Memilih dash cam kereta yang sesuai bukanlah sekadar membeli kamera dan tampal pada cermin depan, sebaliknya ia memerlukan pemahaman tentang beberapa ciri teknikal penting yang akan menentukan sama ada rakaman anda benar-benar berguna apabila diperlukan.
Ramai pemilik kereta membuat kesilapan dengan membeli unit paling murah atau mengikut saranan rakan tanpa menilai keperluan sebenar dan akhirnya mendapati rakaman kabur, unit rosak akibat cuaca panas atau tiada rakaman apabila berlaku insiden.
Dengan pelbagai pilihan dash cam yang tersedia, adalah penting untuk memilih satu yang sesuai dengan gaya hidup dan tabiat pemanduan anda.
Sama ada anda sekadar memandu ke tempat kerja, pemandu profesional, suka memandu perjalanan yang jauh atau pemandu, terdapat pelbagai jenis dash cam kereta yang sesuai untuk anda.
Kualiti Video dan Resolusi

Elemen paling asas dalam pemilihan dash cam kereta ialah kualiti rakaman.
Resolusi 1080p Full HD sudah memadai untuk keperluan harian, tetapi jika anda mahukan kejelasan video rakaman yang lebih tinggi untuk membaca nombor plat kenderaan pada jarak jauh, pertimbangkan model 2K atau 4K.
Namun, resolusi yang lebih tinggi bukanlah segala-galanya, kadar bingkai atau frame rate juga memainkan peranan penting terutamanya ketika memandu di lebuh raya.
Unit yang boleh merakam pada 60fps akan menghasilkan rakaman yang lebih lancar dan mengurangkan kabur ketika kenderaan bergerak laju berbanding 30fps yang mungkin menyebabkan nombor plat sukar dibaca.
Selain itu, prestasi dashcam ketika cahaya rendah adalah kritikal untuk pemanduan malam.
Cari model yang dilengkapi sensor berkualiti seperti Sony STARVIS atau ciri HDR yang membantu menyeimbangkan cahaya terang dan bayang gelap, supaya rakaman malam tetap jelas walaupun dalam keadaan pencahayaan yang mencabar.
Kapasitor vs Bateri

Salah satu keputusan penting dalam pembelian dash cam kereta di Malaysia ialah memilih antara unit yang menggunakan bateri litium atau kapasitor.
Cuaca panas dan lembap di negara ini boleh menyebabkan bateri litium cepat rosak, menggelembung, atau gagal berfungsi, yang seterusnya menyebabkan unit terpadam sendiri dan tidak merakam.
Kapasitor adalah pilihan yang lebih tahan lasak terhadap suhu tinggi dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang, menjadikannya lebih sesuai untuk iklim tropika.
Walaupun unit berasaskan kapasitor mungkin lebih mahal sedikit, pelaburan ini berbaloi untuk memastikan rakaman berterusan tanpa gangguan.
Jika anda memilih unit yang menggunakan bateri, pastikan ia mempunyai ciri perlindungan suhu dan elakkan meletakkannya di bawah cahaya matahari langsung untuk tempoh yang lama.
Fungsi “Parking Mode”

Parking mode adalah ciri yang membolehkan dash cam kereta merakam walaupun enjin dimatikan, memberikan perlindungan tambahan apabila kereta diletakkan di tempat awam.
Terdapat beberapa jenis parking mode, termasuk rakaman berterusan, rakaman apabila sensor mengesan pergerakan, dan rakaman buffered yang menyimpan beberapa saat rakaman sebelum hentaman berlaku.
Ciri buffered parking mode amat berguna kerana ia menangkap detik-detik sebelum insiden, bukan hanya selepas hentaman.
Walau bagaimanapun, untuk menggunakan parking mode, unit perlu disambungkan secara terus ke kotak fius kereta melalui hardwire kit yang mempunyai perlindungan voltan rendah.
Tanpa perlindungan ini, dash cam boleh menghabiskan kuasa bateri kereta anda dan menyebabkan kereta tidak boleh dihidupkan.
Jika anda sering memarkir kereta di kawasan yang berisiko, ciri ini adalah satu kelebihan yang wajar dipertimbangkan.
Artikel berkaitan: 10 Dash Cam Terbaik & Berkualiti Bawah RM100
Pemasangan Tanpa Membatalkan Waranti Kereta Baharu

Bagi pemilik kereta baharu, kebimbangan utama ialah sama ada pemasangan dash cam kereta akan membatalkan waranti.
Jawapannya bergantung kepada kaedah pemasangan yang digunakan.
Jangan sesekali memotong atau menyambung wayar asal kereta secara terus, kerana ini boleh menyebabkan litar pintas dan memberi pihak pusat servis alasan untuk membatalkan waranti.
Kaedah yang paling selamat ialah menggunakan fuse tap atau add-a-circuit, yang membolehkan anda menyambung ke kotak fius sedia ada tanpa mengubah wayar asal.
Anda juga boleh menggunakan kabel yang disambungkan ke port OBD, yang bersifat plug-and-play dan tidak memerlukan sentuhan pada wayar kereta.
Jika anda tidak pasti, dapatkan perkhidmatan pemasangan profesional daripada bengkel yang berpengalaman untuk memastikan pemasangan kemas dan selamat.
Ciri Tambahan: Wi-Fi, GPS dan Sokongan Aplikasi

Ciri sambungan seperti Wi-Fi dan GPS menambah nilai kepada pengalaman menggunakan dash cam kereta.
Wi-Fi membolehkan anda memindahkan rakaman ke telefon pintar dengan mudah tanpa perlu mengeluarkan kad memori, manakala GPS merekodkan lokasi dan kelajuan kenderaan dalam rakaman, yang boleh menjadi bukti berguna dalam tuntutan insurans.
Sesetengah model juga menawarkan aplikasi telefon yang membolehkan anda melihat rakaman secara langsung, menukar tetapan, dan mengemas kini perisian.
Walau bagaimanapun, pastikan aplikasi tersebut berfungsi dengan baik dan mudah digunakan, kerana antara muka yang rumit boleh membuatkan anda enggan menggunakannya.
Ciri lain seperti rakaman dua kamera (depan dan belakang) juga patut dipertimbangkan jika anda mahukan perlindungan yang lebih menyeluruh, terutamanya untuk mengelakkan insiden seperti langgar dari belakang .




