Jom kita recap balik semua pengumuman, bantuan & insentif oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk minggu ini, setakat 27 Julai 2026.
Minggu lepas, pelbagai pengumuman dan insentif Kerajaan Persekutuan & Kerajaan Negeri telah diumumkan khas untuk rakyat Malaysia, antaranya STR Fasa 3, kenaikan kadar SARA, bantuan MamaKerja Selangor, RUU Jenayah Siber dan macam-macam lagi. Berikut senarai lengkap pengumuman, bantuan & insentif untuk minggu ini supaya anda tidak terlepas peluang untuk memohon sebelum tarikh tutup!

1. Kadar SARA Akan Dinaikkan
Berita baik! Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan bahawa kerajaan akan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat. Perkara itu diumumkan beliau ketika menyampaikan ceramah Jelajah Kekal HARAPAN di Paroi, pada 23 Julai yang lalu.
Kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan dinaikkan dalam masa terdekat sebagai usaha berterusan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat. Pengumuman ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus menambah baik inisiatif bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Maklumat lanjut mengenai kadar baharu dan pelaksanaan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

2. Agihan STR Fasa 3 Dijadualkan Pada Ogos 2026
Ramai yg bertanya bila bayaran STR Fasa 3 akan diagihkan? Sumber terkini oleh Kementerian Kewangan sebelum ini (berdasarkan hantaran pada 13 Jun 2026) memaklumkan bahawa bantuan ini dijangka akan disalurkan pada Ogos 2026.
Berapa jumlah yang akan diterima? Menurut laman web rasmi dan Soalan Lazim Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah STR yang diterbitkan pada 24 Jun 2026, jumlah bayaran bagi setiap kategori adalah seperti berikut:
a. Kategori Isi Rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah
| Bilangan Anak | Jumlah Bayaran Fasa 3 (RM) |
| 0 | RM200 |
| 1 – 2 | RM300 |
| 3 – 4 | RM450 |
| 5 dan lebih | RM600 |
b. Kategori Isi Rumah berpendapatan RM2,501 – RM5,000
| Bilangan Anak | Jumlah Bayaran Fasa 3 (RM) |
| 0 | RM0 |
| 1 – 2 | RM150 |
| 3 – 4 | RM200 |
| 5 dan lebih | RM250 |
- Pendapatan Bujang RM2,500 dan ke bawah (Berumur 21 – 59 tahun / OKU Berumur 19 – 59 tahun):
- Kaedah pembayaran adalah melalui SARA.
- Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan RM5,000 dan ke bawah (Berumur 60 tahun dan ke atas):
- Jumlah Bayaran Fasa 3: RM150

Buat masa ini, belum ada pengumuman rasmi lagi untuk tarikh sebenar, jadi pastikan anda mendapatkan info melalui sumber sahih ya!

3. MamaKerja Selangor
Dilema yang dihadapi ibu bekerja di Selangor ialah memilih antara meneruskan kerjaya atau berhenti kerja kerana kos penjagaan anak yang tinggi. Kos menghantar anak ke taska atau pusat jagaan antara implikasi kewangan yang besar bagi keluarga di Selangor.
MamaKerja adalah janji Kerajaan Perpaduan kepada rakyat sejak PRN Selangor 2023 dan sejak dilancarkan, seramai 3,850 ibu bekerja telah menerima insentif ini.
Kini melalui Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2, insentif RM1,000 ini akan disalurkan menerusi aplikasi Nine sebagai sokongan kepada ibu bekerja yang mempunyai anak kecil dan memerlukan khidmat taska atau pusat jagaan.
Program ini adalah pengiktirafan Kerajaan Negeri bahawa wanita adalah tulang belakang keluarga dan enjin ekonomi Selangor. Memperkasa golongan wanita bekerja adalah antara keutamaan pentadbiran ini.
Permohonan fasa baru dibuka Ogos ini melalui aplikasi Nine. Layak untuk ibu bekerja yang mempunyai anak berumur 6 tahun ke bawah dan berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.

4. Program TVET Frontier Fellowship
Majlis TVET Negara mempelawa graduan Ijazah Sarjana Muda yang berkelayakan untuk menyertai Program TVET Frontier Fellowship, sebuah inisiatif penempatan di institut penyelidikan Kerajaan yang memberi pendedahan kepada penyelidikan, pembangunan teknologi dan inovasi dalam bidang teknologi strategik negara.
Program selama 12 bulan ini menyediakan peluang kepada peserta untuk terlibat dalam projek penyelidikan sebenar, dibimbing oleh penyelidik berpengalaman serta meningkatkan kompetensi bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Antara manfaat yang ditawarkan:
- Elaun RM3,000 sebulan
- Penempatan selama 12 bulan di institut penyelidikan Kerajaan
- Penglibatan dalam projek penyelidikan dan pembangunan teknologi
- Bimbingan daripada penyelidik dan pakar industri
- Pendedahan kepada ekosistem penyelidikan, inovasi dan teknologi strategik negara
Bidang TVET Frontier
- Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence)
- Kriptologi (Cryptology)
- Peralihan Tenaga (Energy Transition)
- Peralihan Hijau (Green Transition)
Kelayakan
Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang:
- Teknologi
- Sains
- Kejuruteraan
Permohonan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR pada poster atau melalui pautan berikut: https://shorturl.at/Jz9kO
Tarikh tutup permohonan: 31 Julai 2026 (Jumaat)
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan perintis TVET Frontier Fellowship yang akan menyumbang kepada pembangunan penyelidikan, teknologi dan inovasi negara.

