Daun Senna : Kelebihan Untuk Perut dan Kesan Sampingannya

Pernah dengar tentang daun senna? Juga dikenali sebagai daun gelenggang atau daun sanna, tumbuhan ini telah digunakan sebagai ramuan tradisional di negara Arab sejak zaman dahulu lagi.

Bahan aktif utama dalam daun gelenggang dikenali sebagai antraquinone glucosides (2.5%) dan sering digunakan sebagai bahan laksatif atau julap.

Pada masa yang sama, daun senna turut digunakan dalam perubatan moden dan boleh didapati sebagai ubat bukan preskripsi (over the counter).

Ayuh kita kenali kelebihan daun senna dengan lebih lanjut.

daun senna

Kelebihan Daun Senna Untuk Perut

Beberapa kajian kecil mendapati potensi khasiat daun senna dalam merawat sembelit dan beberapa gangguan perut yang lain.

1. Merawat Sembelit

Para pengkaji mendapati bahan aktif yang terkandung dalam daun senna mempunyai kesan julap yang kuat.

Satu tinjauan ke atas 41 kajian perubatan turut menjelaskan bukti yang menyatakan penggunaan daun senna sebagai pilihan pertama dalam merawat masalah sembelit.

Oleh sebab itulah ramai yang memilih untuk gunakan daun senna untuk mengatasi sembelit.

Ia berfungsi dengan merangsang dinding usus besar atau kolon dan seterusnya memudahkan pergerakan usus.

Selain itu, daun gelenggang juga turut menghalang air dan elektrolit daripada terserap kembali oleh kolon.

Ini sekaligus dapat membantu melembutkan najis.

Namun, penggunaannya dalam tempoh masa yang panjang adalah tidak digalakkan kerana ia boleh memberi risiko terhadap kerosakan hati.

2. Untuk Cuci Perut Sebelum Kolonoskopi

Di samping merawat masalah sembelit, daun sanna juga digunakan bersama agen lain bagi membersihkan bahagian kolon sebelum prosedur kolonoskopi.

Sebuah kajian turut mendapati ia mampu meningkatkan proses pembersihan kolon secara berkesan.  

Kolonoskopi adalah satu prosedur bagi mengesan atau mengenalpasti kanser kolon.

Adakah Ia Sesuai Untuk Turunkan Berat Badan?

Sejak beberapa tahun ini, sesetengah penjual turut mengkomersialkan teh senna sebagai supplemen untuk tingkatkan metabolisma dan menurunkan berat badan.

Ia juga sering digelar sebagai ‘skinny tea’ atau ‘teatox’.

daun senna

Namun, tiada bukti saintifik yang menyokong penggunaan teh dengan ramuan daun gelenggang ini untuk penyingkiran detoks atau penurunan berat badan.

Malah, penggunaan teh senna secara berterusan boleh memberi impak negatif kepada kesihatan.

Dalam penggunaan jangka masa panjang, ia mungkin boleh mengubah fungsi tisu di sistem pencernaan dan sekaligus menyebabkan kebergantungan yang tinggi.

Sebuah kajian terhadap 10,000 wanita yang menggunakan teh senna untuk penurunan berat badan cenderung untuk alami gangguan pemakanan (eating disorder) sehingga 6 kali ganda.

Kesan Sampingan dan Langkah Berjaga-jaga Dalam Menggunakan Daun Senna

Teh senna secara umumnya adalah selamat untuk digunakan bagi kebanyakan dewasa dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

Walau bagaimanapun, ia boleh memberikan kesan sampingan atau risiko tertentu.

Antara kesan sampingan umum adalah kekejangan perut, loya, muntah, kembung perut dan cirit-birit.

Sekiranya simptom sebegini berlaku, anda perlu hentikan pengambilan daun ini secara serta-merta.

Lebih teruk lagi, penggunaan daun gelenggang secara berpanjangan boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lebih serius seperti kerosakan atau kecederaan pada hati, perubahan pada rentak jantung serta gangguan elektrolit.

Sebuah laporan yang diterbitkan pada 2005 menyatakan seorang wanita berusia 52 tahun telah dikenalpasti menghidap kegagalan hati akut akibat pengambilan teh daun senna setiap hari selama lebih tiga tahun.

Amaran Penggunaan

Meskipun terdapat beberapa khasiat daun sanna dalam merawat sembelit, namun sesetengah individu tidak dibenarkan untuk mengambil daun ini.

Tambahan pula, ia boleh mengganggu keberkesanan beberapa jenis ubat dan supplemen bagi rawatan penyakit tertentu.  

Antaranya ialah individu yang mempunyai penyakit Crohn, kolitis ulseratif, cirit-birit, dehidrasi, sakit apendiks dan sakit-sakit badan.

Pesakit dengan masalah jantung, hati dan buah pinggang juga dilarang untuk mengambil daun senna.

tekanan darah rendah

Walaupun daun senna mampu merawat sembelit dan ubat atau tehnya boleh didapati tanpa preskripsi doktor, anda masih perlu berhati-hati dalam menggunakannya.

Sebagai alternatif kepada rawatan sembelit, anda mungkin boleh mengamalkan pemakanan lain seperti oat, chia seed serta sayur-sayuran dan buah-buahan berserat tinggi.

Dos, kuantiti serta tempoh masa penggunaannya juga perlu dikawal bagi mengelakkan kesan sampingan daripada berlaku.

Untuk langkah berjaga-jaga, anda boleh dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum ingin mengambil teh senna, terutamanya jika anda menghidap penyakit kronik.

Sumber : MyHealth, Hellodoktor

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!