Inisiatif SSM 2026 Untuk Usahawan (B40, Pelajar, OKU, Warga Emas)

inisiatif SSM 2026
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Inisiatif-inisiatif SSM 2026 telah diumumkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai langkah proaktif untuk memperkasa ekosistem perniagaan di Malaysia.

SSM memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi, pendigitalan proses pendaftaran, dan pemberian insentif khas bagi membantu usahawan tempatan.

Terdapat empat inisiatif utama bagi tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada peningkatan tahap pematuhan korporat serta pengurangan bebanan kepada komuniti perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Rujuk info penuh mengenai Inisiatif SSM 2026 di bawah.

Ringkasan Inisiatif SSM 2026

Berikut ialah 4 inisiatif utama SSM 2026:

  1. Klinik Pematuhan & Kempen Pemulihan Dokumen
    • Untuk syarikat yang tertunggak penyata tahunan, penyata kewangan, borang benefisial owner, dll.
    • Boleh dapat bantuan pegawai SSM, dikurangkan kompaun, dan ada tempoh istimewa untuk serah semula dokumen.
  2. Skim 1 OKU 1 Perniksaan (S1O1P)
    • Usahawan OKU boleh daftar perniagaan percuma untuk tahun pertama, dengan layanan yang lebih mesra OKU.
  3. Skim Pendaftaran Percuma untuk B40 & Pelajar
    • Individu B40, pelajar IPTA/IPTS dan institusi kemahiran boleh mulakan perniagaan tanpa bayaran pendaftaran tahun pertama.
  4. Skim Pendaftaran Percuma Warga Emas (SPPWE)
    • Warga emas (60+) boleh daftar perniagaan percuma tahun pertama sebagai pendapatan tambahan.

Apa Itu Inisiatif SSM 2026?

Inisiatif SSM 2026 merangkumi empat langkah utama yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi menyokong PMKS, meningkatkan pematuhan syarikat terhadap Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024.

Inisiatif ini dilihat sebagai teras dasar kerajaan untuk memperkukuh ekosistem perniagaan negara, memudahkan proses pendaftaran, pemulihan dokumen tertunggak, dan meringankan kos operasi usahawan B40, OKU, pelajar universiti serta warga emas.

Pelaksanaan inisiatif SSM 2026 bermula secara berperingkat:

  • dua inisiatif pertama berkuat kuasa pada 16 April 2026
  • dua lagi akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026

Ini bermakna usahawan di seluruh Malaysia boleh merancang tindakan dan penggunaan faedah inisiatif tersebut dalam tempoh berkempen dan layanan khas yang diberikan.

Inisiatif SSM 2026

4 Inisiatif Utama SSM 2026

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengumumkan empat (4) inisiatif utama bagi tahun 2026.

Pelaksanaan bagi inisiatif pertama dan kedua akan bermula pada 16 April 2026, manakala pelaksanaan bagi inisiatif ketiga dan keempat akan berkuat kuasa bermula 1 Jun 2026.

Inisiatif-Inisiatif Utama SSM 2026 adalah seperti berikut:

Inisiatif 1: Klinik Pematuhan & Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori 2026

    • Inisiatif ini adalah untuk membantu syarikat yang menghadapi kesukaran memenuhi kewajipan pematuhan di bawah Akta Syarikat 2016.
    • Program ini memberi ruang kepada syarikat untuk mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada pegawai SSM serta melaksanakan tindakan pemulihan bagi dokumen statutori yang tertunggak seperti Penyata Tahunan (PT), Penyata Kewangan (PK) dan Maklumat Pemunyaan Benefisial (PB).
    • Melalui pendekatan ini, syarikat dapat memperbetulkan status pematuhan dalam tempoh yang munasabah dan pada masa yang sama meningkatkan kefahaman terhadap tanggungjawab korporat.
    • Kempen ini akan berlangsung dari 16 April 2026 hingga 30 September 2026.
    • Syarikat yang menyertai kempen ini akan diberi peluang untuk memulihkan pematuhan melalui:
      • Tempoh 3 bulan untuk serah simpan PT dan PB tertunggak;
      • Tempoh 6 bulan untuk serah simpan PK tertunggak; dan
      • Tempoh 3 bulan untuk memohon pemotongan nama syarikat tidak aktif
    • Selain itu, mana-mana syarikat yang menyertai kempen ini akan menerima manfaat pengecualian tindakan pendakwaan dalam tempoh tertentu, pengecualian kompaun bagi kesalahan yang belum dikompaun dan pengurangan kompaun yang signifikan bagi kesalahan tertentu.

    Jenis kesalahan yang akan diberikan pegurangan​​​ kompaun di sepanjang tempoh Kempen Pemulihan:

    ​​​​​SEKSYEN KESALAHAN​NILAI ASAL KOMPAUN​NILAI SELEPAS PENGURANGANPENGURANGAN
    ​Seksyen 68 Akta Syarikat 2016 – Gagal serah simpan Penyata Tahunan dalam tempoh 30 hari dari tarikh ulang tahun pemerbadanan syarikat.​RM5,000.00RM200.00​​RM4,800.00 (96%)
    ​Seksyen 245 Akta Syarikat 2016 – Gagal menyimpan rekod-rekod perakaunan dan lain-lain rekod yang berkaitan yang dapat menerangkan dengan jelas tentang sesuatu transaksi dan kedudukan kewangan syarikat.​RM40,000.00​RM2,000.00​RM38,000.00 (95%)
    ​Seksyen 248 Akta Syarikat 2016 – Gagal serah simpan Penyata Kewangan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh syarikat diperbadankan atau 6 bulan dari tarikh penyata kewangan berakhir. ​RM40,000.00​RM500.00​RM39,500.00 (99.50%)
    ​Seksyen 258 Akta Syarikat 2016 – Gagal edar Penyata Kewangan kepada anggota syarikat dalam tempoh 6 bulan dari tarikh tahun kewangan berakhir atau 21 hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.​RM5,000.00​RM200.00​RM4,800.00 (96%)
    ​Seksyen 259 Akta Syarikat 2016 – Gagal menyerah simpan Penyata Kewangan dalam masa 30 hari daripada tarikh edaran atau tarikh Mesyuarat Agung Tahunan bagi syarikat awam.​RM5,000.00​RM200.00​RM4,800.00 (96%)
    ​Seksyen 340 Akta Syarikat 2016 – Gagal membentangkan Penyata Kewangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa 6 bulan dari akhir tahun kewangan bagi syarikat awam.​RM2,000.00​RM200.00​RM1,800.00 (90%)
    ​Seksyen 165 Akta Syarikat 1965 – Gagal serah simpan Penyata Tahunan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.​RM1,000.00​RM100.00​RM900.00 (90%)
    ​Seksyen 143 Akta Syarikat 1965 – Gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dalam setiap tahun takwim.​RM1,000.00​​​​​​​​RM100.00​RM900.00 (90%)
    ​Seksyen 169 Akta Syarikat 1965 – Gagal membentangkan akaun untung rugi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.​RM3,000.00​RM100.00​RM2,900.00 (96.67%)

    Lokasi dan Tarikh Klinik Pematuhan:

    • Klinik Pematuhan Kuala Lumpur pada 13 April 2026;
    • Klinik Pematuhan Selangor pada 23 April 2026;
    • Klinik Pematuhan Johor pada 29 April 2026;
    • Klinik Pematuhan Sabah pada 5 Mei 2026; dan
    • Klinik Pematuhan Sarawak pada 7 Mei 2026.
    Inisiatif SSM 2026

    Iniasiatif 2: Meneruskan Skim 1 OKU 1 Perniagaan 

    • Inisiatif kedua adalah meneruskan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S101P) yang menyediakan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
    • Melalui skim ini, golongan OKU akan terus menerima manfaat pendaftaran perniagaan serta pembaharuan pendaftaran secara percuma setiap tahun.
    • Sekaligus, membantu mengurangkan beban kos pematuhan pada peringkat awal dan semasa menjalankan perniagaan.
    • Golongan OKU yang memanfaatkan inisiatif ini akan diberikan pengecualian fi sebanyak RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama tred dan RM30 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri.
    Inisiatif SSM 2026

    Inisiatif 3: Pendaftaran SPPP dilanjutkan kepada dua (2) tahun bagi memastikan kelestarian PMKS.

    • Inisiatif ini memberi peluang kepada usahawan kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di IPTA/IPTS, Politeknik, Kolej Institut Kemahiran dan Pusat Kemahiran di dalam negara untuk mendaftarkan perniagaan dengan SSM di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 secara percuma.
    • Melalui skim ini, pengecualian fi sebanyak RM120 diberikan bagi pendaftaran menggunakan nama tred, RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri serta RM10 bagi cetakan maklumat perniagaan.
    Inisiatif SSM 2026

    Inisiatif 4: Mewujudkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE)

    • Inisiatif keempat adalah pengenalan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) sebagai kategori baharu di bawah SPPP.
    • Skim ini menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma bagi tahun pertama kepada warga emas.
    • Skim ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada warga emas untuk menjana pendapatan melalui aktiviti keusahawanan, sekali gus membolehkan mereka terus aktif menyumbang kepada ekonomi negara.
    • SPPWE juga berupaya menyokong usaha negara dalam menghadapi cabaran menuju ke arah negara menua (ageing nation).
    • Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas meningkat kepada sekitar 8% pada tahun 2025 dan dijangka melebihi 15% daripada jumlah penduduk menjelang 2030.
    • Melalui SPPWE, golongan warga emas akan:
      • menikmati pendaftaran perniagaan secara percuma bagi tahun pertama
      • sebanyak RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama tred
      • RM30 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri serta RM10 bagi cetakan maklumat perniagaan.​
    Inisiatif SSM 2026

    Apa Manfaat Inisiatif SSM 2026 kepada Usahawan?

    Manfaat Inisiatif SSM 2026 kepada usahawan ialah:

    1) Mengurangkan beban kos perniagaan

    Inisiatif SSM 2026 membantu usahawan terutamanya B40, OKU dan warga emas dengan menawarkan pendaftaran perniagaan percuma untuk tahun pertama (dan dalam sesetengah skim, diperluaskan hingga dua tahun).

    2) Memudahkan pemulihan syarikat yang tertunggak

    Melalui Klinik Pematuhan & Kempen Pemulihan Dokumen, syarikat yang mempunyai penyata tahunan, penyata kewangan dan maklumat pemunyaan benefisial tertunggak boleh mendapatkan bantuan nasihat terus daripada pegawai SSM.

    Usahawan juga menikmati tempoh lesu untuk serah dokumen, pengurangan kompaun, dan kurang risiko tindakan mahkamah untuk kesalahan tertentu.

    3) Meningkatkan akses kepada ekosistem perniagaan yang sah

    Inisiatif seperti Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) dan pendaftaran percuma untuk pelajar IPTA/IPTS & institusi kemahiran membolehkan lebih banyak golongan muda dan OKU mendaftar perniagaan secara rasmi.

    Ini bermakna usahawan lebih mudah akses geran, bantuan kerajaan, perbankan dan program pembangunan PMKS yang mensyaratkan perniagaan berdaftar.

    4) Menyokong keusahawanan warga emas

    Dengan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE), golongan 60 tahun ke atas boleh mendaftar perniagaan tanpa bayaran, sekali gus menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan tambahan.

    Ini memberi ruang lebih luas kepada warga emas untuk kekal aktif secara ekonomi dan tidak hanya terlalu bergantung kepada bantuan sara hidup.

    5) Menyokong kelestarian dan pertumbuhan PMKS

    Secara keseluruhan, inisiatif SSM 2026 direka untuk mengurangkan halangan masuk ke dunia perniagaan dan membantu usahawan mengekalkan status perniagaan yang sah dan patuh.

    Ini bermakna lebih banyak PMKS boleh “survive” lebih lama, berkembang, dan memberi kontribusi kepada ekonomi, terutamanya di peringkat komuniti dan kampung.

    Sasaran

    Secara umum, inisiatif SSM 2026 menyasarkan beberapa kumpulan utama:

    • Syarikat yang mempunyai dokumen tertunggak di bawah Akta Syarikat 2016.
    • Usahawan OKU yang ingin mendaftar perniagaan untuk pertama kali.
    • Individu berpendapatan B40 yang ingin memulakan perniagaan kecil.
    • Warga emas (60 tahun ke atas) yang ingin berniaga sebagai sumber pendapatan tambahan.

    Maklumat Lanjut

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan info terkini mengenai inisiatif SSM 2026. sila rujuk:

    Anda juga boleh rujuk:

    Kenyataan Media​

    TitleFormat
    EMPAT INISIATIF UTAMA SSM 2026 PERKUKUH PEMATUHAN ​KORPORAT DAN PACU PERTUMBUHAN PMKSPD​F

    Soalan Lazim​

    TitleFormat
    INISIATIF 1 : MENGADAKAN KLINIK PEMATUHAN DAN KEMPEN PEMULIHAN SERAH SIMPAN DOKUMEN STATUTORI KEPADA SYARIKAT-SYARIKAT YANG GAGAL MEMATUHI PERUNTUKAN AKTA SYARIKAT 2016​​P​​DF​​​
    INISIATIF 2 : MENERUSKAN PELAKSANAAN SKIM 1 OKU 1 PERNIAGAAN (S1O1P) YANG MEMBERIKAN PENDAFTARAN DAN PEMBAHARUAN PERNIAGAAN PERCUMA KEPADA OKU (TERHAD 1 PERNIAGAAN SETIAP OKU)​​P​DF​​​
    INISIATIF 3 : MELANJUTKAN TEMPOH PENDAFTARAN SKIM PENDAFTARAN PERNIAGAAN PERCUMA (SPPP) KEPADA DUA (2) TAHUN MELIBATKAN USAHAWAN KUMPULAN B40, PELAJAR IPT SEPENUH MASA SERTA PASANGAN SUAMI DAN ISTERI USAHAWAN B40​P​DF​​​
    INISIATIF 4 : MEMPERKENALKAN SKIM PENDAFTARAN PERNIAGAAN PERCUMA WARGA EMAS (SPPWE)​​P​DF​​​​

    Soalan Lazim Inisiatif SSM 2026

    Apa itu Inisiatif SSM 2026?

    Inisiatif SSM 2026 diperkenalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertujuan meningkatkan pematuhan korporat dan mengurangkan beban kepada komuniti perniagaan, terutamanya PMKS, termasuk syarikat, B40, OKU, pelajar dan warga emas.

    Apakah empat inisiatif SSM 2026?

    1. Klinik Pematuhan & Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori 2026
    2. Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P)
    3. Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) untuk B40 dan pelajar sepenuh masa
    4. Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) di bawah SPPP.

    Bila inisiatif SSM 2026 bermula?

    Pelaksanaan inisiatif pertama dan kedua bermula pada 16 April 2026, manakala inisiatif ketiga dan keempat akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026.

    Siapa layak untuk Inisiatif SSM 2026?

    1. Klinik Pematuhan & Kempen Pemulihan: Syarikat yang mempunyai dokumen tertunggak di bawah Akta Syarikat 2016.
    2. S1O1P: Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendaftar atau memperbaharui perniagaan.
    3. SPPP: Usahawan B40 dan pelajar sepenuh masa di IPTA/IPTS, politeknik, kolej dan institut kemahiran.
    4. SPPWE: Warga emas (60 tahun ke atas).

    Apa manfaat Klinik Pematuhan & Kempen Pemulihan kepada syarikat?

    Syarikat boleh mendapatkan nasihat terus daripada pegawai SSM, memulihkan dokumen tertunggak seperti Penyata Tahunan, Penyata Kewangan dan Maklumat Pemunyaan Benefisial, serta mendapat kelonggaran, termasuk pengurangan kompaun, dalam tempoh kempen tertentu.

    Apa itu Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P)?

    S1O1P adalah skim yang membolehkan OKU mendaftar perniagaan secara percuma dan menerima pembaharuan tahunan percuma untuk tempoh yang ditetapkan SSM, bagi menggalakkan lebih ramai OKU menjadi usahawan berdaftar.

    Apa itu Skim Pendaftaran Percuma (SPPP) untuk B40 dan pelajar?

    SPPP membolehkan usahawan B40 dan pelajar sepenuh masa mendaftar perniagaan secara percuma di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, dengan fi pendaftaran dan fi cetakan dikecualikan untuk tempoh tertentu.

    Apa itu SPPWE (Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas)?

    SPPWE adalah skim kategori baharu di bawah SPPP yang memberi pendaftaran perniagaan percuma bagi tahun pertama kepada warga emas, bertujuan memberi peluang mereka menjana pendapatan dan terus aktif secara ekonomi.

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut