Honor Magic V6 akhirnya tiba di pasaran Malaysia sebagai telefon pintar lipat paling canggih Honor setakat ini, membawa peningkatan drastik dari segi ketahanan, bateri terbesar dalam kelasnya, serta prestasi kamera yang mampu menyaingi jenama premium lain.
Dilancarkan secara rasmi pada 4 Jun 2026, peranti ini bukan sekadar menunjukkan kehebatan teknologi lipat terkini, tetapi turut menawarkan spesifikasi gred utama dengan harga bermula RM7,699.
Dengan paparan yang besar dan jelas, prestasi yang berkuasa, sistem kamera yang serba boleh, dan bateri yang tahan lama, peranti ini sesuai untuk pengguna yang mencari telefon pintar yang serba boleh dan berprestasi tinggi.
Walaupun harga mungkin agak tinggi bagi sesetengah pengguna, nilai yang ditawarkan oleh Honor Magic V6 adalah sepadan dengan harga yang dibayar, terutamanya bagi mereka yang menghargai inovasi dan kualiti.
Spesifikasi Utama

Dari segi spesifikasi, Honor Magic V6 dikuasakan oleh cip paling baharu Qualcomm, iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang menjamin kelancaran multitasking dan prestasi permainan berat.
Cip ini dipadankan dengan memori RAM 16GB yang besar dan dua pilihan storan dalaman iaitu 512GB atau 1TB, menjadikannya sesuai untuk pengguna yang menyimpan banyak fail media dan aplikasi profesional.
Peranti ini berjalan dengan sistem operasi MagicOS 10 berasaskan Android 16, memberikan pengalaman antara muka yang lancar dengan pelbagai ciri kecerdasan buatan.
Salah satu kelainan pada Honor Magic V6 adalah skrin lipatnya yang sangat mengagumkan yang mana apabila dibuka, pengguna disajikan dengan skrin dalaman LTPO OLED bersaiz 7.95 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz, resolusi 2352×2172 piksel, kecerahan puncak sehingga 5000 nits dan teknologi 4320Hz PWM Dimming yang mesra mata.
Manakala skrin penutup luarnya berukuran 6.45 inci, juga LTPO OLED 120Hz dengan resolusi 2420×1080 piksel dan kecerahan puncak lebih tinggi iaitu 6000 nits.
Kedua-dua skrin ini menggunakan perlindungan Anti-scratch NanoCrystal Shield yang lebih tahan calar, serta engkel Super Steel Hinge yang menjadikan proses buka-tutup peranti lebih kukuh dan tahan lasak.
Untuk ketahanan fizikal, Honor Magic V6 dilengkapi dengan sijil rintangan habuk dan air IP68 dan IP69, bermaksud ia mampu bertahan di dalam air sedalam 1.5 meter serta tahan terhadap semburan air panas bertekanan tinggi.
Ketebalan peranti pula sangat nipis: untuk varian warna Putih Gading, ketebalannya cuma 8.75mm ketika dilipat dan 4.0mm ketika dibuka, dengan berat hanya 219 gram.
Manakala varian warna lain mempunyai ketebalan 9.0mm (dilipat) dan 4.1mm (dibuka) dengan berat 224 gram.
Kamera dan Fotografi

Bagi peminat fotografi, Honor Magic V6 menawarkan persediaan tiga kamera belakang yang sangat mantap. Sistem kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dengan bukaan f/1.6 dan penstabilan optik OIS, kamera ultra-lebar 50MP dengan bukaan f/2.2, dan kamera periskop telefoto 64MP dengan bukaan f/2.5 serta OIS.
Gabungan ini membolehkan pengguna merakam gambar jarak jauh dengan jelas tanpa kehilangan kualiti, serta foto sudut lebar yang luas tanpa herotan teruk.
Menariknya, Honor turut menyediakan dua kamera hadapan 20MP yang terletak pada skrin dalaman dan skrin penutup, memudahkan pengambilan swafoto atau panggilan video tanpa mengira kedudukan skrin.
Apa yang membuatkan Honor Magic V6 istimewa adalah integrasi kecerdasan buatan dalam pemprosesan imej, membolehkan mod malam yang lebih terang dan pengecaman pemandangan yang pantas.
Pengguna juga boleh memanfaatkan mod Fast-Flex dengan hanya melipat sebahagian peranti, kemudian membukanya semula untuk beralih secara automatik ke mod skrin terbelah.
Ini membolehkan aplikasi kamera dipaparkan di satu sisi dan galeri atau aplikasi AI seperti Google Gemini di sisi yang lain, sesuai untuk penyuntingan segera.
Artikel menarik: 17 Tablet Murah Terbaik untuk Kerja, Pelajar & Guru (Bawah RM1000)
Bateri dan Pengecasan

Perkara paling menonjol pada Honor Magic V6 adalah kapasiti baterinya yang luar biasa. Honor Magic V6 dibekalkan dengan bateri silikon-karbon bersaiz 6,660mAh yang diiktiraf sebagai bateri terbesar pernah dipasang pada telefon pintar lipat.
Dengan kapasiti sebesar ini, pengguna boleh menggunakan peranti sepanjang hari untuk tugasan berat seperti bermain permainan, menonton video atau bekerja dengan pelbagai aplikasi tanpa perlu risau kehabisan kuasa.
Honor turut menyediakan sokongan pengecasan pantas 80W Honor SuperCharge secara wayar dan pengecasan tanpa wayar 66W, membolehkan bateri diisi dari kosong kepada penuh dalam masa yang singkat.
Varian dan Harga

Honor Magic V6 ditawarkan dalam dua varian memori di Malaysia.
Varian pertama membawa 16GB RAM dan storan dalaman 512GB pada harga RM7,699, manakala varian kedua dengan 16GB RAM dan storan 1TB dijual pada harga RM8,899.
Tempahan awal dibuka mulai 4 Jun hingga 11 Jun 2026, dan setiap pembeli layak menerima percuma bernilai sehingga RM3,797, termasuk sebuah televisyen Skyworth 43 inci Google TV, perlindungan setahun Rintangan Retak tanpa Bimbang, dan jaminan kualiti dua tahun.
Peranti ini boleh ditempah melalui Laman Web Rasmi Honor, Shopee, dan Lazada.
Dari segi pilihan warna, Honor Magic V6 hadir dalam empat warna menarik:
- Ferghana Red (merah ikonik)
- Sunrise Gold (emas sinar matahari)
- Ivory White (putih gading)
- Classic Black (hitam klasik)
Kesemua varian ini mempunyai lapisan kaca berkualiti tinggi yang bukan sahaja memberikan penampilan mewah tetapi juga tahan terhadap cap jari dan calar ringan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Honor Malaysia.




