12 Makanan Sarawak Yang Unik dan Wajib Dicuba

Sebagai negara dengan masyarakat berbilang kaum, Malaysia mempunyai pelbagai makanan tradisional yang sangat menarik dari pelbagai negeri.

Negeri yang terbesar di Malaysia iaitu Sarawak juga menawarkan variasi hidangan tradisional yang unik.

Berikut kami kongsikan 12 makanan Sarawak yang anda patut cuba jika anda berkunjung ke negeri Bumi Kenyalang.

12 Makanan Sarawak Yang Unik dan Wajib Dicuba

1. Laksa Sarawak

Mempunyai rasa yang unik hasil gabungan rempah ratus dan santan, Laksa Sarawak menjadi antara makanan Sarawak yang paling ikonik.

Ia juga tersenarai sebagai hidangan Top 10 oleh chef antarabangsa, Anthony Bourdain.

Tarikan utama hidangan ini sudah tentu kuah laksa yang diperbuat daripada udang, belacan, lengkuas, serai, santan serta dihias bersama taugeh, udang, serta ayam.

Ia biasanya dihidangkan bersama mihun.

Sumber : Mstar

2. Mee Kolok

Satu lagi hidangan mi yang cukup terkenal dari Bumi Kenyalang, mee kolok mempunyai rasa yang ringkas dan membuatkannya sesuai untuk dinikmati pada bila-bila masa sahaja.

Juadah ini menggunakan mi yang digaul bersama minyak dan kicap. Kemudian ia dihidangkan bersama daging, bawang dan taugeh.

Sumber : Facebook Ipoh Mari

3. Mee Tomato Rangup

Hidangan ini menggunakan yee mee yang rangup dan dihidangkan bersama kuah tomato, makanan laut, daging dan sayur-sayuran.

Ia juga sesuai untuk dinikmati bersama mihun atau kuey teow.

Sumber : Facebook Pakej Percutian Kuching

4. Terung Dayak

Terung Dayak bukanlah seperti sayuran terung yang kita kenali. Malah, ia adalah buah berwarna oren, berbentuk bulat dan masam rasanya.

Ia sering dijadikan ramuan dalam hidangan berkuah yang masam seperti asam pedas ikan dan sebagainya.

Sumber : Maggi

5. Midin Masak Belacan

Juga dikenali sebagai pucuk pacu, sayur midin biasanya ditumis ringkas bersama bawang putih dan belacan.

Rasa hidangan ini juga semakin enak bila dipadankan bersama ikan masin atau ikan bilis.

Jangan lupa untuk memesannya jika anda kunjungi restoran atau kedai nasi campur di Sarawak.

Sumber : Facebook I Love Sarawak

6. Manok Pansoh

Manok Pansoh merupakan juadah ayam yang dimasak di dalam buluh. Merupakan makanan yang popular dalam kalangan suku kaum Iban, ia mengandungi ramuan seperti ketulan ayam, serai dan pucuk ubi.

Ia akan dimasak secara perlahan bagi menyerap aroma dan menghasilkan ayam yang berperisa.

Makanan Sarawak yang cukup unik ini juga telah tersenarai sebagai salah satu Warisan Kebangsaan.

makanan sarawak

7. Kuih Selorot

Kuih selorot adalah sejenis kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras dan santan.

Ia kemudiannya dibungkus dengan daun kelapa muda berbentuk kelongsong. Kuih ini biasanya dihidangkan semasa bulan Ramadan.

makanan sarawak
Sumber: Siakap Keli

8. Umai

Umai adalah hidangan khas bagi kaum Melanau. Ia dihasilkan dengan ramuan seperti hirisan ikan segar, bawang, cili, garam dan jus limau atau asam. Ia digaulkan bersama dan dihidangkan bersama udang yang dicelur.

Umai biasanya dimakan dengan nasi panas atau sago bakar.

makanan sarawak

9. Ulat Mulong

Walaupun makanan Sarawak yang satu ini agak pelik, namun Ulat Mulong dikatakan mempunyai tekstur yang unik terutamanya ulat yang gemuk.

Ada juga yang mengatakan rasa ulat ini sama seperti udang.

Ia biasanya disalai, digoreng dengan kicap atau dijadikan sate.

makanan sarawak

10. Dabai

Buah Dabai pada asalnya mempunyai tekstur yang keras. Namun, jika ia direndam di dalam air suam bergaram selama 15 minit, ia akan berubah menjadi buah yang berisi lembut seperti kurma.

Isinya yang berwarna kuning bukan sahaja manis berkrim, malah bijinya juga boleh dimakan.

Sumber : cookpad.com

11. Linut

Linut yang juga dikenali sebagai ambuyat diperbuat daripada tepung sagu dan air panas. Kedua-dua bahan ini dikacau sehingga terhasilnya campuran yang kental seperti jeli.

Ia sesuai untuk dinikmati bersama sos khas, lauk berkuah masam, masin pedas atau sayur midin.

makanan sarawak

12. Tebaloi

Tebaloi atau biskut sagu adalah kuih tradisional yang popular di Sarawak khususnya bagi suku kaum Melanau.

Kuih ini boleh didapati dalam bentuk segi empat tepat dalam pelbagai warna dan dipotong dalam kepingan yang nipis.

makanan sarawak
Sumber : businesstoday.com

Rupanya ada cukup banyak jenis makanan Sarawak yang kita tidak pernah dengar atau cuba sendiri.

Dari kuih tradisional sehinggalah ke lauk yang dimasak di dalam buluh, makanan yang boleh didapati di Sarawak semestinya bakal memberikan pengalaman yang cukup berbeza bagi yang pertama kali mencuba.

Jadi, makanan Sarawak manakah yang anda bakal cuba selepas ini?

Sumber : I Love Borneo, SAYS

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!