi Kaunter (Isnin – Jumaat): 9.00 pagi – 4.30 petang
- Waktu Rehat Kaunter (Jumaat): 12.15 tengah hari – 2.45 petang
Alamat setiap cawangan dan kaunter MyIPO boleh anda dapatkan di Portal MyIPO




