Karangan Kepentingan Memelihara Bangunan Bersejarah

Murid boleh merujuk isi penting dan contoh karangan kepentingan memelihara bangunan bersejarah.

Isi penting dan contoh karangan ini boleh membantu untuk menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung.

Isi Penting Karangan Kepentingan Memelihara Bangunan Bersejarah

1. Mempunyai Nilai Seni dan Estetika

  • Bangunan-bangunan ini biasanya mempunyai nilai seni bina yang halus dan bercorakkan budaya bangsa.
  • Contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah Melayu tradisional memaparkan kecantikan dan keharmonian bangsa Melayu.
  • Ukiran pada dinding batu dan kayu dalam bangunan bersejarah memaparkan corak budaya masa silam.
  • Membolehkan kita menghayati keistimewaan budaya kita.

2. Mempelajari dan Mendalami Sejarah Negara

  • Lawatan ke sesebuah bangunan bersejarah memberi ruang untuk menyaksikan kesan peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di situ.
  • Contohnya, lawatan ke Kota A Formosa di Melaka membolehkan kita mempelajari mengenai penjajahan Portugis terhadap Melaka bermula pada tahun 1511.
  • Memahami fakta sejarah jika kita dapat melihat kesan peninggalannya.
  • Pelajar akan lebih berminat terhadap pembelajaran sejarah negara dan pembelajaran secara kontekstual ini amat berkesan.

3. Mempunyai Nilai Ekonomi yang Tinggi

  • Bangunan-bangunan bersejarah dapat menjadi tarikan kepada pelancong tempatan atau pun pelancong asing.
  • Misalnya, Kota Cornwallis di Pulau Pinang, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Rumah Puteri Meninjau di Sabah sering menjadi tumpuan para pelancong.
  • Dapat membantu perkembangan industri pelancongan melalui pengaliran masuk wang asing ke negara ini.
  • Merancakkan ekonomi negara menerusi industri pelancongan.

4. Memberikan Pengajaran kepada Masyarakat

  • Bangunan bersejarah akan mengingatkan tentang peristiwa masa lampau yang telah berlaku.
  • Contohnya, bangunan zaman pemerintahan Jepun mengingatkan kita tentang penderitaan hidup rakyat semasa peperangan.
  • Rakyat juga akan menyedari pahit maung yang dialami oleh pejuang tanah air sewaktu perjuangan mereka menuntut kemerdekaan.
  • Menghargai keamanan dan kebebasan yang dinikmati selama ini.
  • Sentiasa berwaspada agar kesilapan silam tidak akan berulang lagi.

Contoh Karangan Kepentingan Memelihara Bangunan Bersejarah

i) PENDAHULUAN

Di negara kita, banyak terdapat bangunan bersejarah yang masih kukuh dan sering menarik perhatian sama ada para pelancong dari dalam atau luar negara. Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dikekalkan supaya .tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. untuk menjadi tatapan generasi yang akan datang. Kebanyakan bangunan bersejarah merupakan tinggalan sejak zaman penjajah. Antara bangunan bersejarah yang sering menjadi kunjungan pelancong ialah Kota A Famosa dan bangunan Satadsyus di Melaka, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Kota Belanda di Pulau Pangkor. Bangunan-bangunan ini bukan sahaja mempunyai nilai-nilai budaya dan keseniannya yang tersendiri malah merakamkan sejarah penting negara. Oleh kerana itu, pemeliharaan bangunan bersejarah sememangnya penting di Malaysia.

ii) ISI 1: MEMPUNYAI NILAI SENI DAN ESTETIKA

Satu daripada kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah di negara ini kerana bangunan tersebut mempunyai nilai seni dan estetika. Bangunan-bangunan ini biasanya mempunyai nilai seni bina yang halus dan bercorakkan budaya bangsa. Sebagai contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah Melayu tradisional memaparkan kecantikan dan keharmonian bangsa Melayu. Dari sini, kita dapat menghayati kehalusan dan kreativiti seni bina bangsa kita pada masa silam. Ukiran pada dinding batu dan kayu dalam bangunan bersejarah memaparkan corak budaya masa silam. Ini membolehkan kita menghayati keistimewaan budaya kita.

iii) ISI 2: MEMPELAJARI DAN MENDALAMI SEJARAH NEGARA

Selain itu, pemeliharaan bangunan bersejarah juga membolehkan kita mempelajari dan mendalami sejarah negara pada masa lampau melalui bangunan-bangunan bersejarah. Lawatan ke sesebuah bangunan bersejarah membolehkan kita menyaksikan kesan peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di situ. Sebagai contohnya, lawatan ke Kota A Formosa di Melaka membolehkan kita mempelajari mengenai penjajahan Portugis terhadap Melaka bermula pada tahun 1511. Dari sinilah kita akan lebih memahami fakta sejarah jika kita dapat melihat kesan peninggalannya. Dalam konteks ini, pelajar akan lebih berminat terhadap pembelajaran sejarah negara dan pembelajaran secara kontekstual ini amat berkesan.

iv) ISI 3: MEMPUNYAI NILAI EKONOMI YANG TINGGI

Di samping itu, bangunan-bangunan bersejarah juga perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Ini kerana bangunan-bangunan bersejarah ini dapat menjadi tarikan kepada pelancong tempatan atau pun pelancong asing. Misalnya, Kota Cornwallis di Pulau Pinang, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Rumah Puteri Meninjau di Sabah sering menjadi tumpuan para pelancong di negara kita. Secara tidak langsung keadaan ini dapat membantu perkembangan industri pelancongan melalui pengaliran masuk wang asing ke negara ini. Ini kemudiannya dapat merancakkan ekonomi negara menerusi industri pelancongan.

v) ISI 4: MEMBERIKAN PENGAJARAN KEPADA MASYARAKAT

Pemeliharaan bangunan bersejarah juga penting bagi memberikan pengajaran kepada kita. Bangunan bersejarah akan mengingatkan kita tentang peristiwa masa lampau yang telah berlaku. Sebagai contohnya, bangunan zaman pemerintahan Jepun mengingatkan kita tentang penderitaan hidup rakyat semasa peperangan. Rakyat juga akan menyedari pahit maung yang dialami oleh pejuang tanah air sewaktu perjuangan mereka menuntut kemerdekaan. Hal ini akan menjadikan kita lebih menghargai keamanan dan kebebasan yang kita nikmati selama ini. Selain itu, kita juga akan sentiasa berwaspada agar kesilapan silam tidak akan berulang lagi.

vi) PENUTUP

Bangunan-bangunan bersejarah merupakan sebahagian daripada warisan sejarah yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, bangunan bersejarah perlulah terus dipelihara untuk tujuan penghayatan dan kepentingan generasi akan datang. Dengan ini diharapkan usaha-usaha pemulihara bangunan bersejarah dilaksanakan secara berterusan agar negara dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini.

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!