DOA MENYAMBUT RAMADAN & DOA SETELAH MELIHAT ANAK BULAN RAMADAN
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja iaitu Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad akan mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bulan Ramadhan bagi tahun 2025 bersamaan 1446 Hijrah di Malaysia melalui radio dan televisyen.
Dalam pada itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa bulan Ramadhan adalah berdasarkan hilal rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).
Doa Menyambut Bulan Ramadan
Para salafussoleh menyambut kehadiran Ramadhan dengan penuh kegembiraan dan banyak berdoa kepada Allah.
Mereka berdoa supaya direzekikan bertemu Ramadhan dan diberikan keberkatan, keimanan, keselamatan untuk menempuhi Ramadhan dengan ibadah-ibadah yang diterima.
Antara doa yang diriwayatkan adalah doa ini.
DOA MENYAMBUT BULAN RAMADAN
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
[Allahumma sallimni li ramadhan, wasallim ramadhana li, watasallamhu minni mutaqabbala.]
Maksudnya : Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).
[Diriwayatkan oleh Imam Tabrani dalam Kitab al-Du’a (913)]

DOA APABILA MELIHAT ANAK BULAN RAMADAN
Rasulullah SAW telah mengajarkan doa untuk dibaca apabila melihat anak bulan Ramadan:
اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ
Allahumma ahillahu ‘alaina bil yumni wal iman was salamati wal Islam rabbi warrabbukallah
Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”

Perbanyakkan berdoa dan memohon keampunan agar kita diberikan sebanyak-banyak kesempatan untuk melaksanakan amalan soleh. In sha Allah.
Semoga Ramadan pada kali ini akan menatijahkan taqwa dalam hati sanubari kita sehingga mendapat ‘mardhatillah’ yang akhirnya melayakkan kita menjadi hamba yang rabbani. Ingatlah sabda Nabi SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. [Riwayat Al-Bukhari (38)]
DOA DI AMBANG RAMADAN
3 doa yang diamalkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib (كرم الله وجهه) menjelang Ramadan :
- Ya Allah, berikanlah kepadaku kesihatan dalam tubuh badan ini daripada sebarang penyakit. Aameen.
- Ya Allah, berikan kepadaku kelapangan daripada kesibukan. Aameen.
- Ya Allah, berikanlah bagiku cukup dengan sedikitnya tidur. Aameen.
Marilah kita sama-sama bergembira dengan ketibaan Ramadan.

BACA LAGI : SENARAI 30+ DOA & ZIKIR YANG BOLEH KITA AMALKAN SEMPENA BULAN RAMADAN 2025
Adab Berdoa
Imam al-Nawawi ketika menyebut tentang adab-adab berdoa, beliau menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali:
- Mencari waktu mustajab berdoa seperti pada hari Arafah, bulan Ramadan, hari Jumaat, sepertiga malam dan waktu sahur.
- Mencari keadaan mustajab seperti ketika sujud, berperang, hujan turun, iqamat solat. Imam al-Nawawi kemudiannya menambah, ketika hati sedang lembut.
- Menghadap kiblat dan mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa.
- Tunduk, takut dan khusyuk.
- Memohon dengan bersungguh-sungguh serta meyakini bahawa doa tersebut akan dimakbulkan.
- Mengulangi permintaan berkali-kali
- Memulakan doa dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
- Sentiasa bertaubat dan mengembalikan hak orang lain yang diambil tanpa izin.
Diterbitkan oleh:
BAHAGIAN DAKWAH, JABATAN AGAMA ISLAM MELAKA

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS – Ramadan Bulan Ibadah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila bulan Ramadan tiba, maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (HR Muslim No: 1793) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
Apabila Ramadan menjelang, Rasulullah SAW mengingatkan para sahabat agar bersedia dengan kedatangan bulan Ibadah:
1. Ramadan adalah bulan istimewa yang dianugerahkan kepada umat Islam. Selain diwajibkan ibadah puasa juga dianugerahkan pelbagai ganjaran yang besar.
2. Ramadan adalah bulan Syiam (berpuasa di siang hari) dan Qiam (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah al-Quran, zikir dan doa).
3. Bulan Ramadan adalah waktu yang penuh rahmat, keberkatan, dan kesempatan yang luar biasa untuk mendekatkan diri kepada Allah. Pintu syurga dibuka seluasnya, dan Allah memberi peluang kepada umat Islam untuk meningkatkan amalan mereka. Masa yang sangat istimewa, dan setiap Muslim harus memanfaatkan kesempatan ini sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan ibadah dan amal soleh. Menyediakan diri dengan rahmah Allah untuk masuk ke syurga.
4. Pintu neraka ditutup di bulan Ramadan. Ertinya, dengan kehadiran bulan Ramadan, kita dianjurkan untuk memperbanyak amal kebaikan maka dengan sendirinya perbuatan yang tidak baik (maksiat) dihindarkan. Malah peluang untuk mendapatkan pengampunan Allah melalui taubat, memohon ampun atas dosa-dosa yang lalu, dan berusaha memperbaiki diri. Dengan demikian, maka tidak ada lagi kesempatan untuk bermaksiat, dengan itu tertutuplah pintu-pintu neraka.
5. Bulan Ramadan dipermudahkan kepada umat Islam melaksanakan ibadah kerana syaitan telah dirantai atau dibatasi pergerakkannya untuk mengganggu atau menggoda. Peluang untuk lebih mudah menghindari dosa dan godaan. Tanpa gangguan syaitan, kita lebih mudah untuk meningkatkan ibadah dan menjaga diri dari perbuatan buruk.
Sumber: Kempen Semak Hadis Sebelum Sebar
Jadual Waktu Berbuka Puasa & Imsak Seluruh Malaysia 2025 / 1446H