Tabung Istito’ah ialah sub-tabung khas di dalam akaun Lembaga Tabung Haji (TH) yang diwujudkan khusus untuk membantu anda menyimpan duit dengan lebih berdisiplin dan fokus untuk persediaan menunaikan ibadah haji.
Inisiatif baharu ini akan diperkenalkan oleh Tabung Haji bermula 19 September 2026 di bawah sistem “Multi-Tabung”.
Di bawah sistem Multi-Tabung” ini, akaun TH anda yang sedia ada akan dibahagikan kepada dua fungsi penting:
- Tabung Am: Tabung utama untuk anda masukkan atau keluarkan duit bagi kegunaan kewangan harian seperti biasa.
- Tabung Istito’ah: Tabung simpanan sukarela untuk anda kumpul duit haji tanpa diganggu, sekali gus menjadi penanda aras sama ada anda sudah bersedia dari segi kewangan mengikut konsep istito’ah (kemampuan).
Apakah sebenarnya fungsi Tabung Istito’ah ini? Bagaimanakah ia mengubah cara pendaftaran haji selepas ini?
Jom baca info lebih lanjut mengenai Tabung Istito’ah TH ini di bawah.
Apa Itu Tabung Istito’ah TH?
Tabung Istito’ah ialah sebuah sub-tabung khas di dalam akaun Tabung Haji anda. Ia diwujudkan khusus sebagai tempat untuk anda menyimpan duit dengan lebih fokus dan berdisiplin untuk persediaan menunaikan ibadah haji.
Perkataan istito’ah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kemampuan. Dalam konteks ibadah haji, syarat wajib haji adalah bagi mereka yang mampu, sama ada dari segi kesihatan fizikal mahupun kewangan.
Oleh itu, tabung ini berfungsi sebagai penanda aras untuk melihat sama ada simpanan anda sudah mencukupi untuk memenuhi syarat kemampuan tersebut.
Satu Akaun, Dua Tabung
Mulai 19 September 2026, nombor akaun Tabung Haji anda tidak berubah. Namun, apabila anda menyemak baki simpanan (contohnya melalui aplikasi THiJARI), anda akan melihat akaun anda terbahagi kepada dua:

- Tabung Am: Tabung untuk urusan simpanan dan pengeluaran bagi memenuhi keperluan kewangan harian anda seperti biasa.
- Tabung Istito’ah: Tabung yang menempatkan simpanan sebagai penanda aras kesiapsiagaan kewangan untuk Kelayakan Giliran Haji Automatik.
Semua pendeposit TH termasuk pemegang akaun dewasa dan akaun kanak-kanak akan mempunyai dua (2) tabung secara automatik.
Nota: Agihan keuntungan (dividen) dan urusan zakat tahunan tetap berjalan seperti biasa bagi kedua-dua tabung ini.
Ciri-ciri Tabung Istito’ah TH
Bagi pendeposit yang BELUM menunaikan haji:
- Merupakan tabung yang membantu pendeposit membuat simpanan secara berdisiplin bagi memperoleh Kelayakan Giliran Haji Automatik.
- Simpanan ke Tabung Istito’ah hanya boleh dilakukan melalui pindahan dari Tabung Am sama ada melalui kaunter TH atau THiJARI.
- Pindahan dari Tabung Istito’ah ke Tabung Am tertakluk kepada tempoh T+10 hari (tarikh kalendar termasuk hari cuti) dan boleh dilakukan melalui kaunter TH atau THiJARI.
Bagi pendeposit yang TELAH menunaikan haji:
- Boleh digunakan untuk mencapai pelbagai matlamat kewangan seperti simpanan pendidikan, perkahwinan, kecemasan dan persaraan.
- Menggalakkan amalan simpanan yang lebih terancang, konsisten dan berdisiplin untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
- Simpanan ke Tabung Istito’ah hanya boleh dilakukan melalui pindahan dari Tabung Am.
- Pindahan dari Tabung Istito’ah ke Tabung Am tertakluk kepada tempoh T+10 hari (tarikh kalendar termasuk hari cuti) dan boleh dilakukan melalui kaunter TH atau THiJARI.
Tabung Am
Ciri-ciri Tabung Am pula adalah seperti berikut:
- Merupakan tabung utama bagi semua pendeposit TH.
- Menyokong semua aktiviti simpanan dan pengeluaran seperti sedia ada.
- Perlu mengekalkan sekurang-kurangnya RM5.00 pada setiap masa.
Fungsi
Tabung Am dan Tabung Istito’ah berfungsi seperti berikut:
- Semua transaksi simpanan seperti simpanan tunai, potongan gaji dan Direct Debit akan dikreditkan ke Tabung Am.
- Simpanan ke Tabung Istito’ah hanya boleh dibuat melalui pindahan dari Tabung Am sahaja sama ada melalui kaunter TH atau THiJARI.
- Pendeposit boleh memindahkan simpanan secara sukarela tanpa had amaun dari Tabung Am ke Tabung Istito’ah bagi tujuan simpanan haji atau matlamat kewangan yang lain.
- Pengeluaran daripada Tabung Am boleh dibuat serta-merta.
- Pengeluaran daripada Tabung Istito’ah perlu dipindahkan terlebih dahulu ke Tabung Am dan tertakluk kepada tempoh T+10 hari.
- Bagi pendeposit yang telah mencapai simpanan minimum RM15,000, TH akan melaksanakan pindahan automatik sehingga RM14,995 dari Tabung Am ke Tabung Istito’ah bagi tujuan mendapat Kelayakan Giliran Haji Automatik seperti syarat yang ditetapkan TH.
Pelaksanaan Mengikut Profil Pendeposit
Berikut ialah cara pelaksaan Tabung Istito’ah mengikut profil pendeposit:

Kumpulan 1 (BH1) – Telah mendaftar haji:
- TH akan memindahkan sebanyak RM1,300 ke Tabung Istito’ah dan jumlah tersebut perlu dikekalkan di Tabung Istito’ah.
- Pendeposit perlu mencukupkan simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 di akaun TH selewat-lewatnya pada 31 Disember 2028 bagi mengekalkan kelayakan giliran haji.

Kumpulan 2 (BH2) – Telah mendaftar haji melalui EPF:
- TH akan memindahkan sebanyak RM5 dari Tabung Am ke Tabung Istito’ah dan jumlah tersebut perlu dikekalkan di Tabung Istito’ah.
- Pendeposit perlu mencukupkan simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 di akaun TH selewat-lewatnya pada 31 Disember 2028 bagi mengekalkan kelayakan giliran haji.

Kumpulan 3 (BH3) – Belum mendaftar haji, baki simpanan RM15,000 dan ke atas:
- Pendeposit sedia ada yang tiada pendaftaran haji tetapi mempunyai simpanan RM15,000 dan ke atas akan menerima notifikasi emel daripada TH memaklumkan simpanan telah mencukupi dan akan diberikan Kelayakan Giliran Haji Automatik.
- Pendeposit perlu mengekalkan baki minimum RM15,000 pada setiap masa dalam tempoh 1 bulan dari tarikh notifikasi.
- TH akan memindahkan RM14,995 ke Tabung Istito’ah.
- Pendeposit perlu mengekalkan simpanan minimum RM15,000 di akaun TH pada setiap masa untuk terus berada dalam giliran haji.

Kumpulan 4 (BH4) – Belum mendaftar haji, baki simpanan kurang RM15,000:
- Pendeposit belum mencapai jumlah simpanan minimum RM15,000 untuk menerima Kelayakan Giliran Haji Automatik.
- Sekiranya baki keseluruhan simpanan di akaun TH mencapai RM15,000, pendeposit akan menerima emel daripada TH memaklumkan simpanan telah mencukupi dan perlu mengekalkan baki minimum RM15,000 pada setiap masa dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh notifikasi.
- TH akan memindahkan RM14,995 ke Tabung Istito’ah.
- Merit kelayakan giliran haji adalah berdasarkan tarikh pendeposit mencapai RM15,000 dalam akaun TH.
- Pendeposit perlu mengekalkan simpanan minimum RM15,000 di akaun TH pada setiap masa untuk terus berada dalam giliran haji.

Kumpulan 5 (Alumni Haji) – Telah menunaikan haji:
Pendeposit boleh membuat tambahan simpanan ke Tabung Istito’ah secara sukarela dengan memindahkan simpanan dari Tabung Am ke Tabung Istito’ah melalui THiJARI atau hadir ke kaunter cawangan TH bagi tujuan atau matlamat khusus. Pendeposit tidak layak untuk mendapat giliran haji walaupun baki simpanan mencukupi RM15,000.

Adakah Duit di Dalam Tabung Istito’ah Boleh Dikeluarkan?
Ya, duit di dalam Tabung Istito’ah boleh dikeluarkan, tetapi ia tidak boleh dikeluarkan secara serta-merta.
Berdasarkan Soalan Lazim Seruan Istito’ah di portal rasmi Tabung Haji, berikut adalah peraturan rasmi mengenai pengeluaran wang tersebut:
- Perlu Dipindahkan Dahulu: Anda tidak boleh mengeluarkan duit dari Tabung Istito’ah secara terus di kaunter atau mesin ATM. Wang tersebut mestilah dipindahkan (transfer) terlebih dahulu ke Tabung Am.
- Tertakluk Kepada Tempoh T+10 Hari: Berbeza dengan Tabung Am yang boleh dikeluarkan serta-merta, urusan pengeluaran/pindahan keluar dari Tabung Istito’ah tertakluk kepada tempoh bertenang selama 10 hari (T+10 hari) sebelum duit itu masuk ke Tabung Am dan boleh digunakan.
- Tujuan Sekatan: Syarat tempoh 10 hari ini sengaja diwujudkan oleh Tabung Haji bertujuan untuk melatih disiplin pendeposit supaya simpanan haji mereka “dikunci” dan tidak diusik untuk kegunaan harian yang tidak mendesak.
Maklumat Lanjut
Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan terkini mengenai sistem baharu ini, anda boleh merujuk kepada saluran rasmi Lembaga Tabung Haji (TH) berikut:
- Laman Web Rasmi Tabung Haji Seruan Istito’ah
- FAQ Tabung Haji Seruan Istito’ah
- Aplikasi dan Portal THiJARI
- Talian Khidmat Pelanggan (Tabung Haji Contact Centre – THCC): +603-6207 1919
- Kaunter Fizika: Anda juga boleh hadir ke mana-mana Cawangan Tabung Haji yang berdekatan di seluruh negara untuk mendapatkan penjelasan bersemuka daripada pegawai bertugas.
Soalan Lazim Tabung Istito’ah









Ia merupakan sub-tabung simpanan sukarela khas dalam akaun Tabung Haji (TH) anda. Ia diwujudkan khusus untuk membantu anda mendisiplinkan diri mengumpul dana haji secara terancang tanpa bercampur dengan urusan duit belanja harian.
Tidak. Nombor akaun Tabung Haji anda kekal sama. Sistem baharu ini cuma membahagikan satu akaun asal anda kepada dua fungsi di dalam paparan sistem (Tabung Am & Tabung Istito’ah).
Ya. Ciri Multi-Tabung ini akan diaktifkan secara automatik di dalam sistem semua akaun pendeposit bermula 19 September 2026.
Boleh menerusi permohonan pindahan ke Tabung Am yang tertakluk kepada tempoh bertenang 10 hari (T+10) sebelum wang boleh digunakan.
Anda perlu ada sekurang-kurangnya RM15,000. Sebaik sahaja duit dalam akaun cukup jumlah ini, sistem komputer Tabung Haji akan masukkan nama anda ke dalam giliran haji secara automatik. Pendaftaran manual cara lama sudah tiada.




