Ubat tambah darah sering digunakan untuk merawat masalah kekurangan darah atau anemia yang boleh menyebabkan badan cepat letih, pening dan kurang fokus.
Artikel ini akan menghuraikan jenis-jenis ubat tambah darah, kesan sampingan yang berpotensi berlaku, serta nutrisi penting yang diperlukan bagi menyokong penghasilan darah secara optimum dan selamat.
Apa itu Anemia?
Anemia ialah keadaan perubatan yang berlaku apabila jumlah sel darah merah atau paras hemoglobin dalam darah lebih rendah daripada normal. Hemoglobin ialah protein penting dalam sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh organ dan tisu badan.
Apabila tubuh kekurangan hemoglobin, bekalan oksigen tidak mencukupi, menyebabkan badan mudah letih, lemah dan kurang bertenaga.
Anemia boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti kehilangan darah (contohnya akibat haid yang banyak), pengeluaran sel darah merah yang tidak mencukupi, atau pemusnahan sel darah merah secara berlebihan.
Selain itu, anemia juga sering dikaitkan dengan pemakanan tidak seimbang, jangkitan, penyakit kronik, masalah semasa kehamilan serta faktor keturunan. Dalam kebanyakan kes, anemia berlaku akibat kekurangan zat besi dalam darah.
Keadaan ini lebih kerap menjejaskan wanita dan kanak-kanak. Jika tidak dirawat, anemia yang teruk boleh menyebabkan gangguan perkembangan kognitif dan motor pada kanak-kanak, serta meningkatkan risiko komplikasi kepada wanita hamil dan bayi dalam kandungan.
Walau bagaimanapun, anemia sebenarnya boleh dicegah dan dirawat melalui pemakanan yang mencukupi, rawatan perubatan yang sesuai dan pengambilan nutrisi penting seperti zat besi, asid folik dan vitamin B12.

Jenis-jenis Anemia
Terdapat pelbagai jenis anemia, dan setiap satunya berlaku apabila paras sel darah merah atau hemoglobin dalam darah menurun akibat punca yang berbeza. Secara umum, anemia boleh dibahagikan kepada beberapa kategori utama seperti berikut:
1. Anemia Pemakanan
Anemia jenis ini berlaku akibat kekurangan nutrisi penting yang diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah yang sihat.
- Anemia kekurangan zat besi berlaku apabila badan tidak mempunyai zat besi yang mencukupi untuk menghasilkan hemoglobin, iaitu komponen utama sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan.
- Anemia pernicious pula berpunca daripada kekurangan vitamin B12 akibat gangguan autoimun yang menghalang penyerapan vitamin B12 dalam sistem pencernaan.
- Anemia megaloblastik ialah anemia kekurangan vitamin yang terjadi apabila badan tidak mendapat cukup vitamin B12 dan/atau vitamin B9 (folat), menyebabkan sel darah merah menjadi besar dan tidak matang.
2. Anemia yang Diwarisi
Anemia jenis ini berpunca daripada faktor genetik dan biasanya diwarisi sejak lahir.
- Anemia sel sabit menyebabkan sel darah merah berubah bentuk daripada cakera bulat yang fleksibel kepada bentuk sabit yang keras dan melekit, sekali gus menyekat aliran darah.
- Anemia Fanconi ialah gangguan darah yang jarang berlaku dan menjejaskan keupayaan sumsum tulang menghasilkan sel darah, dengan anemia sebagai salah satu tanda utama.
- Anemia Diamond-Blackfan merupakan gangguan genetik yang menghalang sumsum tulang daripada menghasilkan sel darah merah yang mencukupi.
3. Anemia Disebabkan Sel Darah Merah Tidak Normal
Anemia ini berlaku apabila sel darah merah rosak, mati terlalu cepat, atau dihasilkan dalam bentuk yang tidak normal.
- Anemia hemolitik berlaku apabila sel darah merah rosak atau musnah lebih awal daripada jangka hayat normalnya.
- Anemia hemolitik autoimun terjadi apabila sistem imun tersilap menyerang sel darah merah sendiri.
- Anemia aplastik berlaku apabila sel stem dalam sumsum tulang gagal menghasilkan sel darah merah yang mencukupi.
- Anemia sideroblastik berlaku apabila badan mempunyai terlalu banyak zat besi tetapi tidak mampu menggunakannya untuk menghasilkan sel darah merah yang normal.
- Anemia makrositik terjadi apabila sumsum tulang menghasilkan sel darah merah yang bersaiz luar biasa besar.
- Anemia mikrositik pula berlaku apabila sel darah merah lebih kecil daripada normal akibat kekurangan hemoglobin.
- Anemia normositik berlaku apabila bilangan sel darah merah berkurangan walaupun saiz sel kelihatan normal, namun kandungan hemoglobinnya tidak mencukupi.
Setiap jenis anemia mempunyai punca, simptom dan rawatan yang berbeza, justeru pengesanan awal dan rawatan yang tepat amat penting bagi mengelakkan komplikasi kesihatan yang lebih serius.
Senarai Ubat Tambah Darah
Berikut merupakan senarai ubat tambah darah yang sering digunakan untuk merawat anemia kekurangan zat besi, lengkap dengan kandungan zat besi elemental serta nutrisi tambahan seperti vitamin dan mineral yang membantu meningkatkan penyerapan zat besi dan penghasilan sel darah merah.
1. Maltofer
Maltofer mengandungi 100 mg zat besi elemental dan turut diperkaya dengan asid folik (Vitamin B9) sebanyak 350 mcg.
Ia tidak mengandungi vitamin C atau vitamin B lain. Maltofer sering digunakan kerana formulanya yang lebih lembut pada perut dan sesuai untuk individu yang mengalami kesan sampingan gastrik apabila mengambil zat besi konvensional.
2. Iberet Folic
Iberet Folic mengandungi 105 mg zat besi elemental serta gabungan nutrisi yang sangat lengkap. Ia mengandungi Vitamin C (500 mg) untuk membantu penyerapan zat besi, Vitamin B3 (30 mg), Vitamin B5 (10 mg), Vitamin B1 (6 mg), Vitamin B2 (6 mg), Vitamin B6 (5 mg), Vitamin B12 (25 mcg) dan asid folik (Vitamin B9) sebanyak 800 mcg.
Produk ini sesuai untuk individu yang mengalami anemia akibat kekurangan zat besi bersama kekurangan vitamin B.
3. Zincofer
Zincofer membekalkan 115 mg zat besi elemental, menjadikannya antara yang tertinggi dalam senarai ini. Ia turut mengandungi Vitamin C (75 mg), Vitamin B6 (1.23 mg), Vitamin B12 (5 mcg), asid folik (1 mg) serta zink (19.8 mg).
Gabungan zat besi dan zink menjadikannya sesuai untuk menyokong pembentukan sel darah merah dan sistem imun.
4. New Obimin
New Obimin mengandungi 30 mg zat besi elemental, namun diperkaya dengan pelbagai vitamin penting.
Ia mengandungi Vitamin C (100 mg), Vitamin B3 (20 mg), Vitamin B5 (6.9 mg), Vitamin B1 (8.1 mg), Vitamin B2 (2.5 mg), Vitamin B6 (12.34 mg), Vitamin B12 (4 mcg), asid folik (900 mcg), Vitamin A (3000 IU) dan Vitamin D (400 IU).
Ia sesuai untuk wanita hamil atau individu yang memerlukan suplemen darah bersama sokongan vitamin menyeluruh.
5. Ferrous Fumarate
Ferrous Fumarate mengandungi 66 mg zat besi elemental tanpa tambahan vitamin lain. Ia merupakan bentuk zat besi yang biasa digunakan dalam rawatan anemia kekurangan zat besi, terutamanya di fasiliti kesihatan, dan berkesan meningkatkan paras hemoglobin jika diambil mengikut dos yang betul.
Pemilihan ubat tambah darah bergantung kepada tahap anemia, keperluan nutrisi tambahan serta toleransi individu terhadap zat besi. Rundingan dengan doktor atau ahli farmasi amat digalakkan bagi memastikan rawatan yang paling sesuai dan selamat.


Nutrisi Penting untuk Tambah Darah
Badan anda memerlukan nutrien utama untuk menambah darah dalam badan. Berikut adalah antara nutrisi penting yang disyorkan:
- Zat besi: daging tanpa lemak, makanan laut, ayam, itik, kacang, lentil, kismis, roti dan bijirin.
- Asid folik: bayam, hati, pucuk brussels, asparagus, roti dan bijirin.
- Vitamin B12: daging, ayam, itik, ikan, produk tenusu seperti susu dan keju, telur, bijirin
- Copper: kerang, hati dan organ dalaman, bijirin penuh, coklat, dan kacang
- Vitamin A: ikan, telur, hati, produk tenusu, sayuran hijau berdaun dan tomato
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan ubat tambah darah dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bersama.

Baca juga:
- 12 Cara Hilangkan Selsema Secara Tradisional, Tanpa Ubat!
- Ubat Batuk Untuk Ibu Mengandung: 5 Pilihan Yang Selamat
- 11 Ubat Gatal Paling Berkesan di Farmasi




