Proteinuria : Punca Berlaku, Tanda-tanda & Cara Merawatnya

proteinuria
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Protein dalam air kencing atau nama saintifiknya, Proteinuria , merupakan satu keadaan di mana kandungan protein dalam air kencing seseorang individu adalah tinggi. Keadaan ini selalunya merupakan tanda penyakit buah pinggang.

Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lagi tentang protein dalam air kencing ini dan punca berlakunya masalah ini. Pastikan anda terus membaca artikel ini sehingga ke penghujung.

Apa itu Proteinuria?

Protein dalam air kencing atau Proteinuria merupakan satu kondisi di mana, terdapat peningkatan tahap protein yang luar biasa di dalam air kencing seseorang individu. Keadaan ini merupakan tanda bahawa terdapatnya masalah pada buah pinggang individu tersebut.

Buah pinggang yang sihat mampu menapis perkara yang tidak diperlukan badan dan menyimpan nutrien penting seperti protein dan vitamin. Oleh itu, apabila jumlah protein yang tinggi ditemui dalam air kencing ia merupakan tanda bahawa buah pinggang anda tidak berfungsi dengan betul.

Dua jenis protein yang biasa dijumpai dalam air kencing adalah albumin yang mengawal isipadu darah dan globulin yang merupakan protein antibodi. Apabila fungsi buah pinggang semakin menurun, jumlah albumin yang didapati dalam air kencing akan meningkat dan menjadi proteinuria.

Punca Berlakunya Proteinuria

Seperti yang dinyatakan di atas, punca utama berlakunya proteinuria ini adalah disebabkan oleh masalah buah pinggang. Keadaan ini biasanya disebut sebagai glomerulonefritis atau nefritis.

Namun begitu, masalah ini juga boleh berlaku disebabkan oleh perkara-perkara lain. Antaranya ialah:

  • Diabetes
  • Tekanan darah tinggi
  • Obesiti
  • Penyakit Kardiovaskular
  • Sejarah kesihatan keluarga.

Antara sebab lain berlakunya proteinuria sementara yang bukan menjadi tanda kerosakan buah pinggang yang signifikan ialah:

  • Berlaku berikutan senaman berat.
  • Berlaku semasa demam.
  • Berlaku semasa jangkitan saluran kencing

Tanda-tanda Protein Dalam Air Kencing

Kebanyakan orang yang mempunyai proteinuria tidak akan melihat sebarang tanda, terutamanya dalam kes awal atau ringan. Dari masa ke masa, apabila ia menjadi lebih teruk, anda mungkin mengalami gejala termasuk:

  • Kencing berbuih
  • Bengkak (edema) di tangan, kaki, perut, dan muka anda
  • Kencing lebih kerap
  • Sesak nafas
  • Kepenatan
  • Hilang selera makan
  • Sakit perut dan muntah
  • Kekejangan otot pada waktu malam
proteinuria-dv

Ujian Pengesanan Proteinuria

Seperti yang dinyatakan dibahagian sebelum ini, proteinuria ini sukar untuk dikenalpasti kerana simptom yang muncul selalunya berlaku apabila penyakit buah pinggang sudah berada pada tahap kronik.

Oleh itu, pemeriksaan berkala di hospital atau di klinik perlu dilakukan bagi menjamin kesihatan kita. Ujian pengesanan proteinuria ini boleh dilakukan di hospital atau klinik dengan beberapa cara. Berikut ialah cara-caranya:

  • Ujian air kencing.
    • Doktor akan menganalisis air kencing anda menggunak strip uji dan melihat tahap protein dalam air kencing
  • Ujian darah.
    • Ujian ini mengukur bahan kimia tertentu untuk memeriksa sejauh mana buah pinggang anda berfungsi.
  • Ujian pengimejan
    • Imbasan CT dan ultrasound boleh mengesan batu karang, tumor, atau penyumbatan lain.
  • Biopsi buah pinggang.
    • Doktor anda mungkin perlu mengambil sampel kecil tisu buah pinggang supaya juruteknik makmal boleh melihatnya di bawah mikroskop.

Sumber: WebMD

Cara Mengurangkan Protein Dalam Air Kencing

Berikut kami senaraikan beberapa tips atau kaedah yang boleh anda amalkan bagi mengurangkan proteinuria ini:

  • Amalkan gaya pemakanan sihat (kurang garam dan minyak).
  • Tukar sumber protein haiwan kepada sumber tumbuhan ( tauhu, tempeh, fucuk, dll)
  • Amalkan pengambilan Omega 3 bagi mengawal tekanan darah.
  • Kurangkan pengambilan gula bagi pesakit diabetis.
  • Pastikan pengambilan air masak adalah mencukupi

Cara Merawat Proteinuria

Kaedah merawat proteinuria ini bergantung kepada punca berlakunya masalah ini. Setiap punca memerlukan cara rawatan yang berbeza. Oleh itu, sangat penting untuk anda rujuk semula kepada Doktor, agar rawatan segera dapat dilakukan.

Namun begitu, langkah-langkah pencegahan masih boleh anda lakukan dari awal agar penyakit ini dapat dielak. Berikut kami senaraikan beberapa tips atau kaedah yang boleh anda amalkan bagi mengelakkan berlakunya proteinuria ini:

  • Amalkan gaya pemakanan sihat (kurang garam dan minyak).
  • Amalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman atau aktiviti riadah.
  • Kurangkan sumber protein haiwan, dan boleh tukar kepada sumber tumbuhan bagi menampung keperluan badan (tauhu, tempeh, fucuk, dll)
  • Amalkan pengambilan Omega 3 bagi mengawal tekanan darah.
  • Kurangkan pengambilan gula bagi pesakit diabetis.
  • Pastikan pengambilan air masak adalah mencukupi

Baca juga: Kelopak Garam : Jenis, Punca & Cara Merawat

Maklumat Tambahan

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan Proteinuria ini anda boleh lihat dalam risalah yang disediakan di bawah:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut