Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, ramai yang mudah menghidap demam tidak kiralah yang muda atau tua.
Ketika tubuh bertindak balas untuk melawan penyakit, adalah penting untuk anda mengambil makanan berkhasiat bagi mengelakkan dehidrasi, memulihkan tenaga dan mempercepat proses penyembuhan.
Selain bergantung kepada ubat demam, sebenarnya terdapat beberapa makanan yang boleh diambil untuk membantu anda cepat sembuh ketika demam.
Ayuh kita semak bersama-sama.
Makanan Untuk Orang Demam
1. Sup Ayam
Sup ayam merupakan salah satu makanan untuk orang demam yang mudah untuk dihasilkan. Walaupun ringkas, namun kehangatan sup boleh meredakan selsema dan hidung tersumbat.
Lebih penting lagi, ia merupakan sumber elektrolit yang baik untuk membantu pesakit yang mungkin mengalami dehidrasi akibat demam, berpeluh dan muntah.
Pada masa yang sama, ia turut mengandungi asid amino cysteine yang penting untuk mencairkan mukus dan mampu bertindak sebagai antioksida, antivirus dan antiradang.
2. Pisang
Ketika anda hilang selera makan dan mahukan tenaga segera semasa demam, anda boleh makan buah pisang.
Pisang yang kaya dengan khasiat kalium juga dapat membantu mengembalikan elektrolit yang hilang di dalam tubuh ketika tidak sihat.
Bertekstur lembut dan kaya dengan serat, pisang juga tidak mengganggu perut dan sesuai dimakan pada bila-bila masa sahaja.
3. Halia
Terkenal sebagai ramuan masakan dan herba untuk rawatan dari rumah, halia merupakan satu lagi makanan untuk orang demam yang wajib diambil.
Ia merupakan herba terbaik untuk ketika anda sedang rasa mual. Cara paling mudah untuk amalkannya ialah dengan minum rebusan halia atau masukkan herba ini ke dalam masakan.
4. Madu
Madu merupakan salah satu bahan semulajadi yang mempunyai pelbagai khasiat untuk tubuh. Ia juga dikatakan dapat membantu menguatkan sistem pertahanan tubuh.
Pada masa yang sama, madu turut memiliki sifat antimikrob yang membantu mencegah jangkitan pada kerongkong.
5. Bawang Putih
Bawang putih telah digunakan sebagai ramuan tradisional bagi merawat penyakit sejak dahulu lagi.
Beberapa kajian terhadap haiwan juga telah menunjukkan potensi bawang putih sebagai ejen antibakteria, antivirus dan antikulat.
Satu kajian turut membuktikan bahawa pengambilan suplemen ekstrak bawang putih dapat menguatkan sistem imuniti serta mengurangkan gejala flu.
6. Yogurt
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan produk probiotik seperti yogurt dapat membantu kanak-kanak dan dewasa untuk cepat sembuh ketika sakit dan terlindung daripada selsema.
Anda juga boleh tambahkan buah-buahan beri seperti strawberi dan beri biru yang kaya dengan vitamin C bagi menguatkan lagi sistem pertahanan tubuh.
Walau bagaimanapun, sesetengah orang mungkin dapati pengambilan produk tenusu ketika selsema boleh melikatkan lagi mukus pada tekak dan rongga hidung.
Dalam kes ini, anda perlulah gunakan sumber alternatif seperti suplemen probiotik atau kombucha.
7. Sayuran Berdaun Hijau
Sayur berdaun hijau seperti bayam, sawi dan salad padat dengan serat, vitamin dan mineral.
Ia juga mengandungi khasiat antioksida penting iaitu polifenol bagi mencegah kerosakan sel serta keradangan tubuh.
Jadi, jangan lupa untuk lebihkan sayur-sayuran ketika demam.
Tips Pemakanan Ketika Sakit
Selain mengambil makanan untuk orang demam seperti yang disenaraikan, anda digalakkan untuk patuhi tips berikut agar cepat sembuh :
- Banyakkan minum air kosong
- Elakkan minuman berkafein, makanan berminyak dan pedas kerana ia boleh mengganggu perut
- Minum air kelapa untuk hidratkan tubuh dengan pantas
- Anda juga boleh minum teh herba untuk legakan flu dan merangsang sistem imuniti
- Elakkan makanan dan minuman tinggi kandungan gula kerana ia boleh melemahkan sistem imun dan hanya memberi tenaga sementara.
Dengan memilih makanan yang betul, anda bukan sahaja dapat membantu mempercepat proses penyembuhan, malah dapat mengurangkan gejala dehidrasi dan mengembalikan tenaga.
Walau bagaimanapun, sekiranya demam masih berlarutan selama lebih 3 hari beserta dengan gejala serius, dapatkan rawatan daripada doktor dengan kadar segera.
Sumber : Healthline, Medical News Today, Public Health Malaysia
Baca Juga : Khasiat Madu Untuk Kesihatan Dalaman dan Luaran