Lahir di Malaysia tidak secara automatik menjadikan seseorang individu itu sebagai warganegara Malaysia.
Menurut penjelasan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), status kewarganegaraan seseorang ditentukan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa, bukannya sekadar lokaliti tempat kelahiran.
Rujuk fakta penting mengenai undang-undang kewarganegaraan di Malaysia yang dikongsikan di bawah.
Lahir di Malaysia Tak Automatik Jadi Warganegara
Sijil Lahir vs Kewarganegaraan
Pendaftaran kelahiran di Malaysia adalah mandatori untuk semua individu, namun ia tidak memberikan status kewarganegaraan secara automatik.
Warga asing yang mendaftarkan bayi mereka di JPN tidak akan mendapat Sijil Kelahiran berwarna hijau. Sebaliknya, mereka akan menerima Sijil Kelahiran Bukan Warganegara berwarna merah jambu.
Dokumen ini hanyalah bukti bahawa proses kelahiran telah direkodkan secara sah di bawah undang-undang negara, bukannya bukti kewarganegaraan.
Ingat! Lahir di Malaysia tidak automatik bermaksud warganegara atau MyKad secara automatik.

Jenis Sijil Kelahiran di Malaysia
Di Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan dua jenis sijil kelahiran utama yang dibezakan mengikut warna dokumen.
Perbezaan warna ini berfungsi untuk menunjukkan taraf kewarganegaraan seseorang individu secara jelas seawal masa kelahiran mereka didaftarkan.
1. Sijil Kelahiran Warganegara (Warna Hijau)
- Dikeluarkan khusus untuk individu yang sah dan diiktiraf sebagai Warganegara Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.
- Diverikan kepada individu yang diiktiraf sebagai Warganegara Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
- Dokumen hijau ini merupakan bukti kewarganegaraan sah yang membolehkan kanak-kanak tersebut memohon kad pengenalan (MyKid dan seterusnya MyKad) apabila cukup umur.
2. Sijil Kelahiran Bukan Warganegara (Warna Merah Jambu / Pink)
- Dikeluarkan untuk individu yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
- Berfungsi sebagai dokumen rasmi yang membuktikan bahawa proses kelahiran anak tersebut telah didaftarkan secara sah di Malaysia bagi tujuan rekod negara. Sijil merah jambu ini bukan bukti kewarganegaraan dan tidak boleh digunakan untuk memohon MyKad.

3 Sebab Bayi Menerima Sijil Kelahiran Merah Jambu
Antara keadaan yang boleh menyebabkan seseorang bayi didaftarkan sebagai bukan warganegara:
- Kedua-dua ibu bapa merupakan warga asing.
- Status kewarganegaraan ibu bapa tidak dapat disahkan ketika pendaftaran kelahiran dibuat.
- Kelahiran melibatkan isu undang-undang yang memerlukan penelitian Jabatan Pendaftaran Negara untuk menentukan kewarganegaraan.
Sijil lahir merah jambu ialah bukti kelahiran yang sah di Malaysia, tetapi bukan bukti kewarganegaraan.
Hanya setelah proses penyemakan dan pengesahan selesai, barulah status kewarganegaraan (berwarganegara atau bukan warganegara) dapat ditentukan.