5. Semakan Penempatan Tahun 1 KPM Sesi 2027 Bermula 1 Ogos
Ibu ayah yang telah mendaftar akan bagi kemasukan ke Tahun 1 untuk sesi 2027, jangan lupa semak penempatan anak-anak mulai 1 Ogos 2026 ini!
Untuk menyemak penempatan Tahun 1 dalam sistem idMe, ibu bapa perlu melayari portal rasmi idMe (idme.moe.gov.my). Setelah itu, log masuk ke dalam sistem dan cari menu atau bahagian yang berkaitan dengan semakan penempatan Tahun 1. Biasanya, akan ada pilihan untuk “Semakan Status Permohonan Tahun 1” atau yang serupa. Klik pada pilihan tersebut dan status penempatan anak akan dipaparkan.
Berikut adalah langkah-langkah yang lebih terperinci:
- Layari portal idMe: Buka pelayar web dan pergi ke idme.moe.gov.my.
- Log masuk: Masukkan ID Pengguna dan kata laluan yang sah untuk mengakses sistem.
- Cari semakan penempatan: Cari menu atau bahagian yang berkaitan dengan semakan penempatan Tahun 1.
- Semak status: Klik pada pilihan untuk melihat status penempatan anak anda.
- Lihat keputusan: Keputusan penempatan akan dipaparkan, termasuk maklumat sekolah yang ditawarkan.

6. Bantuan Perumahan Kasih Johor Dibuka Semula Mulai 3 Ogos 2026
Menteri Besar Johor telah bersetuju untuk membuka semula permohonan Perumahan Kasih Johor 2026 bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat yang layak untuk memohon bantuan yang disediakan.
Antara bantuan yang ditawarkan:
- Bantuan Masuk Rumah Pertama – RM2,000
- Bantuan Beli Rumah Pertama – RM5,000
- Bantuan Sewa Rumah – RM2,500
Permohonan yang lengkap boleh dihantar ke Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

Orang ramai disaran membuat persediaan lebih awal dengan menyemak syarat kelayakan, melengkapkan borang yang diperlukan serta menyediakan dokumen berkaitan sebelum mengemukakan permohonan. Semoga inisiatif ini akan terus membantu meringankan beban rakyat serta memperkukuh usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan lebih ramai Bangsa Johor memiliki akses kepada bantuan perumahan yang diperlukan.
Untuk mengetahui lebih lanjut, sila rujuk artikel berikut : Perumahan Kasih Johor (2026) – Permohonan Baharu Mulai 3 Ogos
7. Pengambilan INSPEN Dibuka, Elaun RM600 Sebulan
Tahu tak, lepasan SPM boleh dapat elaun RM600 sebulan kalau belajar di INSPEN? Habis belajar nanti boleh dpt peluang kerja dalam bidang harta tanah. Bagi yang belum tahu, sebenarnya INSPEN ni under MOF tau. Menarik kan?
Jom kami kongsikan lebih lanjut kerana permohonan sedang dibuka!

Institut Penilaian Negara (INSPEN) kini membuka permohonan bagi pengambilan pelajar 2026 untuk beberapa program sijil dalam bidang penilaian, pengurusan dan agensi harta tanah.
Menariknya, tempoh pengajian hanya 1 tahun 6 bulan, dengan yuran serendah RM365 setiap semester, malah pelajar yang layak turut menerima elaun makan RM20 sehari atau RM600 sebulan serta kemudahan penginapan percuma.
Institut Penilaian Negara (INSPEN) ialah institusi latihan di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada tahun 1985.

INSPEN menawarkan empat program utama iaitu:
- Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT)
- Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT)
- Sijil Agensi Harta Tanah (CEA)
- Certified Property Management Programme (CPMP)
Pelajar Mod Perdana menikmati pelbagai kemudahan seperti:
- Tempoh pengajian hanya 1.5 tahun
- Yuran hanya RM365 setiap semester
- Elaun makan RM600 sebulan (tertakluk syarat)
- Penginapan percuma
- Dilindungi insurans pelajar
- Kemudahan perpustakaan dan fasiliti sukan
- Peluang menyambung pengajian ke diploma dan ijazah di UiTM, UM, UTM dan UTHM melalui APEL.A

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang program ini, sila rujuk artikel berikut: Jom Belajar Di INSPEN! Penginapan Percuma, Elaun RM600 Sebulan & Peluang Kerjaya Dalam Bidang Harta Tanah
Follow Untuk Update Terkini & Share Info Ni
Kalau anda rasa artikel ni berguna, share dengan keluarga, rakan atau jiran supaya mereka juga dapat manfaat daripada bantuan kerajaan minggu ini. Jom follow kami supaya tak terlepas bantuan & insentif yang menarik untuk semua.




