Solat Hari Raya Aidilftri ialah solat sunat dua rakaat yang didirikan pada pagi 1 Syawal sempena Hari Raya Aidilfitri.
Ibadah ini termasuk dalam kategori sunat muakkad, iaitu amalan yang sangat dituntut dalam Islam dan digalakkan dilakukan secara berjemaah di masjid, surau atau juga sah dilakuan secara bersendirian di rumah.
Untuk mengetahui lebih banyak persoalan-persoalan berkaitan Solat Hari Raya, layari laman sesawang rasmi Mufti WP atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Bagi penduduk di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan seluruh Malaysia, pelaksanaan Solat Hari Raya dilakukan secara berjemaah di masjid kariah masing-masing bagi menghidupkan syiar Islam dan sebagai tanda ‘kemenangan’ selepas sebulan berpuasa.
Rujuk panduan lengkap niat, hukum dan tatacara Solat Hari Raya Aidifitri serta amalan-amalan yang boleh dilakukan pada 1 Syawal di bawah.
Ringkasan Panduan Solat Hari Raya Aidilfitri
Solat Hari Raya (Aidilfitri) ialah solat sunat dua rakaat yang dilaksanakan pada pagi 1 Syawal.
Trending sekarang
- Hukum: Sunat Muakkad (Sangat Dituntut).
- Waktu: Syuruk sehingga sebelum Zohor (Sekitar 8:00 AM – 1:00 PM di Semenanjung Malaysia).
- Rakaat 1: 7 Takbir + Bacaan Tasbih (6 kali).
- Rakaat 2: 5 Takbir + Bacaan Tasbih (4 kali).
Apa Itu Solat Hari Raya Aidilfitri?
Solat Hari Raya Aidilfitri ialah solat sunat dua rakaat yang didirikan oleh umat Islam pada pagi 1 Syawal selepas berakhirnya bulan Ramadan.
Solat ini termasuk dalam kategori sunat muakkad, iaitu amalan yang sangat dituntut untuk dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT selepas berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan.
Menurut perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Solat Hari Raya Aidilfitri boleh dilakukan secara berjemaah di masjid, surau atau kawasan lapang, dan juga sah dilakukan secara bersendirian sekiranya terdapat keuzuran.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ، وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ
Maksudnya: “Kebiasaannya Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang Baginda mulakan ialah solat (sunat hari raya), kemudian Baginda berpaling dan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk di saf-saf mereka lalu Baginda memberikan peringatan, wasiat dan perintah kepada mereka. Sekiranya Baginda ingin mengutuskan pasukan, maka Baginda akan mengutusnya, atau Baginda ingin memerintahkan sesuatu, maka Baginda akan memerintahkannya. – [Riwayat al-Bukhari (956)]
Waktu Solat Hari Raya Aidilfitri
Solat sunat Hari Raya boleh ditunaikan selepas waktu Subuh dan sebelum masuk waktu Zohor.
Hal ini seperti yang dijelaskan oleh JAKIM;
Menurut mazhab Syafie: “Bermula waktu solat sunat hari raya ialah apabila terbitnya matahari pada hari raya dan berakhir apabila tergelincir matahari dari tengah langit (yakni masuk waktu zohor). Namun waktu terbaik ialah ketika matahari telah naik dengan kadar segalah atau dua galah. Kadar segalah ialah tiga meter pada pandangan mata iaitu lebih kurang 30 minit selepas matahari terbit”.
Diingatkan juga bahawa disunatkan imam menyegerakan Solat Hari Raya Qurban dan melewatkan sedikit Solat Hari Rayafitrah (Aidilfitri).
Ini melewatkan Solat Hari Raya Aidilfitri dapat memberi lebih masa kepada kaum muslimin membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).
Hukum Solat Hari Raya
Hukum menunaikan Solat Hari Raya ialah SUNAT MUAKKAD.
Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu.
Berdasarkan hadis daripada Abi Sa’id al-Khudri yang terdahulu, solat hari raya disyariatkan secara berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang merdeka atau hamba kecuali perempuan yang menghiasi diri atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.
Solat hari raya tidak wajib. Ini berdasarkan hadis: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang yang bertanya tentang solat yang difardukan:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. فَقَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا؟ قَالَ: لا، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ
Maksudnya: “Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: “Adakah wajib atasku selain daripada itu?” Baginda menjawab: “Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.” – [Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)
Berapa Rakaat Solat Raya Aidil Fitri?
Jawapan: Dua rakaat. Solat hari raya dilakukan sebanyak dua rakaat dan dilakukan dengan niat solat hari raya.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar Ibn Al-Khattab R.A beliau berkata:
صَلاَةُ السَّفَرِ رَكْعَتَانِ وَالْجُمُعَةُ رَكْعَتَانِ وَالْعِيدُ رَكْعَتَانِ
Maksudnya : Solat ketika musafir itu adalah sebanyak dua rakaat, solat Jumaat adalah sebanyak dua rakaat, dan solat hari raya adalah sebanyak dua rakaat. – [Riwayat Ibn Majah (1063)]
Pada rakaat yang pertama, dimulakan dengan takbiratul ihram, kemudian disunatkan untuk membaca doa iftitah, kemudian dilafazkan takbir zawa’id (tambahan) sebanyak tujuh kali, kemudian dibaca surah Al-Fatihah serta disunatkan bacaan surah Al-A’la sesudahnya dan keduanya dibaca secara kuat.
Manakala pada rakaat yang kedua, dilafazkan takbir sebanyak lima kali selain dari takbir perpindahan dari sujud kepada qiyam (berdiri tegak). Kemudian dibaca surah al-Fatihah serta disunatkan membaca surah Al-Ghaasyiah sesudahnya.
Bolehkah Solat Hari Raya Bersendirian Di Rumah?
Jawapan: BOLEH. Solat Hari Raya boleh dilakukan secara bersendirian. Tidak perlu khutbah.
Di dalam kitab al-Majmu’ mengatakan: “Solat hari raya sunat dilakukan secara berjamaah (di masjid atau di tanah lapang) berdasarkan banyak hadis-hadis yang sahih dan masyhur serta menjadi ijmak para ulamak. Namun jika seseorang melakukan solat hari raya secara bersendirian dirumahnya atau di tempat lain, adalah sah. Jika dilakukan solat hari raya secara bersendirian, tidak perlu berkhutbah”.
Selain itu, Imam Al-Nawawi berkata :
الْمَذْهَبُ وَالْمَنْصُوصُ فِي الْكُتُبِ الْجَدِيدَةِ كُلِّهَا، أَنَّ صَلَاةَ الْعِيدِ تُشْرَعُ لِلْمُنْفَرِدِ فِي بَيْتِهِ أَوْ غَيْرِهِ
Maksudnya : Pendapat mazhab seperti yang dinaskan di dalam kitab-kitab yang baharu kesemuanya menyatakan bahawa solat hari raya disyariatkan bagi seorang individu di rumahnya atau di tempat selainnya.
Rujuk Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (2/70) – Mufti WP
Maka berdasarkan kenyataan di atas, antara faedah yang boleh diambil adalah dua perkara iaitu :
- Dibolehkah bagi seseorang itu untuk melaksanakan solat hari raya secara seorang diri.
- Demikian juga dibolehkan untuk dilakukan solat hari raya itu di rumah atau di tempat-tempat yang lain.
Meskipun begitu, mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih baik dan lebih afdhal.
Niat Solat Sunat Hari Raya Aidil Fitri
Niat adalah rukun pertama dalam solat. Lafaz niat dibezakan mengikut peranan anda sama ada sebagai imam, makmum, atau bersendirian (munfarid).
| Situasi Solat | Teks Arab | Teks Rumi | Bahasa Melayu (Maksud) |
| Sebagai Makmum | أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى | Usolli sunnatal ‘idil fitri rak’ataini ma’muman lillahi Ta’ala | Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Ta’ala. |
| Sebagai Imam | أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى | Usolli sunnatal ‘idil fitri rak’ataini imaman lillahi Ta’ala | Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai imam kerana Allah Ta’ala. |
| Secara Bersendirian | أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى | Usolli sunnatal ‘idil fitri rak’ataini ada’an lillahi Ta’ala | Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat tunai kerana Allah Ta’ala. |
Niat Solat Sunat Aidilfitri Sebagai Imam

Niat Solat Sunat Aidilfitri Sebagai Makmum

Niat Solat Sunat Aidilfitri (Seorang)

Lafaz Tasbih Solat Raya
Apa Itu Lafaz Tasbih Solat Raya?
Lafaz Tasbih Solat Raya ialah zikir khusus yang dibaca di antara takbir-takbir tambahan (Takbir Zawaid) dalam Solat Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha.
Memandangkan Solat Raya mempunyai 7 takbir pada rakaat pertama dan 5 takbir pada rakaat kedua, bacaan tasbih ini berfungsi sebagai “jeda” atau pemisah yang memuliakan Allah SWT di sela-sela takbir tersebut.
- Rakaat Pertama: Dibaca sebanyak 6 kali (di sela-sela 7 kali takbir).
- Rakaat Kedua: Dibaca sebanyak 4 kali (di sela-sela 5 kali takbir).
Bilangan takbir ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Ibn ‘Amr Ibn Al-‘Ash R.A beliau berkata :
أَنَّ النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَبَّرَ فِي صَلاَةِ الْعِيدِ سَبْعًا وَخَمْسًا
Maksudnya : Sesungguhnya Nabi S.A.W bertakbir pada solat hari raya sebanyak tujuh kali (pada rakaat yang pertama) dan lima kali (pada rakaat yang kedua). – [Riwayat Ibn Majah (1728)]
Lafaz Tasbih Solat Raya
Teks Arab: سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ
Teks Rumi: Subhanallah, walhamdulillah, wala ilaha illallah, wallahu akbar, wala haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim.
Maksudnya: “Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”

Cara Solat Hari Raya Aidil Fitri (Panduan JAKIM)
Diriwayatkan daripada Kathir bin ‘Abdullah yang meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya (‘Amru bin ‘Auf al-Anshari r.a) yang menceritakan:
أن النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم كبر في العيدين في الأولى سبعاً قبل القراءة وفي الثانية خمساً قبل القراءة
“Sesungguhnya Nabi saw bertakbir di dalam solat dua hari raya (yakni Aidiladha dan Aidilfitri); pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali takbir sebelum membaca Fatihah dan pada rakaat kedua sebanyak lima kali takbir sebelum membaca Fatihah”.- [HR at-Tirmizi. Hasan]
Berikut dikongsikan panduan melakukan solat sunat Hari Raya Aidilfitri yang dikongsikan oleh JAKIM:
RAKAAT PERTAMA
1. Di mulai dengan lafaz takbirratul ihram dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.
Contoh lafaz niat sebagai makmum:
أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli sunnatan idilfitri rak’ataini makmuman lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
2. Membaca doa iftitah
3. Lafaz takbir tujuh kali diselang-selikan dengan bacaan tasbih sebanyak enam kali.
سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ
4. Membaca surah al-Fatihah
5. Membaca surah al-Quran (di sunatkan membaca surah al-A’laa)
Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama
RAKAAT KEDUA
1. Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)
2. Lafaz takbir lima kali di selang-selikan dengan bacaan tasbih empat kali.
سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ
3. Membaca surah al-Fatihah
4. Membaca surah al-Quran (di sunatkan dalam rakaat kedua membaca surah al-Ghaasyiyah)
5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua
6. Memberi salam
Video Panduan Solat Sunat Raya
Rujuk video pelaksanaan solat sunat aidilfitri yang ditunjukkan oleh Ustaz Kazim di bawah untuk panduan yang lebih jelas:
Anda juga boleh merujuk infografik di bawah atau muat turun dan simpan di telefon bimbit anda untuk memudahkan rujukan:



NOTA:
- Bagi yang tidak menghafal surah Al-A’la dan surah Al-Ghaasyiah, boleh sahaja membaca apa-apa surah yang dihafal lagi mudah dibaca.
- Disunatkan untuk membaca سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَر antara lafaz takbir yang dibaca sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua tersebut.
- Bagi yang menunaikan solat hari raya secara berjemaah pula, perlu dijelaskan bahawa tidak ada azan dan iqamah pada solat hari raya. Bahkan sebelum dimulakan solat, imam dituntut untuk menyebut الصَّلَاةُ جَامِعَة
- Kemudian setelah solat hari raya selesai dilakukan, sekiranya ia dilaksanakan secara berjemaah, disunatkan bagi imam untuk membaca khutbah hari raya sebanyak dua khutbah yang sama seperti khutbah Jumaat dari sudut rukun dan perkara sunat dalam khutbah.
Tatacara Solat Hari Raya di Rumah
Cara solat sunat Hari Raya bersendiran adalah sama seperti solat berjemaah, cuma tidak ada keperluan khutbah jika dilakukan bersendirian.
Rakaat Pertama
- Niat & Takbiratul Ihram: Mulakan dengan niat serentak dengan Takbiratul Ihram (Allahu Akbar).
- Doa Iftitah: Disunatkan membaca doa Iftitah sebelum memulakan takbir tambahan.
- Takbir Zawaid (7 Kali): Lakukan takbir sebanyak 7 kali. Di antara setiap takbir tersebut, bacalah lafaz tasbih: سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ
- Membaca Surah: Baca Surah Al-Fatihah diikuti dengan surah pilihan (disunatkan Surah Al-A’la).
- Rukuk & Sujud: Teruskan solat dengan rukuk, iktidal, dan sujud seperti solat fardu biasa sehingga bangun semula untuk rakaat kedua.
Rakaat Kedua
- Takbir Zawaid (5 Kali): Selepas bangun (takbir intiqal), lakukan takbir sebanyak 5 kali. Di antara setiap takbir, baca lafaz tasbih yang sama seperti di rakaat pertama.
- Membaca Surah: Baca Surah Al-Fatihah diikuti dengan surah pilihan (disunatkan Surah Al-Ghashiyah).
- Tahiyat Akhir & Salam: Selesaikan rukuk, sujud, dan bacaan tahiyat akhir sehingga memberi salam.
Khutbah Hari Raya Aidil Fitri
Khutbah Aidilfitri sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya.
Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
Klik di sini untuk memuat turun Khutbah Aidilfitri 2026 oleh JAKIM: [AKAN DIKEMASKINI]
Lafaz Takbir Raya Arab & Rumi
Umat Islam digalakkan untuk bertakbir bagi hari raya puasa (Aidil Fitri) bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya sehinggalah ketika imam keluar untuk mendirikan solat hari raya.
Imam Al-Syafi’e berkata :
يُكَبِّرُ النَّاسُ فِي الْفِطْرِ حِينَ تَغِيبُ الشَّمْسُ لَيْلَةَ الْفِطْرِ فُرَادَى، وَجَمَاعَةً فِي كُلِّ حَالٍ حَتَّى يَخْرُجَ الْإِمَامُ لِصَلَاةِ الْعِيدِ ثُمَّ يَقْطَعُونَ التَّكْبِيرَ
Maksudnya: Orang ramai bertakbir pada hari raya puasa ketika hilangnya matahari pada malam raya secara bersendirian dan juga secara berjemaah dalam setiap keadaan sehinggalah imam keluar untuk mendirikan solat hari raya, kemudian mereka berhentikan takbir. – Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/275) – MUFTI WP
Manakala sighah (bentuk) takbir hari raya pula adalah seperti yang diketahui umum iaitu seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi:
| Teks Arab | Teks Rumi | Bahasa Melayu (Maksud) |
| اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ | Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar | Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. |
| اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا | Allahu Akbaru kabira | Allah Maha Besar dengan sebesarnya. |
| وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا | Walhamdu lillahi kathira | Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak. |
| وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا | Wasubhanallahi bukratau-wa-asila | Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang. |
| لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ | La ilaha illallahu wala na’budu illa iyyah | Tiada Tuhan melainkan Allah dan kami tidak menyembah melainkan-Nya. |
| مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ | Mukhlisina lahud-dina walau karihal-kafirun | Dengan ikhlas beragama kepada-Nya, walaupun dibenci oleh orang kafir. |
| لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ | La ilaha illallahu wahdah | Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa. |
| صَدَقَ وَعَدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ | Sadaqa wa’dah, wanasara ‘abdah | Benarlah janji-Nya, membantu hamba-Nya. |
| وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ | Wahazamal-ahzaba wahdah | Dan mengalahkan tentera Ahzab dengan keagungan-Nya sendiri. |
| لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ | La ilaha illallahu wallahu akbar | Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. |
Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Solat Hari Raya
Untuk sebarang persoalan mengenai Solat Hari Raya, sila rujuk:
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
- Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN): Sila rujuk portal rasmi negeri masing-masing untuk jadual waktu solat dan protokol masjid di kawasan anda.
Tidak. Ia merupakan Sunat Muakkad (sunat yang sangat dituntut).
– Rakaat Pertama: 7 kali takbir (tidak termasuk Takbiratul Ihram).
– Rakaat Kedua: 5 kali takbir (tidak termasuk takbir intiqal/bangun dari sujud).
Jika anda terlupa melakukan takbir tambahan tersebut dan terus membaca Al-Fatihah, solat anda tetap sah. Takbir zawaid (tambahan) tersebut adalah sunat hai’ah, maka anda tidak perlu melakukan sujud sahwi.
Menurut panduan JAKIM, wanita haid disunatkan hadir ke kawasan sekitar tempat solat (seperti perkarangan masjid atau dewan) untuk mendengar khutbah dan merasai kemeriahan hari raya, namun mereka dilarang memasuki ruang solat utama masjid dan dilarang menunaikan solat.
Ya, mandi sunat hari raya adalah amalan sunnah yang sangat digalakkan. Niatnya: “Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri/Aidiladha kerana Allah Ta’ala.”
Anda boleh menunaikan Solat Hari Raya secara bersendirian (munfarid) di rumah. Tatacaranya adalah sama, cuma anda tidak perlu membacakan khutbah selepas solat.




