LINDUNG 24 Jam telahpun berkuat kuasa bermula 1 Jun 2026. Melalui inisiatif ini, banyak manfaat bakal dinikmati oleh pekerja tau! Tapi, ramai kurang pasti macam mana cara nak claim LINDUNG 24 Jam dengan PERKESO ni. Jom kami kongsikan apa manfaat yang boleh diperolehi dan cara nak buat tuntutan.
Permohonan tuntutan faedah di bawah skim ini boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal LINDUNG Faedah atau secara manual di pejabat PERKESO berhampiran.
Melalui skim ini, terdapat beberapa faedah yang anda boleh tuntut sekirannya menepati syarat iaitu;
- Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS)
- Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK)
- Faedah Orang Tanggungan (FOT)
- Faedah Perubatan
- Faedah Pemulihan
- Elaun Layanan Sentiasa (ELS)
- Faedah Pengurusan Mayat (FPM)
Nak tahu cara buat tuntutan faedah di bawah skim LINDUNG 24 Jam PERKESO? Jom baca perkongsian di bawah.
Siapa Layak Dilindungi Di Bawah Skim Lindung 24 Jam?
Skim LINDUNG 24 Jam adalah perlindungan bagi kemalangan berlaku di luar waktu bekerja melibatkan pekerja yang dilindungi.
Semua pekerja formal baik warga tempatan mahupun warga asing yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) layak dilindungi bermula 1 Jun 2026.
Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah mewajibkan skim ini kepada semua pekerja formal tanpa mengira status kewarganegaraan mereka.

Situasi Kemalangan yang Dilindungi
Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO diperkenalkan untuk melindungi pekerja daripada kemalangan di luar waktu bekerja, seperti semasa beriadah atau berada di rumah.
Perlindungan ini terpakai di seluruh negara selagi pekerja tidak berada dalam tempoh cuti tanpa gaji.
Contoh-contoh senario kemalangan yang dilindungi dibawah Skim LINDUNG 24 Jam:
- Kemalangan Musim Perayaan: Insiden jalan raya sewaktu pulang ke kampung atau semasa cuti perayaan.
- Kemalangan Percutian Keluarga: Kecederaan akibat nahas jalan raya ketika membawa keluarga bercuti pada hujung minggu.
- Kemalangan Domestik di Rumah: Insiden luar jangkaan di dalam rumah, termasuk terjatuh dari katil sewaktu tidur yang disahkan oleh doktor.
- Kemalangan Perjalanan Riadah: Nahas sewaktu dalam perjalanan bersama keluarga untuk melakukan aktiviti santai atau bersosial.
- Kecederaan Aktiviti Komuniti: Insiden ketika menyertai aktiviti kemasyarakatan, seperti tercedera disondol binatang sewaktu ibadah korban.
- Perjalanan Peribadi ke Tempat Kerja: Kemalangan luar waktu kerja melibatkan pekerja yang berpatah balik ke pejabat dari rumah untuk mengambil barang peribadi.
Jadi, sekiranya anda mengalami salah satu senario di atas atau yang berkaitan, anda boleh buat tuntutan faedah di bawah Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO jika menepati syarat yang ditetapkan.

Tatacara Mohon Tuntutan LINDUNG 24 Jam PERKESO
Bagaimana cara nak claim LINDUNG 24 Jam PERKESO?
Ada dua kaedah tuntutan faedah LINDUNG 24 Jam PERKESO yang anda boleh pilih:
- Melalui Portal LINDUNG Faedah
- Melalui Pejabat PERKESO
i) Cara Claim LINDUNG 24 Jam PERKESO Melalui Portal LINDUNG Faedah
- Layari Portal LINDUNG Faedah.
- Daftar Pengguna: Pastikan anda adalah Orang Berinsurans (OB) atau waris yang berdaftar untuk dapat mendaftar sebagai pengguna.
- Lengkapkan maklumat seperti berikut:
- Nama Penuh
- No. Kad Pengenalan
- Emel
- Tetapkan Kata Laluan
- Tanda persetujuan syarat Pengguna
- Klik ’Daftar Akaun’ selepasmaklumat lengkap diisi.
- Pengguna akan menerima emel dan klik pautan yang diberikan untuk pengaktifan.
- Sistem akan auto keluarkan E-mel dan Kata Laluan pengguna, klik ’Log Masuk’
- Lengkapkan bahagian Maklumat Pemohon, muat naik Gambar Kad Pengenalan Depan dan Belakang, ambil Gambar Swafoto dan pastikan muka di tengah bulatan hijau, tandakan kotak Pengesahan Pengisytiharan, klik butang ’Hantar’.

