Advertisements

Rider P-Hailing Bakal Disyaratkan Miliki Lesen GDL

Advertisements


Penunggang Perkhidmatan P-Hailing (perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal) seperti Foodpanda dan GrabFood bakal disyaratkan untuk memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) selepas pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan diluluskan.

Tujuan pensyaratan tersebut adalah bagi memastikan perkhidmatan berkenaan diselia dengan baik.

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang syarat memiliki GDL bagi penunggang p-hailing.

Penunggang P-Hailing Bakal Disyaratkan Miliki Lesen GDL

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 menetapkan had usia penunggang perkhidmatan penghantaran makanan daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lalu bersetuju supaya Kementerian Pengangkutan dan agensinya iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Negeri Sarawak untuk turut mengawal selia perkhidmatan kenderaan barangan yang disediakan oleh perniagaan penghantaran, terutamanya yang menggunakan motosikal (perkhidmatan p-hailing).

Advertisements

“Pindaan had usia ini akan membolehkan Keluarga Malaysia bekerja sebagai seorang penunggang motosikal p-hailing apabila mempunyai Lesen Memandu Kompeten dalam kelas motosikal dan seterusnya mendapatkan GDL bagi tujuan itu.

“Ketetapan ini seterusnya akan membuka peluang kepada lebih ramai menyertai sektor ekonomi gig untuk menjana pendapatan menerusi perkhidmatan p-hailing dan platform perkhidmatan penghantaran lain.

Bantuan Voucher Shopee Sehingga RM500 Untuk Pembaca eCentral Daftar Sekarang!

“Ketiga-tiga pindaan akta terbabit akan dibentangkan untuk perbahasan dan kelulusan Parlimen pada dalam sesi akan datang,” katanya selepas sesi dialog bersama penunggang p-hailing, pada 8 Ogos 2022.

Ka Siong berkata, penurunan had usia itu dibuat selepas melihat demografi di Malaysia, selain penghantaran makanan kini menjadi punca rezeki yang penting, termasuk remaja yang sudah tidak lagi bersekolah pada usia 18 tahun.

Beliau berkata, ada sesetengah pihak termasuk penunggang p-hailing meminta tidak diwajibkan mengambil GDL, namun ia bagi memastikan semua penawar perkhidmatan berkenaan menghadiri kursus.

Katanya, ini juga bagi mengekang pihak yang tidak mempunyai lesen daripada beroperasi tanpa memahami peraturan dan pematuhan undang-undang yang mengawal selia perkhidmatan berkenaan.

Berikut adalah kenyataan media rasmi oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong : https://fb.watch/eMz2ebL8aV/

PINDAAN AKTA PENGANGKUTAN JALAN DEMI MELINDUNGI KEBAJIKAN DAN KEPENTINGAN PENUNGGANG P-HAILING

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan akan melakukan yang terbaik dalam melindungi kebajikan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia khususnya melibatkan industri pengangkutan dan logistik termasuk mereka dalam sektor ekonomi gig yang semakin berkembang di Malaysia.

Justeru, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2022 telah bersetuju supaya Kerajaan melalui MOT dan agensi-agensi di bawahnya iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak untuk turut mengawalselia perkhidmatan kenderaan barangan yang disediakan oleh suatu perniagaan penghantaran, terutamanya yang menggunakan motosikal (perkhidmatan p-hailing).

Selain bagi memastikan sektor perkhidmatan ini berdaya saing dan kompetitif untuk tempoh masa panjang, pengawalseliaan juga bertujuan menjaga kebajikan penunggang atau pemandu kenderaan yang terlibat.

Antara lain, syarat-syarat pengawalseliaan seperti keperluan mempunyai perlindungan insurans (bagi penunggang/pemandu), kawalan kepada tahap pengoperasian, syarat pelesenan, kawalan tahap keselamatan kenderaan dan kawalan kompetensi penunggang/pemandu akan ditetapkan.

Bagi tujuan pengawalseliaan dan penetapan peraturan terlibat, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya pindaan dilaksanakan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].

Pindaan ini juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan. Hari ini, saya turut mengadakan sesi dialog bersama Persatuan Penghantar P-Haling Malaysia (PENGHANTAR), penunggang p-hailing daripada pelbagai syarikat dan juga wakil vendor, Malaysia Food Delivery Association.

Beberapa wakil pergerakan Gabungan e-hailing Malaysia iaitu Persatuan Kebajikan Pekerja Industri e-hailing Malaysia; Grab Drivers Malaysia Association; Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotorsikal Perak (PKPPBP); Koperasi Jurupandu Teksiku Berhad; Indian e-hailing Drivers Malaysia; Asean Youth Leadership Forum; pemandu e-hailing termasuk di kalangan wanita turut bersama dalam sesi dialog ini.

Sebagaimana kenyataan media saya bertarikh 19 Jun 2022 yang lalu, pindaan yang dicadangkan antara lain bertujuan mewujudkan punca kuasa bagi mengawalselia dan menetapkan peraturan pelesenan bagi perkhidmatan berkenaan di bawah Akta 334 dan Akta 715 serta memastikan terdapatnya perlindungan insurans kepada penunggang/pemandu yang terlibat.

Selain itu, pindaan juga akan meminda had umur penunggang p-hailing (motosikal penghantaran barangan) kepada tidak kurang dari 18 tahun (berbanding 21 tahun) bagi mendapatkan suatu Lesen Vokasional.

Pindaan had umur ini akan membolehkan Keluarga Malaysia bekerja sebagai seorang penunggang motosikal p-hailing apabila telah mempunyai Lesen Memandu Kompeten dalam kelas motosikal dan seterusnya mendapatkan Lesen Vokasional bagi tujuan tersebut.

Ketetapan ini seterusnya akan membuka peluang kepada lebih ramai menyertai sektor ekonomi gig untuk menjana pendapatan menerusi perkhidmatan p-hailing dan lain-lain platform perkhidmatan penghantaran.

Ketiga-tiga Rang Undang-Undang bagi meminda akta terbabit akan dibentangkan untuk perbahasan dan kelulusan Parlimen di dalam sesi akan datang.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
8 OGOS 2022

Sumber: Wee Ka Siong

Baca juga:

Leave a Comment