Amalan Wanita Haid Ketika Ramadan – Mufti WP

6 Amalan boleh dilakukan Wanita Haid semasa bulan ramadan
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bulan Ramadan adalah bulan mulia yang penuh dengan keberkatan. Ia menjanjikan ganjaran pahala berganda untuk setiap kebaikan yang dilakukan. 

Umat Islam digalakkan untuk merebut peluang ini melakukan sebanyak mungkin kebaikan termasuklah ibadah sunat terutamanya menjelang 10 malam terakhir Ramadan. 

Namun, bagi wanita yang sedang haid, terdapat beberapa ibadah yang tidak dapat dilakukan seperti puasa dan solat. 

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka tidak dapat meraih keberkatan Ramadan. Terdapat pelbagai amalan yang masih boleh dilakukan untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

BACA JUGA: Tarikh 10 Malam Akhir Ramadan 2025 – Kelebihan & Amalan Sunat

Amalan Wanita Haid Ketika Ramadan

Berikut adalah beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh wanita yang sedang haid semasa bulan Ramadan:

1. Memperbanyakkan Zikir dan Selawat

Wanita yang sedang haid boleh memperbanyakkan zikir dan selawat. Mengucapkan kalimah-kalimah seperti tahmid, tasbih dan takbir boleh menjadi sumber pahala yang besar. 

Rasulullah SAW bersabda: “Bertasbih 100 kali maka ditulislah untuknya 1000 kebaikan atau dihapus darinya 1000 kesalahan.” (HR Imam Muslim)

2.  Banyakkan Beristighfar

Seterusnya, amalan wanita haid ketika Ramadan yang sangat dianjurkan adalah beristighfar. Istighfar atau memohon keampunan kepada Allah SWT adalah amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang istiqamah membaca Istighfar, maka Allah akan memberinya jalan keluar dari setiap kesulitan, Allah akan memberinya kebahagiaan dari setiap kesusahan, dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (HR Imam Abu Dawud)

3. Memberi Makan kepada Orang yang Berpuasa

Walaupun tidak dapat berpuasa, wanita haid boleh mendapat pahala dengan menyediakan makanan untuk berbuka puasa bagi ahli keluarga atau orang lain. Amalan ini memberi peluang kepada mereka untuk turut merasai semangat Ramadan dan mendapat ganjaran pahala. 

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.

Riwayat Al-Tirmizi (807)

Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).

4. Banyakkan Sedekah

Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas. 

Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.

5. Banyakkan Berdoa

Bagi orang perempuan yang haid, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa dan juga zikir-zikir semasa berada di dalam bulan Ramadhan.

 Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa ? Maka kata Nabi S.A.W: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’.

6. Menuntut Ilmu

Menghadiri majlis ilmu atau membaca buku-buku agama adalah cara yang baik untuk memanfaatkan masa di bulan Ramadan. Wanita haid boleh menggunakan masa ini untuk mendalami ilmu agama dan meningkatkan kefahaman mereka tentang Islam. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – Sabah

Kesimpulannya, walaupun wanita haid tidak dapat melakukan beberapa ibadah tertentu semasa Ramadan, masih terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan untuk meraih keberkatan bulan yang mulia ini. 

Dengan melakukan amalan-amalan tersebut, mereka masih dapat merasai keistimewaan Ramadan dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Yang penting adalah niat yang ikhlas dan usaha berterusan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Rujukan: IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE 136 : AMALAN WANITA HAID DI BULAN RAMADHAN – Mufti WP

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut