Di dalam binaan ayat, sesuatu ayat yang lengkap mestilah mempunyai subjek dan predikat bagi memastikan ayat tersebut menjadi lengkap.
Namun, adalah penting untuk murid memahami maksud subjek dan juga predikat bagi memastikan ayat yang dibina adalah betul dan tepat.
Maksud Subjek & Predikat
Subjek merupakan konstituen dalam sesuatu yang terdiri daripada konstituen sama ada terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan, yang bersifat frasa nama dan menjadi judul atau unsur yang diterangkan.
Lazimnya, subjek terdiri daripada frasa nama yang boleh terdiri daripada kata nama am, kata nama khas, kata nama terbitan. kata ganti nama diri, dan kata ganti nama tunjuk.
Predikat pula merupakan kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek.
Ianya terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.
Contoh Subjek Dalam Ayat
Untuk memahami subjek dengan lebih mendalam, berikut merupakan contoh yang boleh menjadi panduan.
i- Kata Nama Am Sebagai Subjek
| Subjek | Predikat |
| Buku itu | amat menarik. |
| Pelajar itu | sangat pintar. |
ii- Kata Nama Khas Sebagai Subjek
| Subjek | Predikat |
| Mahmud | guru yang amanah. |
| Hotel Grand Continental | berhampiran di Muzium Negara. |
iii- Kata Nama Terbitan Sebagai Subjek
| Subjek | Predikat |
| Masakan ibu | sedap. |
| Penderitaan orang itu | mendapat simpati orang ramai. |
iv- Kata Ganti Nama Sebagai Subjek
| Subjek | Predikat |
| Dia | sedang mendengar radio. |
| Mereka | seronok bermain bola sepak. |
v- Kata Ganti Nama Tunjuk Sebagai Subjek
| Subjek | Predikat |
| Itu | rumah saudara saya. |
| Itu | kereta ayah saya. |
vi- Kata Kerja Yang Berfungsi Sebagai Subjek
| Subjek | Predikat |
| Bersenam | dapat menyihatkan badan. |
| Melukis | merupakan hobi saya. |
vii- Kata Adjektif Yang Berfungsi Sebagai Subjek
| Subjek | Predikat |
| Putih | lambang kesucian. |
| Masin | makanan di kedai itu. |
Contoh Predikat Dalam Ayat
Contoh predikat di dalam sesebuah ayat adalah seperti berikut:
i- Predikat Frasa Nama
| Subjek | Predikat |
| Harimau | sejenis haiwan. |
| Majalah itu | kepuyanaan saya. |
ii- Predikat Frasa Kerja
| Subjek | Predikat |
| Budak itu | mandi di sungai. |
| Guru | sedang mengajar subjek Matematik. |
iii- Predikat Frasa Adjektif
| Subjek | Predikat |
| Rumah Esah | sangat besar. |
| Bunga Mawar | sangat wangi. |
iv- Predikat Frasa Sendi Nama
| Subjek | Predikat |
| Telefon itu | ada atas meja. |
| Pak Cik Amin | dari pasar. |
Baca juga: Rumusan Buku Cerita Untuk NILAM: Tips dan Panduan




