Solat Sunat Aidiladha : Panduan, Lafaz Niat Berjemaah & Sendirian

solat sunat aidiladha
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Hari Raya Korban tiba lagi, tentunya ramai tidak mahu ketinggalan untuk pergi menunaikan solat sunat AidilAdha. Berikut dikongsikan panduan dan kaifiat mengerjakan Solat Sunat Aidiladha.

Waktu Solat Sunat Aidil Adha

Sembahyang sunat Aidiladha dikerjakan pada 10 Zulhijjah.

Waktu mengerjakannya ialah antara ketika mula terbit matahari sekadar segalah hingga tergelincirnya matahari.

Jabatan Agama setiap negeri akan mengeluarkan ketetapan waktu, contohnya bagi tahun 2024, di Wilayah Persekutuan akan dijalankan pada jam 8.15 pagi.

Disunatkan untuk tidak mengambil sarapan sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلَا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي

Maksudnya: Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.”

(HR at-Tirmidzi, hadis sahih)

Cara Solat Sunat Aidiladha

Solat sunat Aidiladha dilakukan sebanyak 2 rakaat, seperti mana solat sunat biasa.

Syarat serta sunatnya adalah sama seperti solat biasa cuma ditambahkan dengan bertakbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara setiap takbir.

Lafaz Niat Solat Sunat Aidiladha

1. Lafaz Niat Sendirian (Munfarid)

أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usholli sunnatan ‘Iidil Adh-ha rak’ataini lillaahi ta’aalaa.
“Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat kerana Allah Taala.”

2. Lafaz Niat Sebagai Makmum

أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usholli sunnatan ‘Iidil Adh-ha rak’ataini ma’muman lillaahi ta’aalaa.
“Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat mengikut imam kerana Allah Taala.”

3. Lafaz Niat Sebagai Imam

أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usholli sunnatan ‘Iidil Adh-ha rak’ataini imaaman lillaahi ta’aalaa.
“Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat menjadi imam kerana Allah Taala.”

solat sunat aidiladha
solat sunat aidiladha
Sumber infografik: Pejabat Mufti WP

Cara Menunaikan Solat Sunat Aidiladha

i) Rakaat Pertama

  1. Mulai dengan lafaz takbiratul ihram, dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat solat aidilfitri/aidiladha di dalam hati.
  2. Membaca doa iftitah.
  3. Lafaz takbir 7 kali diselangseli dengan tasbih.
    • سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلآ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
  4. Membaca surah Al-Fatihah.
  5. Membaca mana-mana surah (Dicadangkan membaca surah Al-A’laa.)
  6. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama.

ii) Rakaat kedua

  1. Mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
  2. Lafaz takbir lima kali diselangseli dengan tasbih.
    • سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلآ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
  3. Membaca surah Al-Fatihah.
  4. Membaca mana-mana surah dari al-Quran. (Dicadangkan membaca surah Al-Ghahiyah atau Al-Ikhlas.)
  5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.
  6. Memberi salam.

Khutbah Aidiladha

Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan solat Hari Raya. Khutbah Aidiladha sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya.

Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.

Baca juga: Takbir Raya Haji: Waktu, Panduan Lafaz Takbir Aidiladha

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut