Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bakal mencatat sejarah baharu apabila Selangor dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-22 temasya sukan dwitahunan ini.
Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah SUKMA adalah pada tahun 1998, dan selepas 28 tahun, negeri ini kembali diberi kepercayaan untuk menganjurkan acara sukan berprestij tersebut.
Selangor memiliki pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa yang sedia ada. Namun, bagi memastikan kelancaran penganjuran SUKMA 2026, kerajaan negeri merancang untuk menaik taraf fasiliti sukan sedia ada.
Langkah ini bukan sahaja untuk memenuhi keperluan temasya tersebut tetapi juga untuk manfaat jangka panjang atlet dan komuniti sukan di negeri ini.
Penganjuran SUKMA 2026 di Selangor dijangka memberikan impak positif terhadap ekonomi negeri melalui pelancongan sukan.
Dengan kemudahan infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa, Selangor berpotensi menarik minat peminat sukan dari dalam dan luar negara.
Ini selaras dengan agenda negeri untuk menjana ekonomi setempat dan mempromosikan Selangor sebagai destinasi sukan unggul.
Tarikh SUKMA 2026
Menurut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, SUKMA 2026 dijangka berlangsung pada bulan Ogos.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor, termasuk kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung pada Jun hingga Julai, diikuti oleh Sukan Komanwel dan Sukan Asia selepas itu.
Penjadualan pada bulan Ogos dilihat sebagai waktu yang sesuai untuk memastikan penyertaan dan tumpuan optimum daripada semua pihak yang terlibat.
Venue kejohanan
Salah satu fokus utama dalam persiapan SUKMA 2026 adalah penentuan venue utama bagi acara pembukaan dan penutupan.
Kompleks Sukan Shah Alam disebut-sebut sebagai pilihan utama, bergantung kepada kesiapannya menjelang 2026.
Sekiranya kompleks ini tidak dapat disiapkan mengikut jadual, alternatif lain seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Merdeka akan dipertimbangkan.
Pihak sekretariat SUKMA 2026 telah diarahkan untuk menilai tahap kebolehgunaan infrastruktur sukan di tujuh daerah di Selangor yang terlibat dalam penganjuran temasya ini.
Langkah ini bertujuan memastikan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan dapat memulakan kerja-kerja naik taraf atau pembaikan dengan segera, agar semua fasiliti bersedia untuk digunakan pada 2026.
Senarai Sukan Dipertandingkan
Penganjuran SUKMA 2026 dijangka melibatkan 28 sukan teras.
Selain itu, lima sukan tambahan sedang dalam perbincangan bersama Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri.
Antara sukan tambahan yang dicadangkan termasuk pickleball, catur, ekuestrian, dan e-sukan.
Pemilihan sukan tambahan ini dibuat dengan tujuan membuka ruang kepada negeri-negeri lain untuk mengetengahkan atlet mereka, tanpa memberi kelebihan khusus kepada tuan rumah.
Dengan persiapan rapi dan perancangan strategik, Selangor bersedia untuk menganjurkan SUKMA 2026 dengan jayanya. Penganjuran temasya ini bukan sahaja akan mengangkat prestasi sukan negeri tetapi juga memupuk semangat kesukanan dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.