Cara Mohon Cuti Tanpa Rekod Kelompok (CTRK) Untuk Raya Haji Ke-2

Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Tahukah anda? Selepas pelaksanaan SSPA, Pegawai Awam kini boleh menikmati kemudahan Cuti Tanpa Rekod Kelompok (CTRK) yang diperuntukkan oleh Kerajaan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan semasa yang berkuat kuasa.

Kemudahan ini membolehkan pegawai awam menyertai aktiviti rasmi jabatan, kursus, atau program kebajikan tanpa menjejaskan cuti tahunan.

Jom kami kongsikan lebih lanjut untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarat-syarat dan tatacara permohonan.

Ringkasan Cuti Tanpa Rekod Kelompok (CTR Kelompok)

  • Berkuat kuasa 1 Disember 2024 dengan pelaksanaan SSPA
  • Maksimum 20 hari setahun kalendar
  • Pegawai boleh mengambil mana-mana jenis CTR Kelompok mengikut syarat yang ditetapkan
  • Bilangan hari CTR fleksibel mengikut keperluan
  • Tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan
Sumber infografik : Jabatan Perpaduan Pulau Pinang

Pengenalan CTR Kelompok

Kerajaan melalui Perintah Am 40 hingga 47 Bab C (Cuti) Tahun 1974, Pekeliling Perkhidmatan/ Surat Pekeliling Perkhidmatan dan Surat Edaran serta Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM), Pekeliling Induk SR.5 telah memperuntukkan kemudahan cuti termasuk Cuti Tanpa Rekod (CTR) kepada pegawai atas urusan tertentu yang menepati syarat pemberian CTR dan tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan.

Melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 – Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik peraturan CTR agar lebih fleksibel dalam memenuhi keperluan pegawai supaya kalis masa hadapan dan menerapkan prinsip let managers manage kepada Ketua Jabatan dalam pemberian CTR.

Oleh itu, kemudahan CTR distruktur semula seperti berikut:
(i) Pewujudan CTR Kelompok; dan
(ii) 13 CTR sedia ada dikekalkan.

Sumber: Portal Rasmi Jabatan Audit Negara

Cuti Tanpa Rekod Kelompok Untuk Hari Raya Haji Kedua

Cuti Tanpa Rekod (CTR) Kelompok untuk Hari Raya Haji Kedua adalah kemudahan satu (1) hari cuti yang diberikan kepada pegawai Perkhidmatan Awam beragama Islam di negeri-negeri di mana hari tersebut bukan merupakan Hari Kelepasan Am.

Senarai Cuti Tanpa Rekod Kelompok

CTR Kelompok merupakan gabungan 13 CTR sedia ada dengan tujuh (7) CTR baharu. Bilangan hari CTR Kelompok adalah maksimum 20 hari setahun kalendar.

Senarai CTR Kelompok (Fleksibel)

  1. Isteri Bersalin
  2. Urusan Kematian Ahli Keluarga Terdekat
  3. Menjaga Ahli Keluarga Sakit*
  4. Umrah
  5. Keagamaan
    • *Bilangan hari fleksibel mengikut syarat khusus

Senarai CTR Kelompok (Tetap)

  1. Mengambil Peperiksaan
  2. Hadir Mahkamah Luar Ibu Pejabat
  3. Menghadiri Aktiviti Koperasi
  4. Lawatan Kebudayaan Di Luar Negeri
  5. Pertandingan Musabaqah Al-Quran
  6. Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
  7. Aktiviti Khidmat Masyarakat
  8. Sumbangan Ilmu Peringkat Antarabangsa*
  9. Program Pertukaran Peringkat Antarabangsa*
  10. Menghadiri mesyuarat/bengkel/seminar anjuran Pihak Pekerja MBK*
  11. Hari Mengundi*
  12. Rawatan Hemodialisis*
  13. Perayaan* (Good Friday, Deepavali, Christmas Eve, Hari Raya Haji Kedua dan Thaipusam*)
    • *Bilangan hari ditetapkan mengikut syarat khusus

Bila Boleh Ambil CTRK?

