Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

PUTRAJAYA, 10 Oktober 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Belanjawan 2027 merupakan komitmen kerajaan terhadap rakyat yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan MADANI Kelima dirangka dengan mengambil kira keperluan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk usaha merangsang pertumbuhan ekonomi, memperbaiki peluang pekerjaan serta menangani isu gaji dan pendapatan minimum.

Menurut beliau, belanjawan bukan hanya melibatkan pengurusan kewangan negara, tetapi turut menjadi satu janji antara kerajaan dan rakyat yang perlu ditunaikan.

Beliau berkata demikian dalam Program Khas Belanjawan MADANI 2027 yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

Anwar menjelaskan bahawa kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak bagi memastikan dasar dan perancangan yang dilaksanakan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Belanjawan 2027 yang bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dirangka untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, memelihara kebajikan masyarakat serta memperkukuh pembangunan negara.

Katanya, perhatian kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi, malah turut meliputi isu kehidupan harian rakyat, termasuk kebajikan pekerja gig, pemandu e-hailing, penghantar p-hailing dan pendapatan minimum.

Sumber: Berita RTM

Beliau menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan perlu disertai usaha memastikan rakyat tidak terus dibebani kos kehidupan dan cabaran ekonomi.

Justeru, pendekatan belanjawan perlu mengambil kira keadaan sebenar yang dihadapi masyarakat, merangkumi keperluan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Anwar turut menekankan bahawa pelaksanaan Belanjawan 2027 mencerminkan tanggungjawab kerajaan dalam mengurus negara serta menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat.

Menurutnya, setiap perancangan yang diumumkan perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh supaya manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat.

Semalam, beliau membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM510 bilion bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memartabatkan kehidupan masyarakat di semua peringkat.

Belanjawan berkenaan menggariskan lapan bidang utama yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat, pengukuhan daya tahan negara dan persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.

Anwar menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai satu komitmen nasional untuk memastikan kemajuan negara dapat diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik dan bermaruah, di samping membina masa depan Malaysia yang lebih kukuh untuk generasi akan datang.

Video: Wawancara Khas Belanjawan 2027 | Astro Awani

Sumber: BERNAMA

Penulis
Seorang Digital Nomad yang sukakan muzik dan buku