Jom kita recap balik semua pengumuman, bantuan & insentif oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk minggu ini, setakat 25 Ogos 2026.
Minggu lepas, pelbagai pengumuman dan insentif Kerajaan Persekutuan & Kerajaan Negeri telah diumumkan khas untuk rakyat Malaysia, antaranya Bantuan Kemasukan IPT, pengumuman keputusan STPM, permohonan Yayasan Selangor, Jualan Ihsan Rahmah 9.9, pelaksanaan lesen homestay Pulau Pinang dan macam-macam lagi. Berikut senarai lengkap pengumuman, bantuan & insentif untuk minggu ini supaya anda tidak terlepas peluang untuk memohon sebelum tarikh tutup!

1. Bantuan Kemasukan IPT
Dapat tawaran masuk IPTA, tapi risau tentang masalah kewangan?
Jangan pendam kebimbangan itu sendirian. Anda boleh dapatkan bantuan dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti masing-masing.
KPT prihatin dan sentiasa berusaha memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan tinggi hanya kerana kekangan kewangan.
- Buat bakal mahasiswa dan pelajar yang sedang melalui situasi ini, jangan takut untuk bersuara dan dapatkan bantuan.
- Jika menghadapi masalah kewangan, hubungi pihak IPTA masing-masing untuk dapatkan maklumat dan bantuan.
Pelbagai inisiatif disediakan oleh KPT bagi membantu serta mencari jalan agar pelajar dapat meneruskan pengajian.






2. Semakan Keputusan STPM
Keputusan Peperiksaan Semester 2 STPM 2026 boleh dibuat mulai 9 September 2026, pada jam 10.00 pagi (Rabu).
Semakan boleh dibuat secara online melalui laman web rasmi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di pautan https://stpm.mpm.edu.my
Rayuan semak semula keputusan juga boleh dibuat pada hari yang sama, dan tarikh tutup untuk semakan ini ialah pada 13 September 2026, jam 11.30 malam.

3. Permohonan Program Rancangan Khas Pendidikan – Yayasan Selangor
Permohonan Pengambilan Murid Tingkatan 1 Di Bawah Program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor kini dibuka.
KRITERIA KELAYAKAN PERMOHONAN :
- Mendapat sekurang-kurangnya TP 3 untuk semua matapelajaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Tahun 6 sekolah rendah.
- Bersekolah di sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia atau sekolah swasta yang berdaftar di Kementerian Pendidikan Malaysia (keutamaan untuk murid luar bandar)
- Pemohon atau ibu atau bapa lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun (pemastautin mesti mengisi Borang Pengesahan Pemastautin).
- Pemohon dari keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita (pendapatan ibu bapa bahagi bilangan tanggungan) kurang RM2000.00 sebulan.
- Pemohon, ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia
- Pemohon sihat fizikal, mental dan emosi dan tidak menyukarkan bergerak atau berjalan seperti naik turun bas, bersukan dan lain-lain.

Untuk makluman lanjut, sila layari laman web Yayasan Selangor : http://yayasanselangor.org.my.
4. Sambutan Merdeka & Raptai
Raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos 2026 (Khamis hingga Sabtu) bertempat di Dataran Putrajaya, Putrajaya.
- 27 – 28 Ogos 2026 | Raptai 1 & 2
- 29 Ogos 2026 | Raptai Penuh
- 7.00 pagi
- Dataran Putrajaya, Presint 3

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” akan diadakan pada ketetapan berikut:
- 31 Ogos 2026 (Isnin)
- 7.00 pagi
- Dataran Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya
Semua rakyat Malaysia dijemput hadir bagi bersama-sama meraikan detik penuh bermakna ini dan menghayati semangat kemerdekaan, perpaduan serta kesejahteraan yang dinikmati bersama.

5. Lesen Pengendali Homestay Diwajibkan Di Pulau Pinang
Pulau Pinang menjadi negeri pertama di negara ini menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang) 2026 mulai 1 Ogos lepas bagi memperkukuh kawal selia dan penguatkuasaan pengoperasian tempat inap persendirian @ homestay (TIP).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa negeri Jason H’ng Mooi Lye berkata cadangan pewartaan undang-undang kecil itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 10 Jun lepas dan kerajaan negeri memberi tempoh dua bulan untuk permohonan lesen.
TIP merujuk kepada aktiviti penginapan jangka pendek tidak melebihi enam bulan berturut-turut tanpa hubungan tenansi (sewa) antara pemilik dan penyewa, sama ada diuruskan sendiri atau menerusi platform tertentu dengan mengenakan bayaran.
Menerusi undang-undang kecil terbabit, setiap pengusaha perlu mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mematuhi syarat berkaitan pengoperasian, kebersihan, keselamatan, aktiviti larangan serta kawalan kacau ganggu.
Undang-undang kecil itu turut memberi kuasa kepada PBT untuk menjalankan pemeriksaan, siasatan, memasuki premis serta menutup premis sekiranya berlaku pelanggaran syarat.
Terdapat beberapa fi yang akan terlibat, iaitu:
- Fi pentadbiran sebanyak RM50 dikenakan bagi setiap permohonan
- Fi lesen sebanyak RM1,000 setahun bagi premis hingga tiga bilik
- Tambahan RM200 setahun bagi setiap bilik tambahan.
- Fi TIP sebanyak RM1,800 setahun bagi setiap unit
- Pemilik premis yang gagal mematuhi undang-undang kecil itu boleh dikompaun sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Aktiviti TIP tidak dibenarkan di premis kerajaan atau badan berkanun, pusat jagaan kesihatan atau kanak-kanak, asrama pekerja, institusi pendidikan swasta serta perumahan kos rendah, kos sederhana rendah, rumah kawalan harga dan Projek Perumahan Rakyat.
*Sumber: BERNAMA, Buletin Mutiara

6. Jualan Ihsan Rahmah Madani 9.9
Berita baik! Kerajaan akan melancarkan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 September ini bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperluas capaian program Jualan Rahmah menerusi platform digital, selaras dengan perkembangan ekonomi dan perdagangan dalam talian.
Pelaksanaan jualan secara maya itu juga mengambil inspirasi daripada kejayaan pelbagai platform e-dagang tempatan yang membantu usahawan kecil serta memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan.
Program Jualan Rahmah yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

7. Semakan Semula Gaji Minimum
Kerajaan sedang semak semula kadar gaji minimum negara bagi menentukan sama ada kadar semasa RM1,700 sebulan dikekalkan atau dinaikkan ke paras baharu.
Menurut Kementerian Sumber Manusia, ia mengambil kira indikator asas termasuk Pendapatan Garis Kemiskinan dan gaji penengah bagi mengukur keperluan asas pekerja serta keupayaan majikan bayar upah.
Keputusan akhir dijangka dibuat selepas proses penetapan kadar baharu dimuktamadkan oleh Majlis Perundingan Gaji dan Gig Negara.
Dalam laporan oleh Berita RTM, kajian semula kadar gaji minimum dijangka selesai pada September depan, sebelum keputusan dibuat sama ada kadar sedia ada akan disemak semula atau dikekalkan.
8. Cuti Umum 2027
Tarikh Cuti Umum 2027 di Malaysia dah dikeluarkan oleh Bahagian Kabinet, Perlembagaan Dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.
Senarai hari kelepasan am yang disenaraikan termasuk cuti Persekutuan dan Negeri, antaranya Tahun Baru Cina (6 Feb), Awal Ramadan (8 Feb), Hari Raya Puasa (10 Mac), Hari Raya Korban (17 Mei), Awal Muharam (6 Jun), Deepavali (28 Oktober).
Semak jadual penuh di bawah:



9. Jadual SPM 2026 Diumumkan
Tarikh peperiksaan SPM telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jadual waktu SPM Tahun 2026 telah dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Jadual penuh boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan:
10. Inisiatif Kemasukan Percuma Tarikan Di Melaka 31 Ogos
Kerajaan Negeri Melaka menawarkan kemasukan percuma ke 13 tempat pelancongan terpilih di seluruh negeri khas untuk rakyat Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos ini.
Menurut kenyataan rasmi daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, inisiatif ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik di samping membolehkan para pelancong meneroka keunikan sejarah, rekreasi, dan warisan Melaka tanpa sebarang kos tiket.
Berikut senarai lokasi menarik di Melaka yang boleh dikunjungi secara PERCUMA pada 31 Ogos 2026:
- 1. Menara Taming Sari
- 2. Melaka River Cruise
- 3. Eco Cruise Sungai Linggi
- 4. Eco Cruise Tasik Chin Chin
- 5. Muzium di bawah PERZIM
- 6. Zoo Melaka
- 7. Muzium Penjara Malaysia Melaka
- 8. Kompleks Kraf Melaka
- 9. Kompleks Air Panas Gadek
- 10. Balai Cerap Al-Khawarizmi
- 11. Melaka Wonderland & Themepark
- 12. Ayer Keroh Country Club (AKCC)
- 13. Tiara Melaka Golf & Country Club
31 Ogos 2026 sahaja tauu! Jangan lupa datang ya!

Follow Untuk Update Terkini & Share Info Ni
Kalau anda rasa artikel ni berguna, share dengan keluarga, rakan atau jiran supaya mereka juga dapat manfaat daripada bantuan kerajaan minggu ini. Jom follow kami supaya tak terlepas bantuan & insentif yang menarik untuk semua.