Penggunaannya adalah fleksibel mengikut keperluan pegawai tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan. Pegawai boleh mengambil mana-mana CTR mengikut syarat ditetapkan dan mengatur bilangan hari CTR yang diambil mengikut keperluan seperti Jadual 1.

Syarat CTR Kelompok

Syarat umum pemberian CTR Kelompok adalah seperti berikut:

  • a) bilangan hari CTR Kelompok adalah maksimum 20 hari satu (1) tahun kalendar tertakluk kepada syarat khusus di Lampiran SR.5.7.1(A);
  • b) pegawai layak memohon CTR tertakluk kepada baki CTR Kelompok;
  • c) tempoh cuti termasuk Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am;
  • d) sekiranya pegawai memerlukan tempoh melebihi maksimum 20 hari atas sebab-sebab tertentu, maka pegawai boleh memohon untuk menggunakan kemudahan Cuti Rehat, Cuti Rehat Khas atau cuti-cuti lain yang berkelayakan; dan
  • e) kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada pertimbangan Ketua Jabatan.

Ketua Jabatan hendaklah mengambil kira keperluan dan kepentingan perkhidmatan dalam mempertimbangkan/ meluluskan permohonan kemudahan ini. Ketua Jabatan boleh memanggil balik pegawai jika ketiadaan pegawai di tempat kerja boleh memudaratkan keselamatan negara atau kepentingan awam.

Syarat Khusus CTRK Untuk Perayaan (Good Friday, Deepavali, Christmas Eve, Hari Raya Haji Kedua dan Thaipusam)

Perayaan di bawah kemudahan CTR Kelompok ini adalah seperti berikut:

  • Good Friday;
  • Deepavali;
  • Christmas Eve;
  • Hari Raya Haji Kedua; dan
  • Thaipusam.

Bilangan hari: satu (1) hari dalam satu (1) tahun kalendar bagi setiap perayaan.

Sumber: Lampiran SR.5.7.1(A) SYARAT KHUSUS DAN TEMPOH CTR KELOMPOK

Contoh Kelayakan / Simulasi CTRK

SITUASI 1

Encik Khairul merupakan pegawai yang berkhidmat di Jabatan A. Beliau telah diluluskan Cuti Isteri Bersalin selama lapan (8) hari mulai 6 hingga 13 Februari 2025. Pada Jun 2025, beliau telah diluluskan Cuti Umrah selama 11 hari mulai 2 hingga 12 Jun 2025. Pada bulan September 2025, Encik Khairul memohon untuk menggunakan CTR Bagi Urusan Kematian Ahli Keluarga Terdekat selama lima (5) hari.

Oleh kerana Encik Khairul telah menggunakan 19 hari CTR Kelompok, maka Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan satu (1) hari CTR Bagi Urusan Kematian Ahli Keluarga Terdekat kepada Encik Khairul. Bagi tempoh empat (4) hari lagi yang dimohon tersebut, En. Khairul perlu menggunakan Cuti Rehat/ Cuti Rehat Khas/ Cuti Tanpa Gaji yang berkelayakan.

SITUASI 2

Encik Rayyan bertugas sebagai pegawai kewangan di Jabatan M. Beliau telah diluluskan CTR Isteri Bersalin sebanyak lima (5) hari dan CTR Program Pertukaran Peringkat Antarabangsa sebanyak 10 hari. Beliau juga ingin memohon CTR Menjaga Ahli Keluarga Sakit sebanyak lima (5) hari.

Ketua Jabatan boleh meluluskan permohonan CTR tersebut kerana beliau masih mempunyai baki CTR Kelompok sebanyak lima (5) hari.

SITUASI 3

Encik Hasan merupakan pegawai tadbir yang berkhidmat di Selangor dan beliau ingin memohon CTR untuk menyambut Hari Raya Aidiladha Hari Kedua memandangkan Hari Raya Aidiladha hari kedua bukan merupakan Hari Kelepasan Am di Selangor.

Encik Hasan boleh diberikan CTR Kelompok Hari Raya Haji Kedua selama satu (1) hari tertakluk kepada baki CTR Kelompok dan pertimbangan Ketua Jabatan.

