Mulai 1 April 2026, kerajaan telah mengehadkan subsidi BUDI RON95 daripada 300L kepada 200L. Sebenarnya ramai yang ok je sebab memang tak pakai pun RON95 sampai 300L, tapi ada yang kerap travel dan 300L tu ‘cukup-cukup makan’ saja untuk sebulan. Hari ini, viral apabila terdapat butang ‘Permohonan Penambahan Kelayakan’ kuota subsidi ini di laman web rasmi BUDI95. Adakah benar kita boleh memohon tambahan subsidi 200L? Jom kami kongsikan info yang sebenarnya ok!

Had 200L Kekal, Tiada Permohonan Tambahan BUDI95
Dalam kenyataan terkini Kementerian Kewangan menegaskan bahawa permohonan rayuan tambahan kelayakan ini TIDAK DIBUKA kepada umum. Sebaliknya, ia ditawarkan pada bagi kes tertentu seperti pengendali bot dan pengusaha e-hailing pada awal pengenalan BUDI95.
Sila rujuk kenyataan media penuh di bawah:

Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa dakwaan mengenai permohonan umum bagi tambahan had subsidi BUDI MADANI RON95 adalah tidak benar dan tidak berasas.
Walaupun fungsi ini diwujudkan pada awal pelaksanaan BUDI95, ia bukan bertujuan untuk permohonan tambahan atas keperluan peribadi, sebaliknya bagi kes tertentu dengan keperluan operasi yang jelas dan disahkan, seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.
Fungsi permohonan tambahan dalam portal BUDI95 telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas. Susulan itu, butang permohonan ini telah dinyahfungsikan.

Had Kelayakan BUDI95 Kekal 200L Sebulan
Had kelayakan BUDI95 kekal sebanyak 200L sebulan bagi memastikan subsidi disasarkan kepada majoriti rakyat serta bekalan kekal stabil.
Langkah sementara ini diambil berikutan tekanan pasaran tenaga global yang berterusan, yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan lebih berhemah.
Dara menunjukkan had 200 liter mencukupi bagi 90% pengguna BUDI95. Pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh membeli RON95 sehingga RM398 sebulan, dengan Kerajaan menanggung sekitar EM500 subsidi bagi setiap penerima.
Butang Tambahan Kuota BUDI RON95 Telah Dinyahfungsi
Di media sosial, orang ramai telah berkongsi bahawa terdapat butang permohonan rayuan tambahan kelayakan di laman web rasmi BUDI95 https://www.budi95.gov.my/.



Bagi yang belum ada MyDigital ID, pastikan anda mendaftar dan log masuk menggunakan MyDigital ID. Rujuk caranya dalam manual pengguna di SINI : https://www.budi95.gov.my/assets/pdfs/Log%20Masuk%20MYID.pdf
Tentang BUDI95
BUDI MADANI RON95 (BUDI95) ialah inisiatif Kerajaan MADANI untuk menyasarkan subsidi petrol RON95. BUDI95 menangani ketirisan disebabkan penyeludupan dan subsidi yang diberi kepada bukan warganegara, dengan menaikkan harga runcit RON95 kepada tahap tanpa subsidi, yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia terus menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter dengan menggunakan MyKad. BUDI95 memanfaatkan rakyat melalui pengurangan harga RON95 kepada rakyat dan selain itu, penjimatan daripada menangani ketirisan akan diagihkan untuk program yang memanfaat rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Data Kerajaan turut menunjukkan bahawa purata penggunaan petrol oleh pemandu kenderaan persendirian adalah hanya sekitar 80 liter sebulan. Namun, Kerajaan menetapkan siling kelayakan yang lebih tinggi bagi mengambil kira julat dan taburan penggunaan mengikut individu.
Penetapan kelayakan ini juga penting untuk mengelakkan subsidi disalahguna oleh pihak yang tidak sepatutnya. Selama puluhan tahun, subsidi tanpa had telah menjadi sasaran penyeludupan ke negara jiran di mana harga minyak jauh lebih mahal. Begitu juga penggunaan berskala besar oleh syarikat komersial yang menikmati subsidi murah untuk keuntungan perniagaan.
Dengan mekanisme baharu, subsidi akan benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia, dan tidak lagi bocor keluar dari sistem. Sekiranya diperlukan, penyesuaian akan dibuat termasuk pertimbangan menambah kelayakan untuk kumpulan tertentu.




