Air Zam-Zam: Sejarah, Kelebihan & Adab Ketika Meminumnya

Air zam-zam diberikan julukan sebagai sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Apakah alasannya ia dipanggil dengan penuh kemuliaan seperti itu?

Artikel pada kali ini kami akan kongsikan kepada anda berkenaan dengan kelebihan air zam-zam yang boleh anda dapatkan khususnya dari segi kesihatan.

Baca juga:

Apa itu air zam-zam?

air zam-zam

Zam-zam berasal dari perkataan bahasa Arab yang bermaksud banyak atau melimpah.

Dari segi syariat, zam-zam bermaksud air yang berasal daripada telaga zam-zam yang terletak berhampiran Ka’abah, berjarak sekitar 38 hasta.

Ia dinamakan zam-zam seiring dengan ciri-cirinya yang mempunyai air dari telaga yang sangat banyak dan melimpah.

Selain zam-zam, ia juga dipanggil dengan nama lain seperti barrah (kebaikan) madhunah (yang berharga, taktumu, yang tersembunyi), hazmah Jibril (galian Jibril), syifa’ suqim (ubat penyakit), syarab al-abrar (minuman orang-orang baik), tayyibah (yang baik).

Hadis tentang air zam-zam

Daripada Jabir bin Abdillah RA telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ

Maksudnya: “Air zam-zam bergantung pada tujuan apa diminumnya.

(Hadis Riwayat Ibn Majah, No. 3062), Ahmad, No. 14849), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, No. 9442).

Selain itu, dari Ibnu Abbas RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sebaik-baik air yang ada di atas muka bumi ini adalah air zam-zam. Di dalamnya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penyembuh terhadap segala penyakit.”

(Hadis Riwayat al-Thabarany dalam al-Awsath (4/179) dan al-Kabir (11/98), no. 11167. Dihasankan oleh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib (2/40) no. 116)

Air zam-zam juga dikatakan sebagai air yang diberkari menurut hadis Abu Dzar RA ia berkata: Rasulullahh SAW bersabda tentang air zam-zam.

Maksudnya: “Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang diberkahi.”

(Hadis Riwayat Muslim (4/1922), no. 2437)

Dari segi khasiatnya sebagai penyembuh. Diriwayatkan dari Aisyah radhiyallahu anha, bahwa ia mengatakan:

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengambil air zam-zam di dalam bejana-bejana dan gerabah, lalu beliau menyiramkannya kepada orang-orang sakit dan memberi mereka minum.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

خَيرُ ماءٍ على وجْهِ الأرضِ ماءُ زَمْزَمَ ، فِيه طعامٌ من الطُّعْمِ ، و شِفاءٌ من السُّقْمِ

Maksudnya: “Sebaik-baik makanan yang ada di permukaan bumi adalah air zam zam. Di dalamnya terdapat makanan dari segala makanan dan ubat dari segala penyakit.”

(Diriwayatkan oleh Al-Faakihy dalam Akhbaar Al-makkah [1106], Ath-Thobrani [11/98], serta yang lainnya).

Kisah air zam-zam

Asal usul air ini adalah bermula pada zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS atas perintah Allah.  

Kisah ini diceritakan dari Sahih Al-Bukhari, daripada Abdullah bin Abbas RA:

Maksudnya: “Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air).

Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan.

Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya.

Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun.

Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Shafa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana?

Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW:

“Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”.

Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”.

Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata:

“Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”.

Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam.

Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar.”

Kelebihan dan khasiat

Air zam-zam ini begitu istimewa bagi setiap manusia. Antara kelebihan air zam-zam yang boleh anda dapatkan adalah seperti:

  • Air zam-zam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air.
  • Merupakan mata air syurga.
  • Air yang berasal dari kurniaan Allah yang utama kepada kekasih Nya iaitu Nabi Ismail AS.
  • Sebagai tanda yang nyata akan kemuliaan tanah haram Makkah.
  • Allah SWT telah menjadikan air zam-zam yang berkat ini sebagai antara penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah.
  • Banyak meminum air zam-zam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafiq.

Adab ketika minum air

1. Menghadap kiblat

Minum air dengan menghadap kiblat adalah amalan sunnah yang sering dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW setiap kali Baginda minum air.

2. Minum secara berdiri atau duduk

Bagi tatacara minum air ini, terdapat dua pendapat yang berpandangan kita boleh minum secara berdiri atau duduk.

Ada yang berpandangan, sunnah untuk minum sambil duduk seiring dengan apa yang sering disarankan oleh Baginda untuk duduk ketika  minum.

Manakala ada sesetengah yang berpendapat disunatkan untuk kita minum sambil berdiri seperti yang termaktub di dalam sebuah hadis.

Dari Ibnu Abbas RA katanya,

“Aku pernah menuangkan air untuk Rasulullah SAW di sumur zam-zam, lalu Baginda minum. Padahal beliau sedang berdiri.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Manakala satu lagi hadis menceritakan, Dari Anas RA, dari Nabi SAW, bahawasanya beliau pernah melarang seorang laki-laki minum sambil berdiri.

Kata Qatadah, lalu kami bertanya, “Kalau makan?” Jawab Anas, “Itu lebih buruk dan keji.” – (Hadis Riwayat Muslim)

3. Berniat sebelum minum

Kita boleh minum air zam-zam dengan berniat kepada Allah SWT.

4. Membaca bismillah

Rasulullah SAW bersabda, 

“Sebut Bismillah apabila kamu hendak memulakan minuman dan puji Allah apabila kamu selesai.”  – (Hadis Riwayat Tarmizi)

5. Minum dengan tiga nafas

Adab ketika minum adalah tidak tergopoh-gapah. Justeru itu, minumlah dengan baik, perlahan, dan sempurna.

Rasulullah SAW bersabda,

“Jangan minum terus menerus seperti cara haiwan minum. Tetapi minumlah dua teguk, dua teguk, dan tiga teguk, tiga teguk. Dan bacalah Bismillah apabila kamu minum dan baca Alhamdulillah apabila selesai meminumnya.” – (Hadis Riwayat Tarmizi)

6. Minum dengan tangan kanan

Dari Ibnu Umar RA katanya Rasulullah bersabda,

“Apabila kamu makan dan minum, makan dan minumlah dengan tangan kanan, kerana hanya syaitan yang makan dan minum dengan tangan kiri.” – (Hadis Riwayat Muslim)

7. Berdoa setelah selesai minum

Selain dari berniat, kita juga boleh membaca doa minum air zam-zam sebagai tanda syukur atas nikmat yang dikurniakan. 

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan khasiat air zam-zam dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. #37: Kelebihan Air Zamzam dan Hadith Tentangnya. Maktabah Al Bakri
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-125: Ait Zam Zam. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!