Kelas Seliaan Negeri : Penerangan & Tarikh Semakan Permohonan

Kelas seliaan negeri
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bagi anda yang telah melakukan permohonan ke Kelas Seliaan Negeri bagi tahun 2025, semakan permohonan akan dibuka bermula Februari ini.  

Pastikan anda membaca artikel ini sehingga ke penghujung untuk mengetahui bagaimana cara melakukan semakan ini dan bilakah tarikh semakan boleh dilakukan. 

Apa itu Kelas Seliaan Negeri?

Kelas Seliaan Negeri atau KSN merupakan sejenis program yang dikhususkan untuk para pelajar yang cemerlang dari aspek  akademik, pentaksiran aktiviti jasmani dan kokurikulum (PAJSK) serta mempunyai rekod disiplin yang baik. 

Ia merupakan satu program yang ditawarkan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyediakkan pendidikan yang berkualiti tinggi kepada para pelajar yang mempunyai potensi yang tinggi. 

Untuk pengetahuan anda juga, permohonan bagi program ini hanya boleh dilakukan oleh guru sekolah rendah anak-anak anda sahaja. Hal ini bagi memudahkan proses tapisan pelajar dan dalam masa yang sama dapat memastikan hanya pelajar yang berkelayakan sahaja yang menyertai program ini. 

KSN ini  merangkumi pelbagai jenis kelas yang dirancang termasuk Kelas Rancangan Khas (KRK), Kelas Aliran Agama (KAA), dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Berikut merupakan sedikit penerangan berkenaan kelas-kelas ini.

Jenis Kelas Seliaan Negeri 

Kelas Seliaan Negeri (KSN) terdiri daripada beberapa jenis kelas yang dirancang untuk memenuhi keperluan pendidikan pelajar yang berpotensi tinggi. Berikut adalah penjelasan lebih lanjut mengenai jenis-jenis kelas yang termasuk dalam KSN:

  1. Kelas Rancangan Khas (KRK):
    • KRK adalah kelas yang ditujukan untuk pelajar yang menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang. Kelas ini menawarkan kurikulum yang lebih intensif dan mendalam, serta aktiviti pembelajaran yang dirancang untuk mengembangkan potensi pelajar secara maksimum.
  2. Kelas Aliran Agama (KAA):
    • Kelas ini direka untuk pelajar yang berminat mendalami ilmu agama sambil mengikuti kurikulum akademik yang standard. Dalam KAA, pelajar akan mempelajari subjek-subjek agama seperti Al-Qur’an, Fiqh, dan Tasawuf, di samping subjek-subjek lain yang diperlukan dalam pendidikan formal.
  3. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK):
    • SABK adalah sekolah yang menyediakan pendidikan agama dan akademik secara seimbang. Sekolah-sekolah ini menerima bantuan daripada kerajaan dan menawarkan kurikulum yang mengintegrasikan pendidikan agama dengan pendidikan umum.
  4. Kolej Sarawak:
    • Kolej Sarawak merupakan satu-satunya kelas di bawah KSN yang berlainan dari kelas-kelas yang lain. Hal ini demikian kerana kelas ini hanya terdapat di negeri Sarawak sahaja.
    • Kolej ini menyediakan pelbagai kursus dan program yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pelajar dalam pelbagai bidang.

Cara Memohon

Seperti yang dimaklumkan di bahagian sebelum ini, permohonan ke KSN atau Kelas Seliaan Negeri ini hanya boleh dilakukan oleh para guru sahaja. Permohonan ini boleh dilakukan melalui aplikasi APDM.

Bagi para guru yang bakal melakukan permohonan, anda boleh rujuk dalam slide yang disediakan KPM di bawah:

Baca juga: Permohonan Kolej Vokasional & Sekolah Teknik 2025

Tarikh Semakan Keputusan

Bagi pelajar yang telah dicalonkan oleh para guru mereka anda boleh mula melakukan semakan keputusan KSN ini bermula 31 Januari 2025 ini bagi kemasukan ke Kolej Sarawak, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Kelas Aliran Agama.

Manakala, bagi pelajar yang memohon ke Kelas Rancangan Khas, anda boleh melakukan semakan keputusan tawaran kemasukan ini bermula 4 Februari 2025.

Cara Semakan Keputusan KSN (Kolej Sarawak, SABK, KRK dan KAA)

Bagi pelajar yang telah melakukan permohonan, anda boleh melakukan semakan keputusan KSN dengan cara berikut:

  1. Pergi laman web https://bit.ly/semakanKSN2025
  2. Sila pilih semakan tawaran yang hendak dilakukan.
  3. Masukkan No Kad Pengenalan dengan betul dan tekan butang “Enter”.
  4. Sila tangkap layar (screenshot) paparan keputusan sebagai rujukan.
Kelas Seliaan Negeri

*NOTA : Jika anda mendapat jawapan yang tidak memberansangkan anda boleh melakukan permohonan semula, dengan mengisi borang rayuan permohonan semula.

Borang tersebut boleh diperoleh di Pejabat Pendidikan Daerah anda bermula 3 Februari 2025.

      Follow eCentral di WhatsApp Channel
      Ikut