Okay, selesai pendaftaran dan kemaskini maklumat. Seterusnya, nak buat tuntutan faedah pula. Rujuk langkah-langkah di bawah:
- Untuk membuat permohonan tuntutan faedah, sila klik butang ’Permohonan Baru’ di ruangan ’Permohonan Faedah’
- Sila pilih ’Jenis Permohonan’.
- Kemudian, ikuti arahan selanjutnya, lengkapkan semua maklumat yang diperlukan seperti maklumat bank dan muat naik dokumen sokongan yang diperlukan. Pilih pejabat PERKESO berurusan yang berhampiran anda.
- Semak semula maklumat yang diisi dan klik Hantar.


Untuk panduan lebih lanjut, anda boleh rujuk PANDUAN PENGGUNA PORTAL LINDUNG FAEDAH.
Sebagai contoh, jika anda mengalami kemalangan di luar waktu bekerja, pilih jenis bantuan: KEMALANGAN
Isi maklumat diri dan kemalangan, kemudian pilih TIDAK untuk soalan, adakah kemalangan berlaku kerana urusan kerja? untuk membuat tuntutan faedah di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.
Lengkapkan semua maklumat seperti maklumat bank, maklumat kemalangan dan sebagainya. Jangan lupa muat naik dokumen sokongan dalam tempoh 30 hari untuk mengelakkan permohonan ditutup.
Setelah semua lengkap, anda boleh klik Hantar.

ii) Cara Claim LINDUNG 24 Jam di Pejabat PERKESO Berhampiran
Untuk tuntutan melalui Pejabat PERKESO mudah sahaja, ikuti 4 langkah berikut untuk membuat tuntutan faedah Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO:
LANGKAH 1 – Anda perlu pergi ke Pejabat PERKESO yang terdekat untuk membuat tuntutan.
LANGKAH 2 – Lengkapkan Borang 34 – Butiran Notis dan Tuntutan Faedah, yang boleh didapati di sini.
LANGKAH 3 – Sediakan Dokumen Sokongan seperti di bawah:
- Salinan kad pengenalan.
- Sijil cuti sakit asal (MC).
- Slip gaji untuk 6 bulan ke belakang dari tarikh kemalangan.
- Salinan rekod kehadiran untuk bulan kemalangan.
- Maklumat akaun bank (muka depan).
- Laporan Polis asal dan peta lakaran (jika terlibat dalam kemalangan jalan raya).
LANGKAH 4 – Hantar Tuntutan. Serahkan semua dokumen tersebut pada kaunter di Pejabat PERKESO.
Sumber: PERKESO
Muat Turun Borang 34 (PDF)- Tuntutan LINDUNG 24 Jam PERKESO
Ini adalah borang yang anda perlu isi untuk membuat tuntutan di bawah skim LINDUNG 24 Jam PERKESO. Klik ‘Download’ untuk muat turun.
Video Panduan Permohonan Faedah PERKESO
Untuk panduan yang lebih jelas mengenai cara claim LINDUNG 24 Jam PERKESO, anda boleh tonton video tutorial yang disediakan oleh PERKESO di bawah:
Jenis Permohonan: Kemalangan
Jenis Permohonan: Kematian
Kemalangan yang TIDAK Diliputi di Bawah Skim LINDUNG 24 Jam
Tidak semua kes yang berlaku di luar waktu bekerja akan dilindungi di bawah skim ini, contoh kes yang TIDAK dilindungi ialah:
- Kemalangan yang diperakukan sebagai Bencana Pekerjaan di bawah Akta lain yang ditadbir PERKESO.
- Kes-kes kemalangan atau kecederaan yang disabitkan penipuan (fraud).
- Kemalangan yang melibatkan perbuatan jenayah.
- Perbuatan mencederakan diri sendiri (self-inflicted) atau membunuh diri.
- Kemalangan berlaku di luar Malaysia atas urusan peribadi.
- Orang Berinsurans pekerja asing yang menyalahgunakan pas atau permit yang sah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen atau melanggar apa-apa syarat kemasukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].
- Bencana pekerjaan sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [LINDUNG Kendiri].
- Bencana domestik di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 [LINDUNG Kasih].
- Kemalangan ketika dalam tempoh cuti tanpa gaji dan tidak mencarum Skim LINDUNG 24 Jam pada bulan kemalangan itu, melainkan bagi hal keadaan seperti berikut:
- Pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji atau tidak hadir bekerja yang tidak dibayar gaji dalam tempoh singkat yang mana status perkhidmatannya masih aktif atau tidak terjejas bagi bulan kemalangan itu. Cuti tanpa gaji atau tidak hadir bekerja dalam tempoh singkat merujuk kepada cuti atau tidak hadir bekerja tanpa gaji harian, iaitu pekerja yang bekerja dengan bayaran gaji harian dan mengambil cuti tanpa gaji atau tidak hadir bekerja pada hari-hari tertentu tanpa bayaran gaji.
- Pekerja dalam tempoh cuti bagi menghabiskan baki cuti rehat tahunan atau mengambil cuti penghujung perkhidmatan bagi tujuan persaraan atau penamatan perkhidmatan.
- Pekerja yang dijadualkan bertugas tetapi tidak hadir bertugas atas urusan peribadi yang tidak menjejaskan status perkhidmatannya. Namun, jika tidak hadir bertugas yang menjejaskan status perkhidmatan pekerja itu yang membawa kepada pemecatannya dan tiada caruman Skim LINDUNG 24 Jam pada bulan berkenaan, tiada kelayakan faedah boleh dibenarkan.
- Kemalangan ketika belum lagi berstatus pekerja dalam mana-mana perusahaan yang tertakluk di bawah AKSP 1969.
- Kemalangan selepas tarikh 15 Julai 2026 dan pekerja tidak mencarum atau tiada bukti caruman dalam Skim LINDUNG 24 Jam, walaupun pekerja itu berstatus pekerja aktif di bawah AKSP 1969. 9
- Kemalangan terbit sebelum masa dan tarikh berkuat kuasa Skim LINDUNG 24 Jam, iaitu sebelum pukul 12:00 tengah malam (00:00 jam) 1 Jun 2026.
- Apa-apa penyakit atau kecederaan yang tidak berkait dengan kemalangan termasuk penyakit khidmat.
Boleh ke Waris yang Buat Claim untuk Pencarum?
Boleh. Waris boleh membuat tuntutan faedah LINDUNG 24 jam untuk pencarum. Apapun, ia tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh PERKESO.
Faedah yang boleh dituntut adalah seperti di bawah:

Maklumat Lanjut & Soalan Lazim LINDUNG 24 PERKESO
Berikut dikongsikan serba sedikit Soalan Lazim (FAQ) berkenaan tatacara permohonan tuntutan LINDUNG 24 Jam :
Berapa harikah tempoh cuti sakit (MC) yang layak untuk menuntut Faedah Hilang Upaya Sementara?
Anda layak menuntut Faedah Hilang Upaya Sementara sekiranya doktor mengesahkan anda tidak mampu bekerja dan memberikan cuti sakit (MC) selama sekurang-kurangnya 4 hari berturut-turut, termasuk hari kemalangan tersebut berlaku.
Adakah saya boleh claim jika kemalangan berlaku di dalam rumah sendiri?
Ya, boleh. Skim LINDUNG 24 Jam meliputi kemalangan domestik di luar waktu kerja. Contohnya, jika anda terjatuh dari katil sewaktu tidur atau tercedera di dapur rumah sehingga mendapat cuti sakit (MC) yang sah, anda layak untuk membuat tuntutan faedah perubatan dan hilang upaya.
Bagaimanakah cara membuat tuntutan jika kemalangan mengakibatkan kematian?
Sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan di luar waktu kerja, orang tanggungan yang berkelayakan (seperti suami/isteri atau anak-anak) boleh membuat tuntutan:
– Faedah Pengurusan Mayat (FPM) untuk kos pengebumian.
– Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebagai bantuan kewangan bulanan.
– Faedah Pendidikan bagi anak-anak tanggungan yang masih belajar di peringkat diploma atau ijazah.
Saya terlibat kemalangan selepas pulang ke rumah, tetapi berpatah balik ke pejabat untuk ambil barang. Adakah kes saya dilindungi?
Ya, kes anda layak dilindungi. Walaupun insiden berlaku di luar waktu kerja rasmi dan anda sudah pulang ke rumah, perjalanan berpatah balik untuk mengambil barang peribadi atau urusan berkaitan tetap diliputi di bawah skim LINDUNG 24 Jam ini.
Adakah pekerja asing layak menuntut jika kemalangan berlaku sewaktu mereka pulang bercuti di negara asal?
Tidak layak. Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO hanya melindungi kemalangan bukan bencana kerja yang berlaku di dalam Malaysia sahaja. Sebarang insiden yang terjadi di luar negara sepanjang tempoh percutian pekerja asing tidak diliputi di bawah skim ini.
Untuk maklumat lanjut dan info terkini, sila layari portal rasmi PERKESO di pautan berikut: https://www.perkeso.gov.my/
Pertanyaan boleh diajukan terus kepada Talian Pusat Panggilan PERKESO 1300-22-8000 atau hadir ke pejabat PERKESO yang berhampiran.




