5 Tanda Luka Jahitan Bersalin Sudah Sembuh

Sebagai ibu yang baru melahirkan anak menerusi pembedahan, anda pasti ingin tahu tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh.

Maklumlah, anda pasti tidak sabar untuk lakukan rutin harian yang sudah lama ditinggalkan. Apakah tanda-tanda yang boleh diperhatikan dan bila perlu berjumpa doktor?

Ayuh kita semak bersama-sama.

Apa Itu Luka Jahitan?

Luka jahitan adalah luka yang berlaku disebabkan tekanan semasa prosedur melahirkan bayi. Koyakan ini berlaku di kawasan antara pembukaan faraj dan dubur.

Dalam kebanyakan kes, doktor juga mungkin akan melakukan prosedur episiotomi iaitu menggunting kawasan antara pembukaan faraj serta dubur (perineum).

Kebiasannya, doktor akan melakukan prosedur ini apabila kepala bayi dilihat meregangkan lubang faraj hingga beberapa sentimeter.

Ini bagi membolehkan lubang faraj menjadi lebih besar dan bayi lebih mudah keluar.

Selain itu, prosedur ini juga dapat mengelakkan daripada tisu di sekitar faraj terkoyak atau sebarang komplikasi kelahiran.

Tanda Luka Jahitan Bersalin Sudah Sembuh

Berikut kami kongsikan beberapa tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh buat para ibu yang ingin tahu :

1. Bengkak Berkurangan

Seperti mana-mana proses penyembuhan luka bersalin, para ibu akan dapati kulit di bahagian faraj akan membengkak sedikit selepas dijahit.

Meskipun begitu, ia akan mulai surut selepas beberapa minggu. Kemerahan pada bahagian luka juga akan pudar dari semasa ke semasa.

2. Benang Jahitan Terlarut Sendiri

Salah satu tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh adalah apabila jahitan benang mulai larut.

3. Rasa Sakit Berkurangan

Adalah normal bagi para ibu mengalami rasa sakit yang ketara selepas episiotomi. Namun, rasa pedih atau sakit pada kawasan luka jahitan akan berkurangan selepas beberapa minggu.

4. Lebih Mudah Bergerak

Antara tanda yang paling ketara yang boleh dirasakan oleh para ibu sekiranya luka jahitan sudah sembuh adalah apabila pergerakan kembali normal.

Anda boleh duduk dan bergerak seperti seperti sedia kala tanpa berasa sakit.

5. Kulit Tumbuh Di Bahagian Luka

Dari semasa ke semasa, anda juga boleh periksa di bahagian luka jahitan untuk lihat sama ada kulit pada kawasan tersebut sudah mulai tumbuh atau tidak.

Ini juga menjadi tanda bahawa luka sudah bercantum dan bahagian bukaan faraj sudah kembali normal.

Di samping itu, tempoh untuk jahitan pulih juga adalah berbeza bagi setiap wanita kerana ia bergantung kepada beberapa faktor seperti :

  • Kedudukan luka
  • Kedalaman bukaan episiotomi
  • Tempoh jangkitan sekiranya ada
  • Perkembangan tisu yang baru tumbuh

Perkara Yang Perlu Dielakkan Untuk Luka Bersalin Cepat Baik

Selain masalah genetik, penyembuhan luka bersalin yang tidak normal pada kebanyakan masa adalah disebabkan oleh gangguan proses penyembuhan seperti jangkitan dan sebagainya.

Jadi, adalah penting untuk anda mengelakkan beberapa perkara ini khususnya pada 6 minggu pertama setelah bersalin :

  • Elakkan daripada mengangkat barang yang lebih berat daripada bayi.
  • Elakkan tugas berat seperti bersenam, mengemas rumah dan apa-apa aktiviti yang memerlukan pergerakan lasak.
  • Elakkan memandu.
  • Sekiranya anda menyusukan atau mendodoi anak, elakkan posisi yang boleh membuatkan anda tidak selesa.
  • Dapatkan rehat secukupnya dan dapatkan bantuan daripada ahli keluarga atau orang sekeliling.
tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh

Tips Jaga Luka Jahitan

Selain mengelakkan perkara-perkara di atas, para ibu juga perlu patuhi cara untuk jaga luka jahitan dan ikuti tips ini supaya luka dapat sembuh dengan baik.

Jaga Kebersihan

Bahagian luka bersalin perlulah dijaga sebaiknya. Selepas buang air kecil atau besar, bersihkan kawasan luka dengan air suam dengan perlahan-lahan.

Elakkan penggunaan sabun atau produk pencuci lain yang boleh mengaibatkan iritasi luka.

Para ibu juga digalakkan untuk gantikan tuala wanita dengan kerap bagi mengelakkan pembiakan bakteria.

Pastikan Luka Sentiasa Kering

Setelah dibersihkan, jangan lupa untuk lap sehingga kering menggunakan kain bersih.

Sekiranya tiada sesiapa di rumah atau di bilik, anda juga digalakkan untuk dedahkan luka jahitan pada udara atau anginkannya supaya cepat kering.

Jika pendarahan selepas bersalin sudah berhenti, anda juga digalakkan untuk tidak memakai pakaian dalam pada waktu malam bagi memberikan pengudaraan.

Lakukan Rendaman Punggung

Rendaman punggung adalah digalakkan bagi wanita bersalin bagi membasuh kotoran di sekitar luka yang tidak boleh dibersihkan dengan air suam sahaja.

Anda boleh lakukan rendaman ini dalam satu bekas air suam yang dicampur dengan larutan antiseptik.

Makan Ubat Tahan Sakit

Sekiranya anda rasa sakit yang melampau sehingga mengakibatkan demam, anda boleh makan ubat tahan sakit.

Makan bila perlu sahaja ya kerana ibu yang sedang menyusu tidak digalakkan untuk mengambilnya.

tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Adalah penting untuk para ibu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom berikut ketika luka bersalin sedang dalam proses sembuh :

  • Demam
  • Badan terasa seram sejuk
  • Sakit kaki
  • Kawasan luka berdarah atau bernanah
  • Pendarahan berlaku dengan banyak
  • Rasa sakit yang berlarutan dan semakin teruk
  • Sesak nafas

Semoga perkongsian mengenai tips penjagaan luka dan tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh ini dapat memberi panduan kepada para ibu.

Bagi yang masih ragu atau merasakan terdapat masalah pada luka jahitan, anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor.

Sumber : ellsee.my, Facebook Klinik Dr Asmah

Baca Juga : Luka Jahitan Bersalin Terbuka, Ini 7 Tips Cepat Sembuh

Bantu kami share artikel ini: