Individu Lengkap Vaksin Di Negeri Fasa 1 PPN Boleh ‘Dine-in’ Bermula 20 Ogos 2021

Individu lengkap divaksin di negeri Fasa 1 PPN boleh ‘dine-in’ bermula esok, 20 Ogos 2021.

Bermula esok, 20 Ogos, individu yang sudah lengkap vaksinasi dibenarkan untuk ‘dine-in’ atau makan di restoran bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan ia merupakan salah satu daripada kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi yang diberikan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Pertimbangan itu dibuat mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang telah melebihi 50 peratus.

“Mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di WP Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang.

“Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.

“Pada masa yang sama, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Perkembangan itu, kata Muhyiddin, selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang  yang memberangsangkan iaitu 73.8 peratus.

Seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi beberapa kriteria iaitu melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac, manakala bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Selain kebenaran dine-in, turut diberi kebenaran beroperasi di negeri Fasa 1 PPN ialah pasar malam dan pasar minggu serta aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor).

*Sumber: Facebook TS Muhyiddin Yassin via Astro Awani

Baca juga: iBita: Bantuan Melanjutkan Pelajaran Ke IPT Seluruh Malaysia (RM1200)

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!