Maksud Amang Seksual Serta Kesan Kepada Mangsa

Sejak beberapa tahun ini, kes amang seksual sering diperkatakan di dada akhbar. Namun, apakah perbezaan amang seksual dengan kes jenayah seksual lain seperti rogol?

Bagi yang belum tahu, amang seksual bukan sahaja boleh dialami oleh kanak-kanak, malah ia juga boleh terjadi kepada orang dewasa termasuk yang sama jantina dengan yang tertuduh.

Oleh itu, anda perlulah tahu maksud amang seksual dan tindakan yang sepatutnya diambil bagi mendakwa si pelaku.

Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Maksud Gangguan Seksual

Gangguan seksual merupakan satu perbuatan yang jelik, menakutkan serta memalukan. Ia bukan sahaja boleh berlaku secara fizikal atau bersemuka, malah ia juga boleh terjadi dalam bentuk percakapan dan atas talian.

Ia juga boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan jantina. Ia juga boleh berlaku di mana-mana termasuk di rumah, sekolah, universiti dan tempat kerja.

Antara contoh gangguan seksual yang boleh dialami mangsa adalah :

  • Terdedah kepada sentuhan, memegang atau meraba tanpa kerelaan.
  • Meminta mangsa melakukan perkara-perkara yang mendorong kepada aktiviti seksual.
  • Memandang anda tanpa henti.
  • Sering bertanya mengenai kehidupan seksual anda.
maksud amang seksual

Anda juga perlu ingat yang perbuatan si pelaku masih dikira sebagai amang seksual walaupun anda tidak mengatakan tidak secara serta-merta.

Bayangkan situasi begini. Ketika anda mula-mula diganggu, anda mungkin menganggap ia hanya gurauan.

Anda juga mungkin takut memberi reaksi negatif kerana pelaku adalah orang yang berjawatan lebih besar atau seseorang yang anda hormati.

Maksud Amang Seksual

Setelah anda fahami apa itu gangguan seksual, kini tiba masanya untuk anda ketahui maksud amang seksual secara lebih mendalam.

Amang seksual atau sexual assault berlaku apabila anda dipaksa, ditekan atau ditipu untuk melakukan sebarang bentuk aktiviti seksual termasuk memegang, mencium atau melakukan seks tanpa kerelaan.

Amang seksual juga merupakan satu bentuk gangguan seksual. Sekiranya seseorang memaksa anda untuk mencium atau bertindak memegang anda tanpa rela, ia boleh dikira sebagai amang seksual dan gangguan seksual.

Selain itu, amang seksual juga termasuk perbuatan lain seperti sentuhan yang tidak sepatutnya, merogol atau memaksa anda melakukan aktiviti seksual.

maksud amang seksual

Maksud Amang Seksual Fizikal dan Perbezaannya Dengan Rogol

Setelah memahami maksud amang seksual fizikal, anda juga perlu ambil tahu maksud rogol.

Rogol merupakan satu bentuk keganasan seksual yang berlaku apabila anda tidak mahu melakukan seks dengan seseorang.

Kesalahan merogol juga terletak 100% kepada pelaku kerana tiada sesiapa yang ingin dirogol.

Di Malaysia, merogol adalah perbuatan memasukkan zakar ke dalam faraj tanpa kerelaan mangsa.

Sekiranya mangsa rogol berusia 16 tahun ke bawah, seks tersebut dikira sebagai rogol statutori.

Mungkin kita biasa dengar kes rogol yang dilakukan oleh orang yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, sebahagian besar kes dilakukan oleh individu yang mengenali mangsa.

Ini terbukti daripada statistik yang dikongsikan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Didapati hampir 90% mangsa rogol mengakui mereka mengenali pelakunya.

Sekiranya anda rasa bersalah ketika melakukan seks, anda masih boleh minta pasangan untuk berhenti.

Mereka perlu berhenti dan hormati keinginan anda, walaupun pasangan adalah suami anda sendiri.

Sekiranya anda tidak mahu melakukan seks atau dipaksa, ia boleh dikira sebagai satu bentuk amang seksual dan juga rogol.

Aktiviti seksual yang boleh berlaku tanpa keizinan atau consent sekiranya mangsa :

  • Sedang tidur, tidak sedarkan diri, mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah.
  • Dipaksa, dimanipulasi atau ditipu untuk bersetuju atau berkata ‘Ya’.
  • Terlalu muda untuk memberi keizinan.

Anda juga harus faham bahawa anda berhak untuk tarik keizinan pada bila-bila masa termasuklah ketika seks sedang berjalan.

Walaupun seseorang telah bersetuju untuk melakukan seks pada awalnya, ini juga tidak bermakna ia boleh dilakukan lagi pada masa akan datang.

Kesan Amang Seksual Terhadap Mental dan Fizikal Mangsa

Mangsa kepada kegiatan amang seksual atau gangguan seksual mungkin akan :

  • Berasa tertekan, gelisah atau alami kemurungan.
  • Hilang minat untuk bersosial atau suka menyendiri.
  • Tiada keyakinan diri.
  • Menunjukkan simptom fizikal akibat stres seperti susah tidur, sakit kepala dan sakit belakang.
  • Sukar untuk fokus di tempat kerja.

Mangsa kepada kegiatan amang seksual atau gangguan seksual boleh membuat laporan polis.

Anda juga harus ingat bahawa kejadian rogol bukanlah salah anda, tetapi 100% salah pelaku.

Sumber : Hellodoktor

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!