Mencari ubat sembelit kadang-kadang boleh buat kita pening kepala, kan?
Masalah ini memang biasa berlaku bukan sahaja kepada orang dewasa, tetapi juga bayi dan kanak-kana.
Kalau dibiarkan, boleh buat kita rasa tidak selesa sepanjang hari.
Untuk atasi masalah ini secara berkesan, anda perlulah gunakan ubat sembelit yang sesuai.
Dalam artikel ini, jom kita tengok pilihan ubat sembelit yang berkesan – dari pilihan yang semula jadi hinggalah ubat yang boleh didapati di farmasi.
Mana tahu, lepas ni lega sikit perut anda tu!
Apa itu Sembelit?
Sembelit ialah keadaan di mana seseorang sukar untuk membuang air besar atau buang air besar dengan tidak sekerap biasa.
Biasanya, sembelit berlaku apabila pergerakan usus menjadi perlahan, menyebabkan najis menjadi keras, kering, dan susah untuk dikeluarkan.
Ada orang mungkin hanya buang air besar tiga kali seminggu atau kurang, dan setiap kali ke tandas, perlu meneran dengan kuat hingga rasa tidak selesa atau sakit.
Sembelit bukan sekadar masalah kecil, kerana kalau dibiarkan, ia boleh menjejaskan keselesaan harian.
Perut boleh rasa penuh, kembung, atau sakit. Kadang-kadang, sembelit juga boleh sebabkan buasir kerana terlalu kuat meneran.
Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tak kira umur.
Puncanya berbeza-beza, termasuk faktor pemakanan, gaya hidup, atau kesan sampingan ubat.
Yang penting, sembelit boleh dicegah dan dirawat dengan cara yang betul – sama ada dengan ubat sembelit, perubahan diet, atau gaya hidup yang lebih sihat.
Punca Sembelit
Sembelit berlaku apabila pergerakan usus jadi perlahan, menyebabkan najis keras dan sukar dikeluarkan.
Antara punca sembelit yang biasa adalah kurang minum air.
Apabila tubuh tak cukup air, najis jadi kering dan susah untuk keluar dengan lancar.
Selain itu, pengambilan makanan yang rendah serat juga menyumbang kepada masalah ini.
Pengambilan serat amat penting untuk membantu najis bergerak dengan baik dalam usus.
Gaya hidup turut memberi kesan.
Kurang bersenam, banyak duduk, atau selalu menangguhkan waktu ke tandas atau tahan berak boleh menyebabkan sembelit.
Perubahan rutin harian, seperti perjalanan jauh atau perubahan waktu makan, juga boleh menjejaskan sistem pencernaan.
Selain faktor pemakanan dan gaya hidup, ada juga sembelit yang berpunca daripada kesan sampingan ubat-ubatan tertentu.
Contohnya, ubat tahan sakit, ubat untuk gastrik, atau suplemen zat besi.
Dalam kes tertentu, sembelit mungkin disebabkan masalah kesihatan lain seperti gangguan tiroid atau sindrom usus malas.
Memahami punca sembelit penting supaya kita boleh pilih ubat sembelit atau rawatan yang sesuai untuk atasi masalah ini dengan berkesan.
Baca juga:
Rawatan dan Ubat Sembelit
Terdapat empat jenis laksatif sebagai cara mengatasi sembelit dan setiap satu daripadanya mempunyai fungsi tersendiri.
Anda juga perlu awasi kesan selepas makan ubat sembelit jika salah pengambilan ubatnya.
Laksatif Pukal
Ia berfungsi dengan menyerap air di dalam usus bagi menghilangkan najis pukal dan seterusnya menggalakkan pergerakan usus.
Ubat laksatif ini perlu mengambil masa beberapa hari sebelum muncul kesannya.
Individu yang mengambil laksatif pukal ini perlu minum banyak air bagi mengelakkan usus tersumbat.
Contoh laksatif pukal adalah dedak gandum (wheat bran), dedak oat (wheat oat) dan psyllium husk (sekam psyllium).
Ubat Sembelit Pelembut Najis
Pelembut najis pula bertindak sebagai pelincir dan melembutkan najis.
Seeloknya, ia perlu diambil sebelum makan malam agar lebih berkesan.
Elakkan tidur sebaik sahaja mengambil pelembut najis ini kerana ia bersifat meruap dan boleh masuk ke paru-paru.
Pengguna juga perlu berhati-hati kerana pengambilan jangka panjang ubat sembelit ini boleh menyebabkan kerengsaan pada usus.
Contoh pelembut najis adalah cecair paraffin (liquid paraffin).
Laksatif Osmotik
Laksatif Osmotik seperti lactulose bertindak dengan melembutkan najis dengan menarik air dalam badan ke dalam usus menerusi proses osmosis di samping mengekalkan air yang diminum bersamanya.
Pesakit kencing manis perlu berhati-hati ketika mengambil ubat ini kerana ia mengandungi sedikit gula dalam bentuk laktosa dan galaktosa.
Oleh itu, pesakit Diabetes digalakkan mendapat konsultasi doktor sebelum pengambilan sebarang jenis ubat untuk sembelit.
Laksatif Perangsang
Laksatif perangsang pula berfungsi dengan meningkatkan pergerakan usus agar najis dapat ditolak keluar dengan cepat.
Walau bagaimanapun, penggunaan ubat sembelit ini secara berlebihan boleh menyebabkan cirit-birit.
Bergantung kepada jenis, ubat ini boleh didapati dalam beberapa bentuk.
Antaranya bentuk tablet untuk dimakan, tiub cecair untuk dipicit ke dalam dubur atau supositori (berbentuk kelongsong) untuk dimasukkan ke dalam dubur.
Contoh laksatif perangsang adalah Bisacodyl, Senna dan Gliserin.
Petua Hilangkan Sembelit Tanpa Pengambilan Ubat
Walaupun terdapat beberapa alternatif, namun rawatan menggunakan ubat sembelit tidak akan menyembuhkan sembelit secara kekal.
Terdapat beberapa amalan atau tabiat yang boleh mengurangkan masalah sembelit secara semula jadi seperti :
- Minum enam hingga lapan gelas air sehari
- Makan sayur-sayuran dan buah-buahan yang tinggi serat
- Luangkan masa untuk amalkan senaman setiap hari
- Kurangkan pengambilan produk tenusu, alkohol dan makanan atau minuman berkafein seperti teh, coklat atau kopi.
Tips Rawatan Ubat Sembelit Untuk Golongan Khas
Bayi dan Kanak-Kanak
Jika bayi yang alami sembelit, cuba tukar corak pemakanan atau susu formula.
Anda juga boleh campurkan susu dengan jus buah prun, pir atau epal untuk bantu melembutkan najis bayi.
Bagi ibu ayah yang ingin berikan ubat sembelit budak atau bayi, boleh berikan lactulose.
Doktor juga mungkin akan mengesyorkan ubat laksatif perangsang untuk kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah yang mengalami sembelit.
Namun, sebaik-baiknya, rujuk doktor dahulu sebelum memberi sebarang ubat sembelit kanak-kanak di farmasi.
Wanita Hamil
Cara terbaik untuk wanita hamil atasi sembelit adalah dengan cara semula jadi.
Sekiranya masih tidak berhasil, ibu hamil boleh cuba laksatif pukal.
Lactulose pula boleh diambil secara sederhana.
Laksatif perangsang seperti bisacodyl atau senna pula hanya boleh diambil oleh ibu mengandung setelah mendapat kebenaran daripada doktor.
Penggunaan enema gliserin tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kesakitan abdomen yang kuat.
Wanita Menyusu Anak
Laksatif pukal, lactulose, senna dan enema gliserin selamat untuk digunakan bagi wanita yang menyusukan anak.
Namun, ibu menyusu perlulah berhati-hati dengan sediaan senna yang digabungkan dengan herba kerana ia mungkin tidak sesuai untuk bayi yang mengalami jaundis.
Kesimpulannya, ubat sembelit perlulah digunakan secara berhati-hati terutamanya bagi kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah dan ibu hamil serta menyusu.
Anda juga dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor sekiranya sembelit disertai dengan masalah lain seperti pendarahan dari dubur, sakit abdomen, tidak boleh membuang angin dan muntah-muntah.