Kencing Berbuih : Punca dan Simptom Yang Perlu Anda Tahu

Adakah anda risau dan sekiranya mengalami kencing berbuih?

Ada kalanya, air kencing boleh kelihatan berbuih kerana kelajuan aliran air kencing yang pantas ke dalam mangkuk tandas.

Namun, ia boleh menjadi satu simptom kepada penyakit berkaitan buah pinggang dan masalah kesihatan lain.

Masalah ini juga perlu diberi perhatian serius sekiranya berlarutan. Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Punca Kencing Berbuih

1. Kelajuan Aliran Kencing

Sama seperti air yang berbuih apabila keluar dari paip dengan cepat, air kencing juga boleh menjadi berbuih jika terkena mangkuk tandas dengan cepat. Namun, buih ini akan hilang dengan pantas.

2. Air Kencing Terlalu Pekat

Air kencing juga boleh jadi berbuih apabila ia terlalu pekat. Ini disebabkan oleh kekurangan minum air daripada kadar yang sepatutnya (dehidrasi) atau kehamilan.

3. Protein Dalam Air Kencing

Air kencing yang berbuih boleh menunjukkan bahawa anda mempunyai terlalu banyak kandungan protein seperti albumin dalam air kencing.

Protein dalam air kencing akan bertindak balas dengan udara bagi menghasilkan buih.

Pada kebiasaannya, buah pinggang akan menapis bahan buahan dan air yang berlebihan daripada darah ke dalam air kencing anda.

Namun, sekiranya buah pinggang anda mengalami masalah, ia tidak dapat menapis dengan baik.

Ini akan mengakibatkan terlalu banyak protein meresap ke dalam air kencing. Masalah ini dipanggil sebagai proteinuria dan merupakan tanda penyakit buah pinggang kronik atau kerosakan buah pinggang peringkat akhir.

Anda juga lebih cenderung untuk alami masalah buah pinggang sekiranya :

  • menghidap kencing manis
  • mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang
  • menghidap tekanan darah tinggi

4. Ejakulasi Retrograde

Walaupun jarang berlaku dalam kalangan lelaki, kencing berbuih juga boleh menjadi tanda bagi ejakulasi retrograde iaitu keadaan apabila air mani kembali ke dalam pundi kencing dan bukannya dikeluarkan dari zakar.

5. Amyloidosis

Amyloidosis ialah satu lagi masalah kesihatan yang jarang berlaku dan boleh menyebabkan air kencing berbuih serta pengumpulan cecair berlebihan.

Selain menjejaskan fungsi buah pinggang, amyloidosis juga boleh memberi kesan kepada organ lain.

6. Pengambilan Ubat Phenazopyridine

Sesetengah individu yang mengambil ubat ini boleh alami masalah kencing berbuih. Ia sering digunakan bagi merawat kesakitan akibat jangkitan saluran kencing.

7. Penyakit Buah Pinggang

15% rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik pelbagai peringkat.

Kebanyakan mereka hanya mengetahui menghidap penyakit itu apabila sudah berada pada tahap serius kerana tiada gejala peringkat awal.

Kencing berbuih adalah salah satu tanda masalah buah pinggang.

Simptom Yang Perlu Diberi Perhatian

Kemungkinan besar anda sedang mengalami masalah kesihatan sekiranya kencing berbuih turut terjadi dengan beberapa simptom seperti berikut :

  • Badan lesu
  • Rasa loya atau mual
  • Sukar untuk tidur malam
  • Air kencing berwarna gelap atau keruh
  • Sekiranya anda seorang lelaki, anda mungkin tidak mengeluarkan atau hanya mengeluarkan air mani dalam jumlah sedikit ketika orgasme.
  • Seorang lelaki juga mungkin mengalami masalah tidak subur
  • Bengkak yang ketara pada bahagian tangan, muka, kaki dan badan yang mungkin menunjukkan tanda pengumpulan cecair dalam badan disebabkan oleh masalah buah pinggang
  • Muntah-muntah
  • Hilang selera makan
kencing berbuih

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Pada kebanyakan masa, air kencing berbuih boleh diatasi dengan meminum lebih banyak air kosong. Namun, anda perlu berjumpa dengan doktor sekiranya :

  • Masalah air kencing berbuih tidak hilang dalam masa beberapa hari
  • Anda mempunyai pelbagai simptom seperti muntah, loya, badan bengkak, kelesuan dan hilang selera makan
  • Air kencing keruh atau berdarah

Dengan diagnosa dan rawatan awal, anda mungkin dapat mengelakkan komplikasi kesihatan yang lebih teruk pada masa akan datang.

Sumber : Hellodoktor, Healthline

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!