Kenapa Sijil Lahir Pink Tidak Boleh Guna Untuk Mohon MyKad?
Sijil Kelahiran berwarna merah jambu (pink) tidak boleh digunakan untuk memohon MyKad kerana ia bukan bukti kewarganegaraan Malaysia, melainkan sekadar rekod rasmi bahawa sesuatu kelahiran telah berlaku di dalam negara Malaysia.
Bagi pemegang sijil pink, sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menjana struktur nombor pengenalan warganegara kerana profil mereka didaftarkan di bawah kategori warga asing atau status yang belum disahkan.
Bagi kes tertentu, sijil pink diberikan sebagai dokumen sementara. Pemohon perlu melalui proses pengesahan taraf, permohonan, atau rayuan rasmi di JPN terlebih dahulu.
Cara Daftar Kelahiran Anak Di JPN (2026)
Pendaftaran kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) wajib dilakukan dalam tempoh 60 hari setelah bayi dilahirkan.
Jika lewat daripada tempoh tersebut, pendaftaran akan dikategorikan sebagai “Pendaftaran Lewat Kelahiran”.
Pemohonan pendaftaran kelahiran boleh dibuat oleh individu seperti berikut:
- Ibu atau bapa kanak-kanak itu
- Penjaga kanak-kanak itu
- Individu yang mengetahui atau menyaksikan tentang kelahiran kanak-kanak itu
- Ibu dan bapa kanak-kanak (bagi pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf)
Pemaklum kelahiran dikehendaki hadir di JPN berhampiran dengan membawa dokumen-dokumen yang diperlukan.
Dokumen diperlukan ialah:
- Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 yang telah diisi dengan lengkap (asal);
- Borang Pengesahan Kelahiran daripada hospital atau Surat Pengesahan Doktor bagi kelahiran di rumah (asal);
- Laporan Polis bagi kelahiran di rumah (asal);
- Kad Pranatal (Buku Rawatan Mengandung) atau Kad Rawatan Semasa Ibu Mengandung (asal dan salinan);
- Kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri ibu dan bapa (asal dan salinan)
- Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri pemaklum [jika pemaklum bukan ibu atau bapa kanak-kanak] (asal dan salinan);
- Sijil Kematian ibu dan bapa kanak-kanak (asal dan salinan- jika berkaitan); dan
- Dokumen Perkahwinan atau Perceraian ibubapa kanak-kanak (asal dan salinan).
- Surat akuan AM80 sekiranya tiada buku rawatan mengandung atau kad rawatan mengandung.
- Surat pengesahan daripada pegawai perubatan bagi bayi kelahiran pra-matang. (jika berkaitan)
- Bil Utiliti (bil air / bil elektrik / bil astro / bil telefon) – Sekiranya alamat tempat tinggal
- berbeza dari alamat kad pengenalan / pemegang pasport dan dokumen bukan warganegara.
Permohonan Pra Pendaftaran Kelahiran Anak
Ibu bapa juga boleh buat Permohonan Pra Pendaftaran Kelahiran Anak secara dalam talian sebelum hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk pengesahan dan mendapatkan sijil kelahiran.
Sistem ini mempercepatkan proses dokumentasi dan mengurangkan masa menunggu di kaunter bagi mengelakkan pendaftaran lewat kelahiran.
Anda boleh layari https://osdftrlhr.jpn.gov.my/indexi.php untuk buat Pra Pendaftaran Kelahiran Anak secara dalam talian.

Maklumat Lanjut
Untuk pertanyaan lanjut berkenaan pendaftaran kelahiran di Malaysia, anda boleh rujuk:
- Laman Web Rasmi: www.jpn.gov.my
- Talian: +60 3-8880 7077
- Emel: [email protected]
- Facebook: Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia
Soalan Lazim Lahir di Malaysia Tak Automatik Jadi Warganegara
Tidak layak. Tempat kelahiran semata-mata tidak memberikan kewarganegaraan secara automatik.
Tidak boleh. Sijil kelahiran berwarna merah jambu dengan jelas menyatakan status “Bukan Warganegara”. Sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan mengeluarkan MyKad (kad pengenalan warganegara) selagi status kewarganegaraan anak tersebut belum ditukar dan diluluskan kepada “Warganegara”.
Ibu bapa atau penjaga yang sah masih boleh mengemukakan permohonan pendaftaran kewarganegaraan secara rasmi melalui JPN di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan (contohnya permohonan pendaftaran anak di bawah Seksyen 15A untuk kes-kes khas/keadaan khas). Kelulusan adalah tertakluk kepada penelitian kerajaan.5
Ya, sah. Sijil kelahiran berwarna merah jambu adalah dokumen rasmi negara yang membuktikan bahawa proses kelahiran anak tersebut telah direkodkan secara sah di bawah undang-undang Malaysia bagi tujuan keselamatan dan data populasi. Ia cuma bukan bukti kerakyatan, tetapi berfungsi sebagai dokumen identiti kelahiran anak tersebut di Malaysia.



