Hilang Kerja? Bantuan Tak Putus! Ini 5 Sebab Perlu Daftar LINDUNG Kerjaya PERKESO

lindung kerjaya
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Realiti kerja pada zaman ini, tak ada kerja yang benar-benar terjamin. Ekonomi berubah, permintaan industri naik turun dan kemalangan boleh berlaku bila-bila masa.

LINDUNG Kerjaya ialah skim PERKESO yang membantu pekerja kehilangan pekerjaan melalui bantuan kewangan sementara dan sokongan kerjaya di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Melalui LINDUNG Kerjaya, anda tak perlu risau jika berhadapan dengan kehilangan pekerjaan sebab PERKESO akan bantu anda melangkah semula membina kerjaya daripada A hingga Z!

Bagaimana PERKESO akan bantu? Jom ketahui lebih lanjut tentang LINDUNG Kerjaya.

Apa itu LINDUNG Kerjaya?

LINDUNG Kerjaya ialah program perlindungan di bawah PERKESO yang bertujuan melindungi pekerja yang kehilangan pekerjaan melalui bantuan kewangan sementara dan sokongan kerjaya.

Contoh kehilangan pekerjaan termasuklah : 

  • Pemberhentian kerja biasa
  • VSS/MSS (skim pemisahan sukarela/persefahaman bersama)
  • Penutupan tempat kerja kerana bencana alam (force majeure)
  • Bankrap atau penutupan perniagaan
  • Pembuangan kerja secara konstruktif
  • Peletakan jawatan disebabkan gangguan seksual atau ugutan di tempat kerja
  • Perletakan jawatan apabila diarah melaksanakan kerja di luar skop yang membahayakan keselamatan

Objektif utama LINDUNG Kerjaya adalah memberi bantuan kewangan sementara kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan serta membantu mereka mendapatkan pekerjaan baharu melalui pelbagai inisiatif seperti program latihan semula, kaunseling dan bimbingan kerjaya yang disediakan menerusi portal MYFutureJobs.

Program ini memastikan pekerja terus mendapat sokongan daripada pelbagai aspek seperti  kewangan dan peluang pekerjaan, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.

5 Sebab Perlu Daftar LINDUNG Kerjaya

Bagaimana LINDUNG Kerjaya boleh membantu orang yang kehilangan pekerjaan? Inilah antara bantuan dan sokongan yang akan diterima oleh pencarum :

1. Elaun Mencari Pekerjaan (EMP)

  • Gantian pendapatan bagi mereka yang kehilangan pendapatan tunggalnya
  • Penerima faedah yang layak akan menerima elaun untuk 3-6 bulan
  • Tempoh bayaran faedah adalah berdasarkan Syarat Kelayakan Caruman

2. Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB)

  • Gantian pendapatan bagi mereka yang mempunyai lebih daripada satu majikan dan telah kehilangan satu atau lebih pekerjaan tetapi tidak kehilangan kesemua majikannya
  • Dalam keadaan kehilangan kesemua pekerjaanya, pemohon layak menerima EMP dan EPB
  • Kadar dan tempoh bayaran adalah sama dengan EMP
  • Dibayar secara pukal

3. Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA)

  • Suatu insentif kewangan bagi pekerja yang kembali bekerja semula awal dalam tempoh EMP
  • Kadar bayaran adalah sebanyak 25% daripada baki EMP yang belum dibayar
  • Dibayar secara pukal

4. Fi Latihan (TF)

  • Penerima EMP yang layak boleh dirujuk mengikuti latihan kemahiran vokasional setelah mendapatkan nasihat daripada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan (ESO)
  • Fi latihan adalah sebanyak RM4,000 yang ditanggung oleh SIP

5. Elaun Latihan (TA)

  • Insentif yang dibayar pada kadar harian sebanyak RM10-20 berdasarkan gaji yang diterimanya
  • Orang Berinsurans (OB) hendaklah menghadiri sesi latihan bagi melayakkan bayaran

Syarat Kelayakan Memohon Manfaat LINDUNG Kerjaya

Berikut adalah kategori individu yang layak untuk memohon program LINDUNG Kerjaya:

  • Memenuhi Syarat Kelayakan Caruman (CQC) dengan minimum 12 bulan caruman dalam tempoh 24 bulan bagi permohonan yang pertama.
  • Bersedia untuk mengambil bahagian dalam Program
  • Penempatan Pekerjaan Semula dan mengikuti apa-apa arahan sebagaimana yang ditetapkan oleh PERKESO.
  • Berdaftar dengan MYFutureJobs untuk membuat carian pekerjaan bagi melayakkan mendapat Faedah SIP.
  • Melaporkan kepada PERKESO jika telah menerima tawaran atau telah kembali bekerja secara tetap / kontrak / sambilan / sementara / perantis.

Berikut adalah syarat kelayakan untuk program LINDUNG Kerjaya:

  • Semua pekerja sektor swasta dan pekerja domestik warganegara Malaysia / pemastautin tetap / pemastautin sementara.
  • Semua pekerja berumur 18 hingga 60 tahun (kecuali pekerja berumur 57 tahun ke atas yang tidak pernah mencarum sebelumnya).
  • Diambil bekerja menerusi kontrak perkhidmatan (COS).
  • Memenuhi kriteria Kehilangan Pekerjaan

Cara Daftar LINDUNG Kerjaya

Muat turun Aplikasi Prihatin PERKESO hari ini untuk mendaftar dan membuat bayaran caruman LINDUNG Kerjaya dengan mudah, cepat dan selamat terus dari hujung jari anda!

Soalan Lazim Lindung Kerjaya

1. Adakah LINDUNG Kerjaya sama dengan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) atau Employment Insurance System (EIS)?

Ya, program ini merupakan penjenamaan semula bagi Skim Insurans Pekerjaan (SIP) atau Employment Insurance System (EIS) di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

2. Apakah bantuan atau elaun yang diberikan untuk membantu mereka yang kehilangan kerja?

Antara faedah yang akan didapati melalui skim LINDUNG Kerjaya ialah:

– Elaun Mencari Pekerjaan
– Elaun Pendapatan Berkurangan
– Elaun Latihan
– Fi Latihan
– Elaun Bekerja Semula Awal
– Elaun Orang Tanggungan

3. Adakah semua pencarum boleh memohon faedah ini?

Semua pencarum layak menerima faedah SIP sekiranya:

– Memohon dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan
– Memenuhi syarat kelayakan caruman seperti mempunyai bilangan caruman yang mencukupi
– Tidak bekerja mengikut definisi kehilangan pekerjaan di bawah Akta SIP

4. Kalau hilang kerja, macam mana nak mohon bantuan ini?

Layari portal PERKESO dan isi borang permohonan LINDUNG Kerjaya dalam tempoh 60 hari selepas tarikh kehilangan kerja.

5. Adakah saya masih boleh mohon faedah LINDUNG Kerjaya jika saya berhenti kerja sendiri?

Tidak, perletakan jawatan secara sukarela tidak termasuk dalam kehilangan pekerjaan.

Selain itu, pembuangan akibat salah laku pekerja, persaraan, tamat tempoh kontrak perkhidmatan atau penyiapan kerja atau penamatan kontrak perkhidmatan secara persetujuan bersama tanpa terma dan syarat juga tidak layak memohon.

6. Berapa kadar caruman LINDUNG Kerjaya?

Kadar caruman bagi Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG KERJAYA adalah daripada 0.2% syer majikan dan 0.2% syer pekerja daripada gaji bulanan pekerja. Kadar caruman adalah tertakluk kepada Jadual Kedua Seksyen 18 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017. Rujuk jadual di SINI.

7. Siapa yang perlu bayar caruman LINDUNG Kerjaya? Majikan atau pekerja?

Semua majikan sektor swasta perlu membayar caruman bulanan bagi setiap pekerja. (Dikecualikan kepada penjawat awam, pekhidmat domestik dan yang bekerja sendiri).

8.  Kenapa LINDUNG Kerjaya penting untuk pekerja?

Sebab kehilangan kerja boleh berlaku bila-bila masa dan SIP sebagai  ‘penampan’ kewangan supaya pekerja tak tertekan semasa cari kerja baru.

9. Adakah caruman dipotong secara bulanan atau tahunan? 

Potongan bayaran caruman pekerja dibayar secara bulanan iaitu hanya dicarumkan dengan syer majikan dan gaji pekerja .

10. Adakah skim ini wajib untuk semua pekerja?

Semua pekerja swasta berpendapatan kurang daripada RM6,000 sebulan wajib didaftarkan menurut Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.perkeso.gov.my/lindung.html

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut