Tahukah anda, terdapat beberapa penambahbaikan dan perubahan yang akan berlaku menjelang separuh kedua tahun 2026 ini.
Jom kita semak semula apa yang telah diumumkan dan pelaksanaannya.
1. SPPP – Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma
Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kini menawarkan pengecualian fi pendaftaran perniagaan (sehingga RM120) untuk tempoh 2 tahun (berbanding 1 tahun sebelum ini), berkuatkuasa 1 Jun 2026.
Skim ini layak dimohon oleh usahawan B40 dan pelajar sepenuh masa di IPT, politeknik, kolej, serta institut/pusat kemahiran.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk : https://ecentral.my/daftar-ssm-percuma/

2. Pelaksanaan LINDUNG 24 Jam Untuk Semua Pekerja
Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) PERKESO berkuatkuasa secara rasmi pada 1 Jun 2026.
Skim ini melindungi pekerja sepanjang masa, termasuk di luar waktu bekerja dan semasa cuti, bagi kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Kadar caruman bagi skim ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja pada kadar 0.75% bagi fasa 1 (2 tahun pertama) dan akan meningkat kepada 1.0% pada 3 tahun berikutnya (fasa 2) dan seterusnya 1.25% pada tahun ke-6 dan seterusnya.

3. Akta Sewa Beli Pindaan 2026
Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 berkuat kuasa pada 1 Jun, membawa pembaharuan terbesar dalam industri pembiayaan kenderaan Malaysia. Perubahan utama ini bertujuan meningkatkan ketelusan dan mengelakkan pengguna daripada membayar faedah berlebihan. Antara penambahbaikan terlibat ialah pemansuhan Rule of 78 & Pengenalan Kaedah Reducing Balance.

Selain itu, transformasi digital seperti kebenaran penggunaan tandatangan digital dan elektronik, penyerahan dokumen secara elektronik juga akan dilaksana. Ini akan menjadikan proses lebih cepat dan mudah tanpa perlu bersemuka.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk artikel berikut: https://ecentral.my/akta-sewa-beli-pindaan-2026/
4. MyKad Baru
Kerajaan akan memperkenalkan MyKad versi baharu dengan 53 ciri keselamatan yang dinaik taraf (termasuk kod QR) mulai 1 Jun. Anda tidak perlu berpusu-pusu ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kad lama masih sah digunakan. Pertukaran adalah tidak wajib dan boleh dibuat mengikut keselesaan atau keperluan anda.
Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk : https://ecentral.my/mykad-baru-2026/

5. Rebat Solar
Kerajaan Malaysia menawarkan rebat tunai sehingga RM3000 di bawah program SuRIA Home (Sustainable Rebate and Incentive Assistance) bermula 1 Jun sehingga 31 Disember 2026 untuk pemasangan solar bumbung kediaman.

Inisiatif ini dibuka kepada pemasangan solar yang di bawah program Solar ATAP yang mula beroperasi bagi tempo sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga kuota 250MW dipenuhi, yang mana terdahulu.
Pelaksanaan rebat ini akan bermula pada 1 Jun 2026 dan ianya tertakluk kepada prinsip first come, first served.

Baca lagi : https://ecentral.my/suria-home-rebat-solar/
6. ONSA Lindungi Kanak-kanak Dalam Talian
Dua kod baharu di bawah ONSA akan mula berkuat kuasa 1 Jun 2026 bagi memperkukuh keselamatan kanak-kanak dan pengguna rentan dalam talian.
Dua kod tersebut itu ialah :
– Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC)
– Kod Pengurangan Risiko (RMC)
Selain menerima reaksi positif dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya ibu bapa, Kod CPC dan RMC turut menetapkan tanggungjawab lebih tegas kepada platform digital dalam menangani kandungan memudaratkan serta memperkukuh mekanisme perlindungan pengguna.
Rujuk : https://ecentral.my/media-sosial-16-tahun/

7. Pelaksanaan Biodiesel B15
Adakah anda tahu, bermula 1 Jun 2026 ni, Malaysia akan mula meningkatkan penggunaan Biodiesel daripada B10 kepada B15?
Pelaksanaan adunan biodiesel B15 bermula 1 Jun 2026 adalah langkah strategik memperkukuh keselamatan tenaga negara tanpa menjejaskan eksport minyak sawit berkenaan.
B15 mengurangkan kebergantungan kepada diesel fosil import dan menggalakkan penggunaan tenaga alternatif yang lebih mampan
Rangkaian bekalan dan stesen minyak seluruh negara kini bersedia sepenuhnya untuk peralihan ini.
Ini membuktikan komitmen negara dalam memperkasakan penggunaan tenaga boleh baharu, mengurangkan risiko negara kepada ketidaktentuan harga diesel dunia, memperkukuh daya tahan sektor tenaga negara dan mengoptimumkan penggunaan minyak sawit negara.

8. Peluasan & Penetapan Kuota SKDS
Bermula 1 Jun 2026, penetapan kuota Fleet Cards SKDS antara 900 liter – 5000 liter dilaksanakan bagi sektor pengangkutan darat barangan tertakluk kepada 23 kategori kenderaan. Langkah ini sangat penting demi memastikan subsidi diesel bersasar disalurkan kepada pihak yang benar-benar layak dengan lebih efisien.
Gunakan kemudahan Fleet Card dengan penuh tanggungjawab.
Sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan Fleet Card anda digantung serta-merta dan disenarai hitam! Jadi jangan ambil risiko!
Nak tahu lebih lanjut? Jom daftar kat mysubsidi.kpdn.gov.my sekarang!

9. Kelayakan SKDS Kepada Jip & Pikap
Kerajaan memperluas kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara bermula 1 Jun ini.

10. Pindaan Perlembagaan Berkenaan Kewarganegaraan
Pindaan undang-undang kewarganegaraan merupakan langkah penting Kerajaan dalam memastikan hak ibu Malaysia terus diperkasa serta masa depan anak-anak rakyat Malaysia lebih terjamin.
Pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan yang membenarkan pemberian taraf kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dijangka berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
NOTA: Namun untuk makluman semua, pindaan ini masih BELUM berkuat kuasa buat masa ini dan tertakluk kepada pengumuman rasmi kerajaan dari semasa ke semasa. Orang ramai disarankan untuk sentiasa merujuk platform rasmi @jpnhqofficial bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.

Maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari semasa ke semasa.
Pengeluaran Pasport Baharu Malaysia ditangguh
Selain yang dinyatakan ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu yang sepatutnya dikeluarkan mulai 1 Jun ini, dijadualkan semula kepada satu tarikh akan dimaklumkan kemudian.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan dan pengalaman urusan rakyat terus berada pada tahap terbaik.
“Orang ramai masih boleh memperbaharui PMA sedia ada seperti biasa dan pasport yang masih berkuat kuasa kekal sah digunakan sehingga tamat tempoh.
“Sebarang perkembangan lanjut berkaitan pelaksanaan PMA versi baharu akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA




