Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita yang cukup dekat di hati rakyat. Pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali meninggalkan kenangan besar buat keluarga, sahabat dan masyarakat yang mengenali jasa serta sumbangan beliau.

Dikenali bukan sahaja sebagai seorang doktor, tetapi juga sebagai wanita yang banyak mewarnai sejarah negara, perjalanan hidup Tun Dr Hasmah penuh dengan kisah inspirasi yang wajar dikenang.

Dalam artikel ini, kita imbas kembali biodata Tun Dr Hasmah, latar belakang, perjalanan kerjaya, keluarga serta jasa dan legasi beliau sepanjang hayatnya.

Baca juga: Tun Mahathir – Biodata, Sumbangan & Gelaran

Biodata Tun Dr Hasmah Mohamad Ali

biodata tun hasmah
Nama PenuhTun Dr Hasmah Mohd Ali
Tarikh Lahir12 Julai 1926
Tempat LahirKampung Jawa, Klang, Selangor
Usia Ketika Meninggal Dunia100 tahun
BapaHj Mohd Ali
IbuHajah Siti Khatijah bt Ahmad
Adik-beradikAnak keenam daripada 10 beradik
BidangPerubatan, kesihatan awam, kebajikan dan pendidikan
SuamiTun Dr Mahathir Mohamad
Tarikh Perkahwinan5 Ogos 1956
Anak7 orang – 3 perempuan dan 4 lelaki
Gelaran TunSeri Setia Mahkota Malaysia (SSM), 2003
Tarikh Meninggal Dunia28 September 2026
Tempat Meninggal DuniaInstitut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur

Berikut dikongsikan ringkasan infografik yang diterbitkan oleh RTM

Belasungkawa Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali / Sumber : RTM

Kehidupan Awal dan Latar Belakang

Tun Dr Hasmah Mohd Ali dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor. Beliau merupakan anak keenam daripada 10 orang adik-beradik.

Bapanya, Hj Mohd Ali, merupakan seorang pegawai kerajaan, manakala ibunya, Hajah Siti Khatijah bt Ahmad, merupakan seorang suri rumah.

Sejak usia muda, Allahyarhamah sudah menunjukkan minat terhadap pendidikan. Beliau mendapat pendidikan awal di Methodist Girls’ School, Kuala Lumpur, sebelum meneruskan persekolahan di St Mary’s School.

Beliau kemudiannya bersekolah di Pudu English School dan berjaya memperoleh Sijil Persekolahan.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, minatnya terhadap bidang perubatan membawa beliau melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.

Beliau berasal daripada keluarga yang banyak berjasa kepada negara.

Antara adik-beradik beliau ialah Tun Mohamed Hashim, bekas Panglima Angkatan Tentera; Tun Ismail Mohd Ali, bekas Gabenor Bank Negara; dan Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali, bekas Menteri Besar Selangor.

biodata tun hasmah
Kredit: Perdana Leadership Foundation

Pendidikan dan Kerjaya Dalam Bidang Perubatan

Pada tahun 1947, Tun Dr Hasmah melanjutkan pengajian ke King Edward VII College of Medicine di Singapura menerusi biasiswa kerajaan.

Beliau mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di sinilah beliau bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut melanjutkan pengajian di institusi sama. Pertemuan tersebut akhirnya membawa kepada hubungan yang berpanjangan sehingga mereka mendirikan rumah tangga.

Pada 1955, Tun Dr Hasmah menamatkan pengajian sebagai doktor perubatan sebelum menjalani latihan siswazah di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Selepas berkahwin dengan Tun Dr Mahathir pada tahun berikutnya, beliau berpindah ke Alor Setar dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.

Kerjaya beliau kemudiannya berkembang dalam bidang kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu dan anak.

Pada 1965, beliau menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak.

Sembilan tahun kemudian, pada 1974, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah.

Selain tugas klinikal, beliau turut menghasilkan penulisan berkaitan perubatan keluarga serta faktor sosioekonomi yang berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran di Malaysia.

Kisah Cinta Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir

Kisah cinta Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir bermula ketika kedua-duanya menuntut di King Edward VII College of Medicine, Singapura.

Pertemuan sebagai rakan sekuliah itu berkembang menjadi hubungan yang lebih rapat dari hari ke hari.

Pada 5 Ogos 1956, mereka akhirnya mendirikan rumah tangga di Kuala Lumpur.

Selepas berkahwin, Tun Dr Hasmah mengikut suaminya ke Alor Setar dan meneruskan kerjaya sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.

Perkahwinan mereka dikurniakan tujuh orang cahaya mata, iaitu tiga perempuan dan empat lelaki.

Pasangan itu juga dikurniakan 18 orang cucu dan seorang cicit.

Hubungan mereka terus menjadi perhatian masyarakat, terutama selepas Tun Dr Mahathir mula memainkan peranan besar dalam politik dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Kredit: Perdana Leadership Foundation

Peranan Tun Dr Hasmah Sebagai Isteri Perdana Menteri

Tun Dr Hasmah menjadi isteri Perdana Menteri ketika Tun Dr Mahathir menerajui negara bagi dua tempoh, iaitu 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.

Walaupun berada dalam kedudukan sebagai isteri Perdana Menteri, beliau tidak meninggalkan latar belakangnya dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Sebaliknya, beliau menggunakan kedudukan serta pengalamannya untuk terus memberi perhatian kepada isu kesihatan awam, kebajikan, pendidikan, wanita, kanak-kanak dan penyalahgunaan dadah.

Beliau juga aktif dalam pelbagai pertubuhan masyarakat dan memegang beberapa jawatan penting.

Antaranya termasuk:

  • Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia
  • Ahli Kehormat Persatuan Alumni Kolej Perubatan King Edward VII
  • Penaung Persatuan Pan-Pasifik & Wanita Asia Tenggara
  • Penaung Malaysian Pediatric Association
  • Penaung Amal Pelarian Bosnia di Croatia
  • Pengerusi Jawatan Kuasa Pengemudi Kawasan berhubung dengan Wanita Luar Bandar & Pulau bagi Asia Pasifik, dan banyak lagi

Selepas Tun Dr Mahathir berundur sebagai Perdana Menteri pada 2003, Tun Dr Hasmah tetap memberikan sokongan dan menemani suaminya dalam pelbagai urusan serta kegiatan.

Kredit: Perdana Leadership Foundation

Sumbangan dan Jasa Tun Dr Hasmah Kepada Negara

Antara sumbangan terbesar Tun Dr Hasmah ialah dalam bidang kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu dan anak.

Ketika berkhidmat sebagai pegawai perubatan, beliau aktif menyertai kempen kesihatan anjuran Kementerian Kesihatan.

Program-program tersebut turut memberi tumpuan kepada masyarakat luar bandar bagi meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan.

Beliau juga aktif dalam usaha perancangan keluarga, kebajikan kanak-kanak dan pemulihan kanak-kanak kurang upaya.

Selain itu, beliau mengambil berat mengenai isu penyalahgunaan dadah.

Sebagai Presiden BAKTI (Welfare Club of the Wives of Ministers and Deputy Ministers), beliau aktif dalam usaha mendidik golongan muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Pada 1985, atas jemputan First Lady Amerika Syarikat ketika itu, Nancy Reagan, beliau menghadiri First Ladies’ Conference on Drug Abuse di Washington, D.C.

Dua tahun kemudian, pada 1987, beliau mewakili Malaysia dalam International Conference on Drug Abuse and Illicit Trafficking di Vienna.

Kredit: Perkim Kebangsaan

Penglibatan Dalam Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat

Minat Tun Dr Hasmah terhadap kesihatan tidak terhad kepada kesihatan fizikal semata-mata.

Beliau turut memberikan perhatian kepada kesihatan mental dan pernah dijemput oleh bekas First Lady Amerika Syarikat, Rosalynn Carter, untuk menyertai National Committee of the World Federation of Mental Health.

Dalam bidang wanita dan pembangunan pula, beliau pernah menjadi penaung Pan Pacific South East Asia Women’s Association (PESAWA) Malaysia.

Beliau menghadiri serta menyampaikan ucaptama dalam persidangan tiga tahunan PESAWA di:

  • Tokyo pada 1984
  • Bangkok pada 1991
  • Tonga pada 1994

Pada Ogos 1997, beliau menjadi tuan rumah kepada persidangan tiga tahunan berkenaan yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Pada September 1995, beliau turut mengetuai delegasi Malaysia ke United Nations Fourth World Conference on Women di Beijing.

Dalam persidangan tersebut, beliau menyampaikan ucapan bertemakan “Equality, Development and Peace: A Caring World”.

Klinik swasta bumiputera yang ditubuhkan pada 1957 itu merupakan gabungan nama ‘Mahathir’ dan ‘Hasmah’.
Kredit: Universiti Malaya

Anugerah dan Pengiktirafan Yang Diterima

Sepanjang hayatnya, Tun Dr Hasmah menerima pelbagai darjah kebesaran, anugerah dan pengiktirafan atas sumbangannya dalam bidang kesihatan awam, pendidikan, kebajikan dan usaha membanteras penyalahgunaan dadah.

Antara pengiktirafan paling besar ialah apabila beliau dianugerahkan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) pada 31 Oktober 2003.

Anugerah tersebut membawa gelaran Tun dan menjadikan beliau isteri Perdana Menteri Malaysia pertama yang dianugerahkan gelaran Tun.

Beliau turut menerima beberapa Ijazah Kehormat Doktor daripada institusi luar negara termasuk:

  • University of Indiana, Amerika Syarikat
  • University of Victoria, Kanada
  • Royal College of Physicians, Dublin, Ireland
  • University of Edinburgh, Scotland

Di Malaysia pula, beliau menerima ijazah kehormat daripada beberapa institusi pengajian tinggi termasuk UKM, UM, USM, IMU, UniMAS, UiTM, UIAM, UUM, UMS dan UPSI.

Pada 1988, beliau menerima Kazue McLaren Award daripada Asia Pacific Consortium for Public Health.

Dalam bidang pendidikan tinggi, beliau turut berkhidmat sebagai Canselor Multimedia University (MMU) dari 1997 hingga 2012.

Kredit: Perdana Leadership Foundation

Fakta Menarik Tentang Tun Dr Hasmah

Di sebalik jasa besarnya, ada beberapa fakta menarik tentang Tun Dr Hasmah yang mungkin ramai tak tahu.

  • Nama sebenar beliau sebenarnya hanya Hasmah, tanpa “Siti”.
  • Gelaran “Siti” mula digunakan selepas beliau dan Tun Dr Mahathir berpindah dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.
  • Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir mencipta sejarah sebagai pasangan bekas ketua kerajaan yang kedua-duanya mencapai usia 100 tahun dan masih hidup.
  • Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir telah melayari alam perkahwinan selama 70 tahun.
  • Memiliki klinik bersama Tun Dr Mahathir iaitu “Maha Klinik”, gabungan rasmi dari nama pasangan ini.
  • Selain berbakat bermain piano, Tun Dr Hasmah juga mempunyai bakat bermain biola.
  • Beliau pernah menulis jurnal biografi mengenai kehidupannya bertajuk My Name is Hasmah….
  • Gaya klasik Tun Dr Hasmah dengan busana kurung dan kalung mutiara sering menjadi antara penampilan ikonik beliau.
  • Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir dikurniakan tujuh orang anak, iaitu tiga perempuan dan empat lelaki.
  • Tun Dr Hasmah menerima pengiktirafan Pasangan Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup menerusi ASEAN Records.
  • Pasangan ini turut menerima pengiktirafan Asia Records sebagai Bekas Ketua Kerajaan dan Pasangan Pertama yang kedua-duanya menjadi centenarian yang masih hidup.
biodata tun hasmah
Kredit: Astro Awani
Buku yang ditulis oleh Tun Dr Hasmah

Pemergian Tun Dr Hasmah, Satu Kehilangan Besar Buat Malaysia

Tun Dr Hasmah Mohd Ali meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada usia 100 tahun. Berita pemergian beliau disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Pemergian Allahyarhamah menutup satu perjalanan hidup yang panjang dan penuh dengan sumbangan kepada negara.

Daripada seorang pelajar perubatan yang mencipta sejarah sebagai antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan, beliau kemudiannya menjadi doktor, tokoh kesihatan awam, aktivis kebajikan, tokoh wanita dan isteri kepada Perdana Menteri Malaysia.

Lebih istimewa, beliau terus aktif dalam pelbagai bidang walaupun berada dalam usia lanjut.

Pemergian Tun Dr Hasmah merupakan satu kehilangan yang meninggalkan kesan mendalam. Namun, segala jasa, sumbangan dan kisah kehidupan beliau akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah yang dikenang generasi akan datang.

Semoga segala jasa dan pengorbanan Tun Dr Hasmah terus dikenang, dan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Baca juga: Tun Abdullah Ahmad Badawi – Biodata, Pencapaian & Sumbangan

Penulis
Seorang Digital Nomad yang sukakan muzik dan buku