KUALA LUMPUR, 23 September 2026 – Tourism Malaysia terus memperkukuh usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan menerusi penganjuran Citrawarna Speed Festival 2026 serta pelancaran tiga pakej pelancongan baharu, iaitu EDU+ 2.0, Eatventure dan Taste of Orchard.
Citrawarna Speed Festival 2026 Gabungkan Budaya dan Sukan Permotoran
Berlangsung selama 12 hari dari 23 September hingga 4 Oktober 2026, Citrawarna Speed Festival 2026 mengetengahkan gabungan unik antara kekayaan seni dan budaya Malaysia dengan kemeriahan sukan permotoran.
Festival ini berpusat di tiga lokasi utama, iaitu IOI City Mall Putrajaya, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Sama-Sama KLIA.
Selepas kejayaan Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka pada Julai lalu, edisi kali ini tampil dengan konsep yang lebih dinamik dan interaktif menerusi sokongan pelbagai rakan strategik termasuk AMD, ASUS, Hotel Sama-Sama, HP, Intel, IOI City Mall, IOI Properties, Istana Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kraftangan Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Memento Exclusives, MSI, SDeal Malaysia Sim Racing & Motorsport HP, SNS Network, TVS 122, TVS Inspire serta Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd.

Di IOI City Mall Putrajaya, festival ini dibahagikan kepada empat zon utama:
- Zon A – Colours of Speed: Menampilkan ruang interaktif dengan pertandingan simulator perlumbaan yang memberi peluang kepada pengunjung menguji kemahiran dan memenangi hadiah menarik.
- Zon B – Rerurai Info (GFEC): Menjadi pusat sehenti maklumat pelancongan dan budaya dengan penglibatan Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Sepang.
- Zon C – Colours of Art & Culture: Menampilkan 14 stesen interaktif berkaitan seni, kraf tradisional dan persembahan kebudayaan secara langsung.
- Zon D – Colours of Parade: Menampilkan persembahan budaya, elemen realiti maya (VR) serta sesi ramah mesra bersama maskot Wira dan Manja.



Kemeraiahan festival turut dibawa terus ke Terminal 1 KLIA dan Hotel Sama-Sama KLIA bagi menyambut ketibaan pelancong.
Pengunjung berpeluang menikmati persembahan tarian kebudayaan, pameran automotif, permainan tradisional seperti gasing dan congkak serta sesi simulator perlumbaan.
Menariknya, tetamu Hotel Sama-Sama KLIA turut menerima kad kunci bilik edisi khas Citrawarna Speed Festival.
Kemuncak festival, The Symphony Walk, akan berlangsung di IOI City Mall Putrajaya pada 3 Oktober 2026, jam 8.30 malam. Program Colours of Parade dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 penari dan penghibur kebudayaan sepanjang laluan.
Sambutan kemudiannya diteruskan pada 4 Oktober 2026 menerusi Aktivasi Lamborghini, yang akan menampilkan kira-kira 100 buah kereta berkuasa tinggi.
Tiga Pakej Pelancongan Baharu Dilancarkan
Dalam usaha memperkaya pengalaman pelancongan dan menawarkan produk yang lebih pelbagai, Tourism Malaysia turut melancarkan tiga pakej pelancongan baharu, iaitu EDU+ 2.0, Eatventure dan Taste of Orchard.
Majlis pelancaran berlangsung pada 23 September 2026 (Rabu), jam 3.30 petang di Saloma Kuala Lumpur, dengan YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dijadual menyempurnakan majlis tersebut.
Program turut merangkumi tayangan video Visit Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027), ucapan perasmian, gimik pelancaran serta sesi penyampaian cenderamata antara Tourism Malaysia dan NAPEI.
Majlis berkenaan turut diadakan bersempena usaha memperkukuh promosi pelancongan Malaysia menerusi pelbagai produk dan pengalaman baharu kepada pelancong.
Sokong Kempen Melawat Malaysia 2026-2027
Menurut Tourism Malaysia, penganjuran acara berskala besar seperti Citrawarna Speed Festival 2026 bukan sahaja menawarkan pengalaman kebudayaan yang lebih segar kepada pelancong, malah berpotensi menyokong pertumbuhan rantaian ekonomi tempatan.
Ia merangkumi sektor seperti pelancongan, peruncitan, perhotelan dan industri kreatif.
Orang ramai dijemput menikmati Citrawarna Speed Festival 2026 yang berlangsung dari 23 September hingga 4 Oktober 2026 di IOI City Mall Putrajaya, Terminal 1 KLIA dan Hotel Sama-Sama KLIA.
Jadual program penuh, pertandingan simulator dan kemas kini festival boleh didapati menerusi saluran media sosial rasmi Citrawarna Malaysia di Facebook dan Instagram.
Untuk maklumat lanjut mengenai Tourism Malaysia dan kempen Visit Malaysia 2026–2027, orang ramai boleh melayari www.tourism.gov.my serta mengikuti akaun media sosial rasmi Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok.




