Cuti bersalin kerajaan adalah cuti yang diberikan kepada pegawai kerajaan yang sedang hamil untuk bersedia dan pulih daripada bersalin berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR.5.4.1 .
Pekeliling ini menyediakan garis panduan yang jelas mengenai hak, tempoh, dan tatacara pengambilan cuti bersalin ini supaya ibu bekerja dapat bersalin dan pulih dengan tenang tanpa bebanan kerja.
Majikan di Malaysia wajib memberikan cuti bersalin kepada pekerja di bawah Akta Pekerjaan atau EA dan pekerja wanita boleh mula bekerja pada bila-bila masa semasa cuti bersalin dengan persetujuan majikan sekiranya disahkan layak untuk menyambung kerja oleh pengamal perubatan berdaftar.
Rujuk info penuh mengenai tempoh cuti bersalin kerajaan, syarat dan peraturan yang ditetapkan di bawah.
Ringkasan Cuti Bersalin Kerajaan
- Pegawai kerajaan boleh mengambil Cuti Bersalin 60–90 hari untuk setiap kelahiran, dengan had maksimum 360 hari cuti bersalin bergaji penuh sepanjang perkhidmatan.
- Semua pegawai wanita perkhidmatan awam (tetap dan kontrak), sama ada guru atau bukan guru layak mendapat Cuti Bersalin.
- Cuti Bersalin boleh diambil dengan gaji penuh, separuh gaji (khas untuk guru), atau tanpa gaji apabila habis 360 hari, menggunakan Cuti Bersalin Tanpa Gaji (CBTG) dan/atau Cuti Menjaga Anak (CMA).
- Guru layak 14 hari Cuti Bersalin separuh gaji dan cuti sekolah dikira bergaji jika bertindih dengan tarikh bersalin, manakala pegawai bukan guru hanya menggunakan Cuti Rehat + CBTG / CMA untuk mengisi tempoh 60–90 hari selepas 360 hari habis.
Apa Itu Cuti Bersalin Kerajaan?
Cuti bersalin kerajaan merupakan sebahagian daripada “kemudahan cuti” yang diperuntukkan di bawah Perintah‑Am dan Pekeliling Perkhidmatan JPA, khususnya untuk menjaga kesihatan ibu dan memudahkan ikatan ibu‑anak selepas bersalin.
Ia bukan hanya cuti sakit biasa, tetapi satu bentuk perlindungan sosial dan hak peribadi yang diberikan kepada pegawai wanita yang sedang hamil.
Cuti Bersalin kepada pegawai Perkhidmatan Awam adalah seperti yang diperuntukkan dalam Perintah Am 25 Bab C (Cuti) dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2017: Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam.
Pada asasnya cuti ini diberikan untuk meningkatkan kualiti kesihatan selepas melahirkan anak, mengelak kemurungan dan mengeratkan kasih sayang di antara ibu dan anak.

Taksiran Cuti Bersalin
- “Cuti Bersalin” adalah cuti yang diberikan kepada pegawai wanita untuk bersedia dan pulih daripada bersalin.
- “Cuti Bersalin bergaji penuh” adalah Cuti Bersalin yang dibayar emolumen penuh mengikut kadar kelayakan yang telah ditetapkan.
- “Cuti Bersalin separuh gaji” adalah Cuti Bersalin yang dibayar separuh emolumen dan hanya diperuntukkan kepada guru selama 14 hari dalam penggal sekolah.
- “Cuti Bersalin tanpa gaji” adalah Cuti Bersalin yang tidak dibayar sebarang emolumen kepada pegawai yang telah menggunakan kelayakan Cuti Bersalin bergaji penuh dan Cuti Bersalin separuh gaji.
- “Guru” adalah merujuk kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan wanita yang mengajar dan diberi kemudahan cuti penggal/semester di sekolah atau institusi pendidikan.
- “Pegawai” adalah merujuk kepada pegawai wanita Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dilantik secara tetap, sementara dan kontrak (contract of service).
Tempoh Cuti Bersalin Kerajaan
Tempoh cuti bersalin kerajaan merujuk kepada jangka masa cuti yang layak diambil oleh pegawai wanita perkhidmatan awam untuk bersalin dan memulihkan diri.
Sepanjang tempoh cuti yang diambil akan diberikan gaji penuh atau separuh gaji bergantung kepada baki cuti bersalin.
Tempoh Cuti Bersalin Kerajaan:
- Tempoh Cuti Bersalin (Pilihan): Pegawai boleh memilih untuk mengambil cuti antara 60 hingga 90 hari bagi setiap kelahiran, mengikut kesesuaian kesihatan dan keperluan keluarga.
- Tempoh Cuti Bersalin (Mandatori): Pegawai wajib mengambil cuti sekurang-kurangnya 60 hari berkenaan dengan setiap kelahiran, sama ada mula sebelum atau selepas tarikh bersalin, seperti yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan SSPA.
- Had Cuti Bersalin Sepanjang Perkhidmatan: Jumlah keseluruhan Cuti Bersalin bergaji penuh yang diperuntukkan adalah sebanyak 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan, yang boleh diagihkan kepada beberapa kelahiran bergantung kepada baki cuti bersalin yang ada.
Tempoh Cuti Bersalin adalah termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan, hari kelepasan am dan cuti penggal.
Namun begitu, pengiraan Cuti Rehat dalam tempoh Cuti Bersalin adalah tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.

Kelayakan & Peraturan Cuti Bersalin Kerajaan
Kelayakan dan peraturan bagi cuti bersalin ini adalah seperti berikut:
- Kadar kelayakan Cuti Bersalin bergaji penuh ialah sebanyak 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan seseorang pekerja.
- Tempoh maksimum Cuti Bersalin bagi setiap kelahiran adalah 90 hari. Walau bagaimanapun, pekerja diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin antara 60 hari hingga 90 hari bagi setiap kelahiran.
- Cuti Bersalin bermula pada tarikh pegawai bersalin. Walau bagaimanapun, pekerja boleh memilih untuk menggunakan Cuti Bersalin lebih awal dari tarikh bersalin iaitu pada bila-bila masa dalam tempoh 14 hari dari tarikh dijangka bersalin.
Baki Cuti Bersalin Kurang 60 Hari
Bagi pegawai yang mempunyai baki Cuti Bersalin bergaji penuh kurang daripada 60 hari, pegawai hendaklah mengambil Cuti Bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan menggunakan kemudahan berikut:
- Bagi pegawai selain guru:
- menggunakan semua baki Cuti Bersalin bergaji penuh; dan
- jika tidak mencukupi, Cuti Rehat digunakan; dan
- jika masih tidak mencukupi, Cuti Bersalin tanpa gaji digunakan.
- Bagi guru:
- Semasa penggal sekolah, guru hendaklah:
- menggunakan semua baki Cuti Bersalin bergaji penuh; dan
- jika tidak mencukupi, Cuti Bersalin separuh gaji hingga 14 hari digunakan; dan
- jika masih tidak mencukupi, Cuti Bersalin tanpa gaji digunakan.
- Semasa cuti penggal sekolah, guru hendaklah:
- menggunakan semua baki Cuti Bersalin bergaji penuh; dan
- bagi tempoh yang selebihnya dianggap dalam cuti bergaji penuh.
- Semasa penggal sekolah, guru hendaklah:
Sudah Menggunakan Kelayakan Maksimum Cuti 360 Hari
Bagi pegawai yang telah menggunakan kelayakan maksimum 360 hari kemudahan Cuti Bersalin, pegawai hendaklah mengambil Cuti Bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan menggunakan kemudahan berikut:
- Bagi pegawai selain guru:
- menggunakan Cuti Rehat mulai dari tarikh bersalin; dan
- jika masih tidak mencukupi, Cuti Bersalin tanpa gaji digunakan.
- Bagi guru:
- Semasa penggal sekolah, guru hendaklah:
- i. menggunakan Cuti Bersalin separuh gaji hingga 14 hari; dan
- ii. jika masih tidak mencukupi, Cuti Bersalin tanpa gajidigunakan.
- Semasa cuti penggal sekolah, guru yang bersalin dianggap dalam cuti bergaji penuh.
- Semasa penggal sekolah, guru hendaklah:
Cuti Bersalin Pegawai Lantikan Kontrak (COS)
- Bagi pegawai lantikan kontrak (contract of service), kelayakan mereka adalah sama seperti pegawai tetap.
- Walau bagaimanapun, mereka tidak layak mengambil Cuti Menjaga Anak bagi menggantikan
kelayakan Cuti Bersalin. - Kemudahan Cuti Bersalin tanpa gaji yang diambil tidak menjejaskan kemudahan Cuti Tanpa Gaji Untuk Mengerjakan Haji dan peraturan lain yang berkuat kuasa.
- Kemudahan Cuti Bersalin tanpa gaji ini juga tidak menyebabkan tempoh kontrak yang
berkuat kuasa terputus.
Cuti Sakit Tidak Boleh Menggantikan Cuti Bersalin
- Cuti Sakit tidak boleh digunakan bagi maksud menggantikan tempoh Cuti Bersalin kecuali Cuti Tibi, Kusta, Barah atau tempoh pegawai dimasukkan ke wad hospital kerana sakit bukan atas sebab bersalin.
Melahirkan Anak Selepas 22 Minggu
- Bagi pegawai yang telah melahirkan anak selepas 22 minggu mengandung, sama ada bayi itu hidup atau pun meninggal dunia adalah layak untuk diberi Cuti Bersalin memandangkan tubuh badan pegawai telah mengalami perubahan fizikal yang memerlukan Cuti Bersalin bagi tujuan pemulihan.
Tempoh Perkhidmatan
- Tempoh perkhidmatan dengan Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun
atau Pihak Berkuasa Tempatan bagi seseorang pegawai yang diberi pelepasan untuk
berkhidmat dengan perkhidmatan awam Persekutuan hendaklah diambil kira bagi
maksud kelayakan kemudahan cuti bersalin. - Tempoh perkhidmatan termasuk semasa pelantikan secara sementara atau
pelantikan secara kontrak hendaklah diambil kira bagi maksud kelayakan kemudahan di bawah Ceraian ini.
Cuti Bersalin Guru
Jika guru sudah habis kelayakan Cuti Bersalin, terdapat 3 pilihan kombinasi cuti yang boleh digunakan:
- Cuti Bersalin Separuh Gaji 14 hari + Cuti Bersalin Tanpa Gaji (CBTG); atau
- Cuti Bersalin Separuh Gaji 14 hari + Cuti Menjaga Anak (CMA); atau
- Cuti Menjaga Anak (CMA) sahaja.
Jika dalam tempoh Cuti Bersalin itu ada cuti sekolah, tempoh tersebut akan dikira sebagai cuti bergaji penuh.
Sebagai contoh, jika bersalin pada masa cuti sekolah selama 30 hari, maka 30 hari itu diiktiraf sebagai cuti bergaji penuh, kemudian disambung dengan 14 hari Cuti Bersalin Separuh Gaji, dan selebihnya boleh diambil sebagai CBTG atau CMA.
Cuti Rehat Khas tidak boleh digunakan untuk menampung atau menggantikan Cuti Bersalin. Begitu juga, Cuti Sakit tidak boleh digunakan sebagai cuti bersalin.
Cuti Menjaga Anak (CMA) boleh diambil terus mulai tarikh bersalin jika guru ingin menyambung kelayakan CMA bersama-sama dengan cuti bersalin. Namun, CMA adalah sejenis Cuti Tanpa Gaji (CTG).
Kesan CBTG dan CMA terhadap perkhidmatan:
- Memberi kesan pada kelayakan Cuti Rehat (CR), seterusnya menjejaskan kelayakan untuk menyimpan GCR pada tahun berkenaan.
- Hilang kekananan pangkat: Giliran kenaikan pangkat akan berubah atau beranjak kerana pengambilan CTG.
- Mengurangkan tempoh perkhidmatan untuk pengiraan faedah persaraan.
NOTA:
- CBTG = Cuti Bersalin Tanpa Gaji
- CMA = Cuti Menjaga Anak

Cuti Bersalin Bukan Guru
Cuti Bersalin Bukan Guru merujuk kepada pengurusan cuti bersalin bagi pegawai perkhidmatan awam yang bukan guru (contohnya pentadbir, juruteknik, sokongan, jabatan perkhidmatan, dsb).
Jika sudah habis kelayakan Cuti Bersalin, pegawai bukan guru mempunyai 3 pilihan:
- Cuti Rehat (CR) yang layak + Cuti Bersalin Tanpa Gaji (CBTG); atau
- Cuti Rehat (CR) yang layak + Cuti Menjaga Anak (CMA); atau
- Cuti Menjaga Anak (CMA) sahaja.
Apa beza antara CBTG dan CMA?
- CBTG dan CMA keduanya tanpa gaji dan kedua‑duanya adalah Cuti Tanpa Gaji (CTG).
- Kedua‑duanya boleh menyebabkan hilang kekananan pangkat, iaitu giliran kenaikan pangkat boleh berubah atau beranjak.
- Kedua‑duanya memberi kesan kepada kelayakan Cuti Rehat (CR) / Cuti Rehat Khas (CRK), tergantung polisi perkhidmatan di jabatan.
- CBTG cuma layak maksimum 90 hari untuk satu kelahiran, manakala CMA yang bersambung dengan tarikh bersalin boleh diambil secara terkumpul sehingga maksimum 5 tahun (1,825 hari) sepanjang perkhidmatan.
- Sekiranya CMA melebihi 180 hari dalam satu tahun kalendar, pegawai masih layak pergerakan gaji secara isyarat mengikut peruntukan SSPA.
NOTA:
- CR/CRK = Cuti Rehat / Cuti Rehat Khas
- CBTG = Cuti Bersalin Tanpa Gaji
- CMA = Cuti Menjaga Anak

Elaun Cuti Bersalin
Elaun Cuti Bersalin merujuk kepada pembayaran gaji yang diterima oleh pegawai kerajaan semasa mengambil Cuti Bersalin, selagi masih layak dan baki cuti bersalin bergaji penuh atau gabungan cuti rehat masih ada.
Bagi penjawat awam, tiada elaun tunai berasingan seperti bonus bersalin, sebaliknya pegawai menerima gaji penuh dan elaun tetap sedia ada sepanjang tempoh cuti bersalin mengikut peraturan yang ditetapkan.
- Bayaran Gaji Penuh: Sepanjang tempoh 60 hingga 90 hari cuti bersalin, gaji pokok dan elaun tetap (seperti Elaun Perumahan dan ITKA) dibayar seperti biasa tanpa pemotongan.
- Elaun Pembantu Khas (EPK): Bagi pegawai yang menerima EPK, elaun ini dibayar secara pro-rata berdasarkan bilangan hari bertugas. Jika pegawai mengambil cuti bersalin, elaun ini biasanya tidak dibayar penuh sepanjang tempoh tersebut kerana ia berasaskan pelaksanaan tugas.
Terkini (April 2026), Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memuktamadkan cadangan untuk memperkenalkan Elaun Bantuan Cuti Bersalin di bawah sistem insurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Elaun ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 ibu bekerja di seluruh negara dan bertujuan sebagai tambahan kepada perlindungan sosial sedia ada dan mengiktiraf peranan wanita dalam ekonomi negara.
Cuti Menjaga Anak
Selain Cuti Bersalin, pegawai juga layak memohon Cuti Menjaga Anak (CMA) tanpa gaji selepas tamat tempoh cuti bersalin.
Tempoh CMA yang bersambung dengan tarikh bersalin adalah sehingga 5 tahun (1,825 hari) secara terkumpul sepanjang perkhidmatan.
Melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 – Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, selaras dengan keprihatinan kepada institusi kekeluargaan dalam konteks penjagaan anak, Kerajaan telah bersetuju untuk memanjangkan kemudahan ini kepada pegawai lelaki.
Terdapat dua (2) jenis kemudahan Cuti Menjaga Anak, iaitu:
- Cuti Menjaga Anak yang bersambung daripada Cuti Bersalin
- Cuti Menjaga Anak yang tidak terikat dengan Cuti Bersalin
Kelayakan
Kelayakan kemudahan Cuti Menjaga Anak yang bersambung daripada Cuti Bersalin adalah seperti yang berikut:
- terhad kepada pegawai wanita yang bersalin
- tempoh keseluruhan kemudahan Cuti Menjaga Anak termasuk Cuti Menjaga Anak yang tidak terikat dengan tempoh Cuti Bersalin terhad sehingga lima (5) tahun sepanjang tempoh perkhidmatan.
Untuk maklumat lanjut, layari pautan berikut: MyPPSM_SSPA_Cuti_Menjaga_Anak.
Cuti Paterniti
Bapa yang berkhidmat sebagai penjawat awam di Malaysia layak mendapat 7 hari Cuti Isteri Bersalin. Kemudahan ini merupakan sebahagian daripada Cuti Tanpa Rekod (CTR) Kelompok yang bertujuan untuk membolehkan bapa menguruskan kebajikan isteri dan bayi yang baru lahir.
- Tempoh Cuti: 7 hari berturut-turut, termasuk hari Sabtu, Ahad, dan hari kelepasan am.
- Tarikh Mula: Cuti dikira bermula pada tarikh isteri bersalin. Walau bagaimanapun, jika isteri bersalin selepas waktu pejabat (6.01 petang ke atas), bapa boleh memilih untuk memulakan cuti pada hari berikutnya.
- Kelayakan Maksimum: Kemudahan ini terhad kepada 5 kali kelahiran sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan seseorang pegawai.
- Dokumen Sokongan: Anda perlu mengemukakan salinan perakuan bersalin atau sijil kelahiran anak sebagai bukti sokongan permohonan
Sekiranya anda memerlukan tempoh penjagaan yang lebih lama, penjawat awam juga mempunyai akses kepada:
- Cuti Menjaga Anak (CMA): Cuti tanpa gaji ini boleh diambil oleh pegawai lelaki atau wanita untuk menjaga anak selepas tempoh Cuti Bersalin isteri tamat.
- Cuti Rehat: Menggunakan baki cuti tahunan sekiranya 7 hari CTR tidak mencukupi untuk urusan keluarga.
Cara Mohon Cuti Bersalin Kerajaan
Pegawai hendaklah mengemukakan dokumen sokongan daripada hospital/klinik Kerajaan atau swasta yang mengesahkan tarikh dijangka bersalin bagi membolehkan Ketua Jabatan meluluskan permohonan Cuti Bersalin dengan menggunakan borang seperti di Lampiran SR.5.4.1 (Rujuk PDF di bawah).
Bagi memudahkan urusan pentadbiran, pegawai tidak boleh meminda tempoh Cuti Bersalin yang telah diluluskan oleh Ketua Jabatan.
Ketua Jabatan hendaklah memastikan bilangan hari dan tempoh Cuti Bersalin yang diluluskan direkod di dalam Buku Rekod Perkhidmatan pegawai.
Permohonan cuti ini boleh dibuat menerusi langkah-langkah berikut:
- Muat turun borang permohonan SR.5.4.1 (B).
- Isi semua maklumat yang diperlukan.
- Mengemukakan dokumen sokongan daripada hospital/klinik Kerajaan atau swasta yang mengesahkan tarikh dijangka bersalin.
- Menghantar borang dan dokumen kepada Ketua Jabatan untuk kelulusan permohonan cuti.
BORANG KEMUDAHAN CUTI BERSALIN PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM (PDF)
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut dan info terkini mengenai cuti bersalin kerajaan, sila rujuk:
Soalan Lazim Cuti Bersalin Kerajaan
Cuti Bersalin Kerajaan ialah cuti khas diberikan kepada pegawai wanita perkhidmatan awam untuk bersedia dan memulihkan diri sebelum serta selepas bersalin, dengan bayaran gaji penuh, separuh gaji (bagi guru mengajar), dan/atau tanpa gaji bergantung kepada baki cuti bersalin yang layak.
Pegawai boleh mengambil 60 hingga 90 hari Cuti Bersalin bagi setiap kelahiran, dengan tempoh minimum mandatori 60 hari bagi setiap bayi. Ibu bekerja di sektor kerajaan juga diberi maksimum 360 hari cuti bersalin bergaji penuh sepanjang perkhidmatan.
Pegawai wanita dalam perkhidmatan kerajaan, sama ada tetap, kontrak, atau lain‑lain yang memenuhi kelayakan perkhidmatan, layak Cuti Bersalin mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2017, termasuk penggunaan Cuti Rehat dan Cuti Bersalin Tanpa Gaji apabila baki cuti bersalin bergaji habis.
– CBTG (Cuti Bersalin Tanpa Gaji) dan CMA (Cuti Menjaga Anak) adalah cuti tanpa gaji dan keduanya boleh menjejaskan kekananan pangkat dan kelayakan Cuti Rehat (CR/CRK).
– CBTG hanya layak maksimum 90 hari bagi satu kelahiran, manakala CMA yang bersambung dengan tarikh bersalin boleh digunakan sehingga 5 tahun (1,825 hari) secara terkumpul.
Pegawai bukan guru yang telah habis 360 hari Cuti Bersalin bergaji boleh mengisi tempoh 60–90 hari dengan:
– Cuti Rehat (CR) yang layak + CBTG
– Cuti Rehat (CR) yang layak + CMA
– CMA sahaja mulai tarikh bersalin
Tidak. Cuti Sakit dan Cuti Rehat Khas tidak boleh digunakan sebagai Cuti Bersalin, walau pegawai dalam keadaan sakit. Cuti bersalin mesti dikenal pasti sebagai Cuti Bersalin bergaji, separuh gaji, atau CBTG/CMA mengikut peraturan SSPA.
Ya. Pengambilan CBTG dan CMA (sebagai jenis CTG) boleh mengubah giliran kekananan pangkat.
Ia juga mengurangkan tempoh perkhidmatan yang dikira untuk faedah persaraan dan boleh menjejaskan kelayakan Cuti Rehat (CR/CRK).
Secara umum, tempoh cuti bersalin adalah sama 60–90 hari, had 360 hari dan status CBTG/CMA adalah sama.
Perbezaan utama ialah guru mengajar layak Cuti Bersalin Separuh Gaji 14 hari di dalam peruntukan khas, manakala pegawai bukan guru hanya menggunakan Cuti Rehat + CBTG / CMA apabila baki cuti bersalin habis.




