Tarikh Cuti Nuzul Al-Quran 2024 Di Malaysia – Cuti Umum Di 10 Negeri / Wilayah
Hari Nuzul Al-Quran merupakan hari dimana seluruh Umat Islam memperingati peristiwa di mana Allah telah menurunkan ayat pertama Al-Quran kepada Junjungan besar kita Nabi Muhammad.
Penurunan Al-Quran ini merupakan proses yang berterusan dan secara berperingkat peringkat selama 23 tahun sehingga menjadi sebuah kitab Al-Quran yang lengkap.
Peristiwa Nuzul Al-Quran ini berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadhan, berdasarkan pandangan sesetengah ahli sejarah Islam.
Ketika berlakunya peristiwa agung ini, junjungan besar kita Nabi Muhammad berusia 41 tahun dan sedang beribadat di dalam Gua Hira.
Pengertian Hari Nuzul Al-Quran
Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi.
Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’.
Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir.
Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.
Ayat Al-Quran Pertama Yang Diturunkan
Ayat al-Quran pertama yang diturunkan oleh Allah SWT melalui utusan malaikat Jibrail adalah 5 ayat daripada surah al-‘Alaq yang bermaksud;
“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan Nama Tuhan-mu, yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah Dengan Nama Tuhan-mu, Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”, (al-‘Alaq: 1-5).
Tujuan Al-Quran Diturunkan
Sebagai mana yang dimaklumi, al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah kepada seluruh umat manusia.
Menurut Laman Web Rasmi Wilayah Persekutuan, al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan.
Antaranya:
- Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.
- Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.
- Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.
- Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.
- Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.
- Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan kerjasama.
Di Malaysia, Hari Nuzul Al-Quran lazimnya disambut dengan pelbagai pengisian keagamaan seperti tadarus, majlis khatam, qiamullail dan berbuka puasa memandangkan ia jatuh pada bulan Ramadan.
Tarikh Hari Nuzul Quran 2024 Di Malaysia & Cuti Umum
Hari Nuzul Al-Quran akan disambut pada 28 Mac 2024 (Khamis) dan ia merupakan cuti umum bagi negeri-negeri berikut:
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
- Wilayah Persekutuan Labuan
- Wilayah Persekutuan Putrajaya
- Kelantan
- Terengganu
- Pahang
- Perak
- Perlis
- Pulau Pinang
- Selangor
(*Negeri yang TIDAK BERCUTI sempena Nuzul Quran: Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak)