Pendaftaran Status PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana) merupakan satu langkah strategik bagi usahawan tempatan untuk melonjakkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
Di bawah seliaan SME Corporation Malaysia, pengiktirafan rasmi ini membuka akses kepada pelbagai bentuk bantuan kewangan, geran kerajaan, program latihan, dan pembiayaan untuk usahawan.
Dengan memiliki Sijil Status PMKS, peniaga bukan sahaja dapat mengukuhkan kredibiliti syarikat di pasaran, malah berupaya membina jaringan perniagaan yang lebih luas demi kelestarian jangka masa panjang.
Jom ketahui cara daftar PMKS, kelebihan dan keistimewaan yang dapat diperolehi oleh peniaga/usahawan.

Apa Itu PMKS?
PMKS merujuk kepada Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana. Ia merupakan klasifikasi rasmi di Malaysia untuk menentukan saiz sesebuah perniagaan tempatan bagi memudahkan agensi kerajaan menyalurkan geran, pinjaman, dan program bantuan usahawan.
Dahulu, kumpulan ini lebih dikenali dengan singkatan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) atau SME, sebelum istilah “Mikro” dimasukkan secara rasmi dalam penjenamaan terbaharu kerajaan bagi memastikan golongan peniaga kecil-kecilan turut mendapat pengiktirafan yang jelas.
Mengikut garis panduan SME, sesebuah perniagaan akan diklasifikasikan sebagai PKS jika ia memenuhi kesemua
tiga (3) syarat yang berkaitan iaitu kriteria kelayakan, jenis penubuhan dan struktur pemegang saham seperti berikut:
1. Syarat Kelayakan
Memenuhi salah satu daripada dua kriteria kelayakan iaitu jualan tahunan atau bilangan pekerja sepenuh masa, yang mana lebih rendah.
- Pembuatan: Jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta ATAU bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200 orang
- Perkhidmatan dan lain sektor: Jualan tahunan tidak melebihi RM20 juta ATAU bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 orang
2. Definisi berdasarkan Saiz Operasi
- Perusahaan mikro merentasi semua sektor: Jualan tahunan kurang daripada RM300,000 ATAU bilangan pekerja sepenuh masa kurang daripada 5 orang.
- Manakala, perusahaan kecil dan sederhana pula adalah:

Jika sesebuah perniagaan memenuhi salah satu kriteria merentasi saiz operasi yang berbeza, maka saiz yang lebih kecil akan diguna pakai.
Sebagai contoh, jika jualan tahunan sesebuah firma berada di bawah kategori perusahaan mikro tetapi bilangan pekerja terletak di bawah kategori perusahaan kecil, perniagaan tersebut akan diklasifikasikan sebagai perusahaan mikro.


3) Terma kriteria kelayakan
- Jualan tahunan merujuk kepada jumlah pendapatan termasuk pendapatan lain.
- Pekerja sepenuh masa termasuk semua pekerja bergaji yang bekerja sekurang-kurangnya 6 jam sehari dan 20 hari sebulan, atau sekurangkurangnya 120 jam sebulan. Pekerja sepenuh masa juga termasuk pekerja asing dan kontrak. Walau bagaimanapun, definisi ini tidak termasuk pemilik perniagaan, rakan niaga yang aktif dan ahli keluarga yang tidak dibayar atau rakan-rakan yang bekerja dalam perniagaan dan tidak menerima upah yang tetap
- Asas ‘ATAU’ bermaksud perniagaan hanya perlu memenuhi salah satu daripada dua kriteria yang digunakan dalam definisi (mana-mana yang lebih rendah).
- Jika sesebuah perniagaan melebihi paras ambang yang ditetapkan di bawah kedua-dua kriteria bagi 2 tahun berturut-turut (berdasarkan tahun kewangan / tempoh perakaunan), maka ia tidak boleh lagi dianggap sebagai PKS. Bagi perniagaan yang sebelum ini bersaiz besar juga boleh dianggap sebagai PKS jika ia memenuhi kriteria kelayakan selama 2 tahun berturut-turut.
Kenapa Perlu Daftar PMKS?
- Pengesahan rasmi status dan saiz perniagaan
- Akses kepada pelbagai bantuan dan insentif kerajaan
- Pendedahan kepada program pembangunan perniagaan
- Peluang jaringan dan padanan perniagaan

Siapa Patut Mendaftar?
Pihak yang patut mendaftar sebagai PMKS adalah:
- Semua pertubuhan perniagaan dalam semua sektor ekonomi
- Syarikat/perniagaan yang ingin menyemak status syarikat/perniagaan masing-masing
- Syarikat/perniagaan yang ingin mendapatkan bantuan dan insentif bersasar khas untuk PMKS yang ditawarkan oleh Kerajaan

Syarat Kelayakan
- Entiti Perniagaan Berdaftar: Perniagaan mestilah berdaftar secara sah di Malaysia di bawah:
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) – Enterprise, LLP, atau Sdn Bhd.
- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah dan Sarawak.
- Badan Berkanun atau Pertubuhan Profesional yang diiktiraf.
- Bukan Anak Syarikat Besar: Perniagaan bukanlah sebuah subsidiari atau anak syarikat kepada syarikat awam yang tersenarai di papan utama bursa saham (public listed company) mahupun syarikat multinasional (MNC).
- Memenuhi syarat-syarat kelayakan lain yang ditetapkan

Pengecualian
Perniagaan berikut tidak akan dianggap sebagai PKS dan juga tidak layak untuk bantuan Kerajaan:
- Syarikat yang Disenaraikan di Papan Utama: Seperti Bursa Malaysia atau bursa utama di negara lain.
- Anak Syarikat Entiti Berikut:
- Syarikat yang disenaraikan di papan utama.
- Firma besar, syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan perusahaan milik negara.
- Syarikat yang disenaraikan di papan utama.
Cara Daftar Sebagai PMKS
Untuk mendaftar sebagai PMKS, anda boleh layari laman sesawang: https://mybpi.smecorp.gov.my/
- Tempoh pemprosesan adalah 1-5 hari bekerja dan status sah sijil adalah selama 2 tahun.
- Caj Pemprosesan: RM100
Berita menariknya, dengan mendaftar status PMKS, anda berpeluang mendapat pelbagai inisiatif memperkukuh daya saing syarikat dan rebut peluang mendapatkan diskaun 50% jika membuat pendaftaran sebelum 31 Ogos 2026.

Sistem Pendaftaran Status PMKS merupakan inisiatif yang dibangunkan oleh SME Corp. Malaysia bagi mengesahkan sesuatu syarikat / perniagaan adalah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Status ini adalah bagi memastikan setiap PMKS yang memohon untuk mengikuti program atau mendapatkan bantuan dan insentif yang ditawarkan khas untuk PMKS memenuhi definisi nasional yang telah ditetapkan oleh Kerajaan melalui Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan.

Dokumen Diperlukan
Dokumen Pendaftaran Perniagaan
- Borang pendaftaran perniagaan / syarikat SSM yang terkini;
- Sijil Pendaftaran di bawah Ordinan Nama-nama Perniagaan (Bab 64), Ordinan Perniagaan, Profesion dan Pelesenan Perdagangan, Ordinan-ordinan Pihak Berkuasa Tempatan (Sarawak);
- Lesen Berniaga di bawah Ordinan Pelesenan Perdagangan 1948 oleh Pihak Berkuasa Pelesenan (Sabah);
- Borang 9 dan maklumat korporat, Borang Teras (Super Form) SSM; dan
- Maklumat Pemilik Saham Syarikat (ekuiti syarikat) seperti AR1, Borang 24.
Dokumen Kewangan
- Penyata kewangan beraudit terkini bagi syarikat Sdn Bhd / Berhad; atau
- Penyata untung rugi, penyata pengurusan perakaunan bagi syarikat Enterprise.
Dokumen Caruman Pekerja
- Penyata caruman KWSP, PERKESO terkini; dan
- Pengecualian hanya diberikan sekiranya PMKS yang menggaji pekerja sambilan. (bukan sepenuh masa)

Muat Turun PDF Panduan Pendaftaran Status PMKS
Video Panduan Pendaftaran Status PMKS
Setelah mendaftar sebagai PMKS, anda akan mendapat:
- Pengesahan status PMKS syarikat/perniagaan
- Sekiranya disahkan berstatus PMKS, syarikat akan menerima sijil digital (digital certification) Status PMKS
- Tempoh sah sijil Status PMKS adalah selama dua (2) tahun
Kelebihan Berdaftar Sebagai PMKS
Mendaftarkan perniagaan untuk mendapatkan Sijil Status PMKS memberikan banyak kelebihan terutamanya dari segi akses kepada sokongan perniagaan di Malaysia, antaranya:
- Menjadi syarat wajib memohon geran tunai dan dana padanan kerajaan.
- Akses pembiayaan berkadar faedah sangat rendah daripada TEKUN, MARA, dan BSN.
- Peluang menyertai latihan pengurusan, pemasaran, dan digitalisasi usahawan.
- Bantuan kos dan bimbingan mudah untuk memohon sijil Halal, MeSTI, atau ESG.
- Membuka peluang pasaran untuk menjadi vendor syarikat besar dan GLC.

Maklumat Lanjut
Untuk dapatkan maklumat lanjut dan info terkini mengenai PMKS, sila rujuk:
- Portal rasmi SME Corp
- Sistem Bersepadu Penarafan & Insentif PMKS (MyBPI)
- Talian Info: 03-9213 0077
- Talian Urusetia : 03-2775 6053/6092/6089
- Emel : [email protected] atau [email protected] (isu teknikal sistem MyBPI)
Rujuk lebih banyak soalan lazim di FAQ Status Pendaftaran PMKS
Soalan Lazim Daftar PMKS
Sijil Akuan Status PMKS ini adalah satu perakuan status yang ditawarkan oleh SME Corp. Malaysia bagi memudahka perniagaan menyertai program atau memohon insentif dan bantuan untuk PMKS. Sijil ini bukan satu keperluan atau
peraturan wajib untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.
Sijil Akuan Status PMKS bertujuan untuk mengesahkan saiz firma sebagai PMKS. Syarikat / perniagaan yang mendapat status ini layak dipertimbangkan bagi mengikuti program serta mendapatkan bantuan dan insentif khas bagi PMKS. Namun ini tidak memberi kelulusan automatik bagi syarikat / perniagaan untuk menyertai program atau mendapat insentif, kemudahan kewangan dan sebagainya memandangkan kemudahan dan fasilitasi sebegini secara lazimnya mempunyai kriteria kelayakan lain yang perlu dipenuhi bergantung kepada objektif program.
Entiti perniagaan dalam semua sektor ekonomi yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), badan pendaftar perniagaan atau pihak berkuasa tempatan yang berkaitan (bagi Sabah dan Sarawak) serta badan
berkanun (bagi pembekal perkhidmatan professional)
Syarikat / perniagaan boleh melayari laman web SME Corp. Malaysia di www.smecorp.gov.my atau klik di pautan https://mybpi.smecorp.gov.my/
Bagi syarikat / perniagaan yang telah berdaftar dan disahkan berstatus PMKS, SME Corp. Malaysia akan mengeluarkan Sijil Akuan Status PMKS secara digital. Sijil Perakuan ini mempunyai tempoh sah laku selama dua (2) tahun




