Kelopak garam atau turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti sopak garam, gegata, dan jilatan jin, merupakan penyakit yang menyebabkan kulit seseorang menjadi bengkak, menebal merah dan kegatalan.
Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lagi tentang penyakit sopak garam ini dan bagaimana cara merawatnya, pastikan anda terus membaca artikel ini sehingga ke penghujung.
Jom baca!
Apa itu Kelopak Garam?
Kelopak garam atau nama saintifiknya Urtikaria merupakan penyakit yang menyebabkan sebahagian atau keseluruhan anggota badan anda bengkak, kemerahan dan gatal-gatal.
Penyakit ini dikenali juga sebagai sopak garam kerana kepercayaan orang-orang tua yang menyatakan bahawa penyakit ini boleh disembuhkan jika diletakkan garam pada bengkak-bengkak tersebut.
Kawasan bengkak atau benjolan kecil yang timbul disebabkan oleh penyakit ini dikenali sebagai “Wheal”.
Wheal ini biasanya timbul dalam ukuran 1 hingga 2 cm, namun ia juga boleh bergabung dengan wheal bersebelahan yang seterusnya membentuk saiz benjolan yang lebih besar.
Berikut merupakan contoh kelopak garam yang boleh berlaku pada tubuh pesakit:
Jenis Kelopak Garam
Jenis urtikaria merujuk kepada kategori ruam gatal atau gegata yang berbeza berdasarkan punca dan tempoh berlakunya.
Setiap jenis mempunyai ciri dan cara rawatan yang berbeza bergantung kepada faktor pencetusnya.
Mengenali jenis urtikaria penting untuk mendapatkan rawatan yang tepat.
Gegata Akut
Gegata akut merupakan penyakit kelopak garam yang ringan, di mana ia boleh berlaku secara tiba-tiba dan hilang dalam tempah 24 hingga 48 jam.
Jenis gegata ini akan berlaku secara berterusan atau berulang kali tidak lebih dari tempoh enam minggu.
Gegata Kronik
Gegata kronik, merupakan penyakit gegata yang berlaku selama lebih dari tempoh enam minggu dan boleh berlaku berbulan-bulan lamanya.
90 peratus punca berlakunya gegata kronik ini selalunya tidak diketahui dan berlaku secara tiba-tiba.
Walaupun tidak mengancam nyawa, namun kelopak garam jenis ini boleh menjadi tidak selesa dan sukar untuk dirawat.
Penyakit ini juga mungkin merupakan tanda bagi masalah kesihatan lain yang dihadapi pesakit, seperti:
Tanda & Gejala Kelopak Garam
Bagi ibu bapa atau individu yang tidak tahu bagaimana untuk mengesan sama ada penyakit yang dialami itu adalah kelopak garam atau bukan, anda boleh lihat tanda dan gejala penyakit ini di bawah:
- Timbul benjolan atau tompok dalam pelbagai bentuk dan saiz
- Muncul di mana-mana anggota badan atau merebak ke seluruh badan
- Berasa gatal, pedih atau melecur
- Benjolan bewarna merah atau merah jambu
Baca juga: Kutu Air : Punca Jangkitan Pada Kaki & Cara Merawat
Punca Kelopak Garam
Penyakit kelopak garam ini selalunya berlaku disebabkan oleh alahan yang dihadapi oleh pesakit.
Namun begitu, terdapat juga sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan penyakit ini berlaku:
- Alahan
- Alahan makanan.
- Alahan kepada gigitan serangga dan penyengat.
- Alahan kepada ubat-ubatan
- Jangkitan Virus
- Jangkitan virus yang ringan seperti selesema boleh mencetuskan ruam urtikaria pada sesetengah orang.
- Sentuhan kulit
- Sentuhan kulit dengan sensitiser menyebabkan urtikaria setempat pada sesetengah orang. Contoh sensitiser termasuk bahan kimia, getah, kosmetik, tumbuh-tumbuhan, ‘ointment’, sengat, dan lain-lain.
- Urtikaria fizikal
- Urtikaria fizikal adalah keadaan di mana ruam setempat timbul apabila kulit dirangsang secara fizikal. Pembentukan ruam di kawasan kulit yang telah diusap dipanggil ‘Dermographism’.
- Sebab Lain
- Kadang-kadang ruam kelopak garam ini juga boleh disebabkan oleh haba, kesejukan, emosi, senaman, atau cahaya matahari yang kuat.
- Kebanyakan kes gegata ini juga berlaku tanpa diketahui sebabnya.
Cara Merawat Gegata
Seperti yang dinyatakan di bahagian sebelum ini, penyakit kelopak garam ini tidak berbahaya dan tidak mengancam nyawa.
Bagi ruam yang muncul dalam tempoh 24 hingga 48 jam anda tidak perlu mengambil sebarang ubat-ubatan.
Namun begitu, jika anda tidak dapat menahan gatal ataupun ia berlaku lebih dari tempoh tersebut, anda boleh mendapatkan ubat antihistamin di farmasi berdekatan.
Ubat ini membantu dalam meringankan kegatalan anda.
Jika anda mengalami gegata kronik, selain mengambil ubat antihstamin, anda juga boleh melakukan pemeriksaan di hospital.
Hal ini bagi mengetahui sebab anda mengalami gegata tersebut.
Melalui cara ini, langkah pencegahan pada masa akan datang dapat dilakukan.
Cara Hilangkan Kelopak Garam Cara Tradisional
Ruam gatal boleh menyebabkan ketidakselesaan pada kulit serta mengganggu aktiviti harian.
Berikut adalah beberapa petua semula jadi yang boleh membantu mengurangkan rasa gatal dan mempercepatkan penyembuhan ruam.
Nmaun, ingat ini hanya sebagai cara alternatif, sebaiknya anda berjumpa dengan doktor jika masalah sopak garam masih berlarutan.
- Aloe Vera
Gel aloe vera terkenal dengan sifat penyejuk dan antiradang. Sapukan gel segar terus pada kawasan ruam untuk membantu mengurangkan kerengsaan, kemerahan dan rasa panas. - Air Kelapa
Air kelapa bersifat menyejukkan dan boleh membantu menenangkan kulit yang meradang. Basuh kawasan ruam dengan air kelapa segar atau sapu menggunakan kapas bersih. - Daun Sirih
Rebus beberapa helai daun sirih dan biarkan airnya suam. Gunakan air rebusan tersebut untuk mencuci kawasan ruam bagi membantu mengurangkan kegatalan dan mencegah jangkitan. - Minyak Kelapa Dara
Minyak kelapa dara mengandungi sifat antimikrob dan boleh melembapkan kulit. Sapukan sedikit minyak kelapa pada ruam untuk mengurangkan kering dan gatal. - Mandi Oatmeal
Oatmeal membantu menenangkan kulit sensitif. Campurkan oatmeal dalam air mandi suam dan rendamkan badan selama 10-15 minit untuk mengurangkan gatal dan radang.
Dengan mengamalkan petua ini, ruam gatal boleh dirawat secara semula jadi tanpa bahan kimia.
Jika ruam berlarutan atau menjadi lebih teruk, sebaiknya dapatkan nasihat doktor.
Sumber:
- Portal MyHealth
- Twitter Lyana Kamal