Perayaan Tahun Baru

Perayaan Tahun Baru merupakan permulaan bagi kalendar Gregorian yang digunakan secara meluas di seluruh dunia dan ia adalah cuti umum bagi semua negeri di Malaysia kecuali Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Kebiasaannya malam tahun baru akan disambut dengan bunga api berwarna-warni, pesta hiburan, acara kebudayaan atau konsert dan majlis besar-besaran yang dihadiri oleh ribuan penduduk serta pelancong luar negara.

Sebagai sebuah negara Islam, sambutan Tahun Baru atau Malam Ambang Tahun Baru di Malaysia juga seringkali diisi dengan pelbagai program keagamaan yang menekankan pengisian berbentuk Islamik serta diiringi dengan selawat, zikir, doa selamat dan kesyukuran yang melibatkan ramai pendakwah serta masyarakat setempat.

Sambutan tahun baru ini lazimnya diadakan di bandar-bandar besar seperti di Dataran Merdeka, pusat komersial dan kompleks membeli-belah.

Namun dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih belum reda pada tahun 2020, kemungkinan sambutan Tahun Baru 2021 akan disambut secara sederhana di rumah masing-masing sahaja.