SITUASI 4

Encik Rajesh merupakan pegawai Perkhidmatan Awam yang menganut agama Hindu dan berkhidmat di Melaka. Beliau ingin memohon CTR selama satu (1) hari bagi menyambut perayaan Thaipusam memandangkan Thaipusam bukan merupakan Hari Kelepasan Am di Melaka. Walau bagaimanapun beliau telah menggunakan semua kadar CTR Kelompok sebanyak 20 hari untuk menjaga anak yang sakit.

Beliau tidak layak diberi CTR untuk menyambut Hari Thaipusam. Dalam hal ini, beliau boleh menggunakan Cuti Rehat atau Cuti Tanpa Gaji sekiranya ingin bercuti bagi menyambut perayaan tersebut.

SITUASI 5

Puan Vivian merupakan pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang bertugas di Sabah dan menganut agama Kristian. Bagi menyambut perayaan Krismas, beliau ingin memohon CTR selama satu (1) hari untuk Christmas Eve.

Memandangkan Christmas Eve merupakan Hari Kelepasan Am di Sabah, maka peruntukan CTR Kelompok Christmas Eve tidak terpakai buat Puan Vivian.

Sumber : SIMULASI CTR KELOMPOK, Lampiran SR.5.7.1(B)

Cara Mohon CTR Kelompok

Untuk memohon cuti ini, pegawai awam boleh mengisi borang CTR dalam HRMIS.

Permohonan biasanya dilakukan secara atas talian atau melalui borang manual mengikut ketetapan jabatan masing-masing:

Sistem HRMIS / Sistem Cuti Jabatan:

  1. Log masuk ke sistem pengurusan cuti HRMIS atau portal jabatan anda.
  2. Pilih menu Permohonan Cuti Tanpa Rekod.
  3. Pilih jenis cuti: CTR Kelompok.
  4. Pilih kategori: Perayaan (Hari Raya Haji Kedua).
  5. Masukkan tarikh yang berkaitan.
Sumber: Change Management HRMIS JPA

Permohonan Manual (Jika Perlu):

  1. Lengkapkan Borang Permohonan Cuti Tanpa Rekod Berkelompok (Lampiran SR.5.7.1(C)).
  2. Sertakan dokumen sokongan jika diminta oleh Ketua Jabatan.
  3. Hantar borang kepada penyokong dan pelulus di unit pentadbiran/sumber manusia jabatan anda.

Kelulusan: Kelulusan akhir adalah tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara Ketua Jabatan. 

Kesimpulan / Lampiran

Kesimpulannya, CTRK ialah:

  • Kelayakan CTRK adalah 20 hari setahun. Jika tidak guna akan ‘burn’. Tidak boleh dibawa ke tahun hadapan.
  • CTRK ada 18 jenis cuti berkongsi kelayakan yang sama. Jadi, kalau dah takde kelayakan, tak boleh guna CTRK dah untuk mana-mana cuti dalam senarai di atas tadi.
  • Cuti untuk jaga anak kuarantin, BUKAN guna CTRK. Itu guna CMAKP (Cuti Menjaga Anak Kuarantin Atau Memerlukan Pengasingan).
  • Cuti untuk jaga keluarga sakit selain sakit berjangkit, boleh guna CTRK. Tertakluk pada perakuan doktor dan kelulusan Ketua Jabatan.
  • Umrah telah dimasukkan dalam CTRK. Boleh ambil maksimum 20 hari asalkan tempoh umrah termasuk dalam tempoh cuti. Tapi, syaratnya masih SEKALI dalam perkhidmatan sahaja.
  • Cuti Isteri Bersalin sudah tidak gunapakai 7 hari. Boleh ambik 20 hari terus kalau bos bagi
  • Cuti keluarga meninggal sudah tidak gunapakai 3 hari. Ambik la sebanyak mana masa yang diperlukan mengikut baki kelayakan CTRK, asalkan diluluskan.
  • Kalau ada interview untuk kerja lain, yang boleh menambahbaik nilai hidup, boleh guna Cuti Peperiksaan. Dulu untuk periksa je, skang boleh guna untuk interview. Online atau semuka dua2 boleh. Asalkan diluluskan KJ
  • Christmas Eve kena mohon sehari sebelum Krismas. Hari Raya Haji untuk hari raya haji kedua.
  • Untuk kes Hari Deepaveli, kalau negeri tu tak ambil deepavali sebagai cuti umum, pegawai boleh mohon CTRK deepavali pada hari kejadian. Kalau negeri tu ambil Deepavali sebagai cuti umum, pegawai boleh mohon sehari sebelum atau sehari selepas sebagai tambahan.
  • Pegawai COS juga layak CTRK ni, termasuk LKI.
  • Ketua Jabatan boleh untuk tidak meluluskan permohonan walaupun ada kelayakan.
  • Kemudahan yang ada hendaklah digunakan dengan bijaksana dan telus. Jangan salahguna, jangan manipulate keadaan, jangan menganiaya orang.
  • CTRK adalah cuti bergaji penuh, tidak memberi kesan pada perkhidmatan dan pencen KECUALI kalau diambil melebihi kelayakan dan tanpa kelulusan/kebenaran.

Sumber : Nota ringkas oleh Keknie Sha, rujuk pekeliling asal MyPPSM Ceraian SR5.7.1 untuk nota penuh dan lengkap (lampiran boleh dimuat turun di SINI)

Video Penerangan Tentang CTRK

@jkptg

𝐂𝐮𝐭𝐢 𝐓𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐑𝐞𝐤𝐨𝐝 (𝐂𝐓𝐑) 𝐝𝐚𝐧 𝐂𝐓𝐑 𝐁𝐞𝐫𝐤𝐞𝐥𝐨𝐦𝐩𝐨𝐤 “JKPTG Bersatu Hati” #podcast #BualBicara#JKPTG #podcastjkptg #podcasttanah

♬ original sound – JKPTG – JKPTG
Sumber: Tiktok rasmi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) @jkptg

Soalan Lazim Cuti Tanpa Rekod Kelompok

Apakah Cuti Tanpa Rekod Kelompok?

Cuti Tanpa Rekod (CTR) Kelompok ialah kemudahan cuti khas bagi penjawat awam Malaysia untuk tujuan tertentu — seperti menjaga keluarga sakit, kematian ahli keluarga, perayaan seperti Hari Raya Haji Kedua, Thaipusam, atau urusan keagamaan — tanpa menolak cuti tahunan. Ia dikawal selia bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) SR.5.7.1, dengan kelulusan Ketua Jabatan tertakluk kepada syarat khusus.

Apakah jenis CTR Kelompok yang boleh dimohon?

Senarai CTR Kelompok
Isteri Bersalin
Urusan Kematian Ahli Keluarga Terdekat
Menjaga Ahli Keluarga Sakit*
Umrah
Keagamaan
Mengambil Peperiksaan
Hadir Mahkamah Luar Ibu Pejabat
Menghadiri Aktiviti Koperasi
Lawatan Kebudayaan Di Luar Negeri
Pertandingan Musabaqah Al-Quran
Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
Aktiviti Khidmat Masyarakat
Sumbangan Ilmu Peringkat Antarabangsa*
Program Pertukaran Peringkat Antarabangsa*
Menghadiri mesyuarat/bengkel/seminar anjuran Pihak Pekerja MBK*
Hari Mengundi*
Rawatan Hemodialisis*
Perayaan* (Good Friday, Deepavali, Christmas Eve*, Hari Raya Haji Kedua* dan Thaipusam*)

Encik William yang bertugas di Putrajaya merupakan pegawai Perkhidmatan Awam yang menganut agama Kristian. Beliau telah diluluskan CTR Kelompok Good Friday selama satu (1) hari pada Mac 2025 dan baki CTR Kelompok beliau ialah sebanyak 19 hari. Pada Disember tahun yang sama, beliau ingin memohon CTR Christmas Eve selama satu (1) hari.

Dalam hal ini, Encik William berkelayakan memohon CTR Kelompok Christmas Eve disebabkan beliau menganut agama Kristian dan bertugas di Putrajaya di mana Christmas Eve bukan Hari Kelepasan Am.

Puan Ara bertugas di Selangor sebagai pegawai penyelidik di Jabatan X. Beliau telah disapina untuk hadir ke mahkamah di Pulau Pinang sebagai saksi bagi pihak bukan Kerajaan selama dua (2) hari iaitu pada 18 hingga 19 Jun 2025, dan dua (2) hari lagi iaitu pada 17 hingga 18 Julai 2025. Puan Ara bercadang untuk menaiki kenderaan sendiri untuk hadir ke mahkamah tersebut. Puan Ara ingin memohon CTR Kelompok Hadir Mahkamah Luar Ibu Pejabat selama 10 hari kerana beliau belum lagi menggunakan kelayakan CTR Kelompok bagi tahun 2025.

Berdasarkan peraturan berkuat kuasa, Puan Ara hanya berkelayakan memohon CTR Kelompok selama lapan (8) hari sahaja iaitu empat (4) hari bagi tempoh sebenar di sapina dan empat (4) hari bagi perjalanan pergi dan balik.

Anak Puan Combi disahkan oleh pegawai perubatan menghidap penyakit berjangkit chickenpox dan perlu dikuarantin selama 10 hari mulai 17 hingga 26 Februari 2025. Puan Combi ingin menggunakan lima (5) hari kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin Atau Memerlukan Pengasingan (CMAKP) dan ingin memohon lima (5) hari lagi kemudahan CTR Kelompok Menjaga Ahli Keluarga Sakit.

Bagi anak yang menghidapi penyakit berjangkit dan perlu dikuarantin, pegawai hanya layak memohon CMAKP maksimum lima (5) hari. Bagi baki lima (5) hari lagi kemudahan CTR Kelompok Menjaga Ahli Keluarga Sakit adalah tidak terpakai.

Puan Raudah bertugas di Kedah sebagai pegawai audit di Jabatan M. Suami beliau menghidap penyakit jantung dan telah dimasukkan ke wad selama 60 hari. Puan Raudah ingin memohon CTR Kelompok Menjaga Ahli Keluarga Sakit selama 20 hari daripada Ketua Jabatan kerana beliau belum menggunakan kelayakan CTR Kelompok pada tahun berkenaan. Selain itu, beliau juga ingin memohon Cuti Separuh Gaji selama 40 hari untuk menjaga suami beliau.

Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan permohonan Puan Raudah sebanyak 20 hari bagi menjaga ahli keluarga sakit. Ketua Jabatan juga boleh meluluskan Cuti Separuh Gaji beliau sebanyak 40 hari untuk menjaga suami yang sakit tertakluk kepada kelayakan Cuti Separuh Gaji beliau.

Encik Rais bertugas di Jabatan P. Isteri beliau telah bersalin pada 23 Disember 2024. Encik Rais telah menggunakan kemudahan CTR Isteri Bersalin sebanyak empat (4) kali sepanjang perkhidmatan. Beliau memohon untuk menggunakan CTR Kelompok Isteri Bersalin selama 18 hari bermula 23 Disember 2024 hingga 9 Januari 2025 bagi kali kelima (5). Beliau mempunyai baki CTR Kelompok sebanyak sembilan (9) hari pada tahun 2024.

Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan CTR Kelompok Isteri Bersalin bagi Encik Rais sebanyak sembilan (9) hari pada tahun 2024 dan sembilan (9) hari lagi pada tahun 2025. Penggunaan CTR Kelompok Isteri Bersalin ini dikira sebagai satu kali penggunaan kerana diambil secara berterusan walaupun melangkau tahun.

Dr. Rina merupakan seorang pegawai di Jabatan X dan melaksanakan tugas sebagai pegawai kewangan. Beliau mempunyai PhD dalam bidang sekuriti makanan dan telah dijemput sebagai salah seorang pembentang di Persidangan Keterjaminan Makanan Antarabangsa di Jepun. Dr. Rina memohon untuk menggunakan CTR Kelompok Sumbangan Ilmu Peringkat Antarabangsa selama lima (5) hari.

Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan CTR Kelompok Sumbangan Ilmu Peringkat Antarabangsa selama lima (5) hari kepada Dr. Rina tertakluk kepada baki CTR Kelompok dan syarat-syarat yang ditetapkan.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut