Sakit Telinga Berdesing: Gejala & Punca Serta Cara Mengubatinya

sakit telinga
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sakit telinga berdesing adalah masalah yang selalu dialami oleh semua orang tidak kira usia. Ia menimbulkan rasa ketidakselesaan bahkan boleh menyebabkan rasa sakit pada telinga.  

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan masalah sakit telinga berdesing dan cara untuk mencegahnya dari berulang.

Baca juga:

Apa itu sakit telinga berdesing?

Telinga berdesing atau lebih dikenali sebagai “tinnitus” adalah merupakan satu keadaan dimana seseorang mendengar bunyi yang asing di dalam kepala. 

Bunyi selalunya dikaitkan dengan berdesing tetapi kadang-kadang bunyi mengaum, berdetik dan sebagainya.

Menurut beberapa sumber kajian, masalah tinnitus paling kerap dialami oleh kaum lelaki dan individu yang berusia 40-70 tahun.

Gejala & simptom telinga berdesing

sakit telinga

Telinga berdesing atau tinnitus boleh terjadi di salah satu telinga mahupun kedua-dua belah telinga. Antara gejala telinga berdesing yang sering berlaku ialah:

  • Menyebabkan kepala sakit
  • Boleh terjadinya vertigo 
  • Menyebabkan pendengaran berkurangan 
  • Ketidakseimbangan badan
  • Sakit di bahagian dalam telinga
  • Masalah tidur
  • Dan lain-lain

Gejala yang berlaku ini boleh terjadi dalam tempoh yang singkat, secara berterusan atau berulang-ulang. Yang pasti, ia sangat tidak selesa dan boleh menyebabkan produktiviti seseorang itu menurun. 

Walaubagaimanapun, sekiranya anda mengalami gejala-gejala yang disenaraikan di bawah, jangan abaikan kerana ia mungkin petanda masalah yang serius. 

  • Telinga berdesing dalam tempoh yang lama dan secara berterusan. Kemungkinan tanda awal tumor di bahagian telinga dalam atau otak
  • Berbunyi seperti degupan jantung di salah satu telinga
  • Makin lama makin bertambah teruk 
  • Disertai dengan gejala-gejala lain seperti demam tinggi dan sebagainya

Punca telinga berdesing

Terdapat pelbagai punca terjadinya telinga berdesing. Namun, tidak semua punca tersebut dapat dikenal pasti.

Berikut adalah antara punca yang dapat dikenalpasti dan sering dialami oleh pesakit. 

1. Hilang pendengaran

Terdapat sel rambut yang kecil dan halus di telinga dalam (koklea) yang bergerak apabila telinga anda menerima gelombang bunyi. 

Pergerakan ini mencetuskan isyarat elektrik di sepanjang saraf dari telinga anda ke otak anda (saraf pendengaran). Otak anda menafsirkan isyarat ini sebagai bunyi.

Sekiranya sel rambut ini bengkok atau patah (berlaku apabila anda meningkat usia atau apabila anda kerap terdedah kepada bunyi yang kuat), ia boleh “membocorkan” impuls elektrik rawak ke otak anda, lalu menyebabkan telinga berdesing. 

2. Jangkitan telinga atau saluran telinga tersumbat

Saluran telinga boleh tersumbat sekiranya terjadi pengumpulan cecair (jangkitan telinga), tahi telinga, kotoran atau bahan asing yang lain.

Salura yang tersumbat boleh mengubah tekanan dalam telinga anda lalu menyebabkan telinga anda berdesing.

3. Kecederaan kepala atau leher

Trauma kepada kepala atau leher boleh menjejaskan telinga, saraf pendengaran atau fungsi otak yang dikaitkan dengan pendengaran.

Kecederaan sedemikian biasanya menyebabkan tinnitus pada salah satu telinga sahaja.

4. Ubat-ubatan yang diambil

Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan atau memburukkan sakit telinga berdesing.

Secara amnya, semakin tinggi dos ubat, maka akan semakin tinggi juga risiko anda terkena tinnitus.

Selalunya bunyi yang tidak diingini hilang apabila anda berhenti menggunakan ubat tersebut.

Selain itu, punca sakit telinga berdesing juga boleh disebabkan oleh beberapa penyakit.

Antaranya ialah penyakit Meniere, disfungsi tiub Eustachian, kekejangan otot di bahagian dalam telinga, gangguan sendi temporomandibular (TMJ), neuroma akustik, tumor kepala dan leher, gangguan saluran darah dan sebagainya. 

5. Terdedah kepada bunyi kuat 

Memakai earphone/headphone secara kerap dengan tempoh yang lama atau mendengar bunyi yang kuat atau terlalu lantang boleh menyebabkan telinga anda berdesing atau berdengung.

Ini juga akan menyebabkan gegendang telinga rosak. Yang terbaik, elakkan pendedahan kepada bunyi yang kuat dalam masa yang lama.

Ketika bekerja di kilang misalnya, pastikan anda memakai alat yang boleh melindungi telinga.

6. Presbikusis

Presbikusis adalah merupakan gangguan pendengaran sensorineural dan selalunya berlaku kepada individu yang berusia 65 tahun ke atas.

Ia menyebabkan kedua-dua belah telinga kehilangan pendengaran secara berperingkat sehinggakan ramai yang tidak menyedarinya di peringkat awal.

Selain itu, ia juga boleh disebabkan oleh pendedahan berulang kepada bunyi trafik jalan, kerja pembinaan, pejabat bising, peralatan yang menghasilkan bunyi bising, muzik yang kuat dan sebagainya. 

Antara simptom presbikusis adalah telinga berdengung disebabkan oleh gegendang telinga yang terjejas akibat penuaan.

7. Jangkitan dalam telinga (Otitis Media)

Sekiranya telinga berdesing dalam tempoh yang agak lama, anda boleh cuba dapatkan pemeriksaaan lebih lanjut.

Ia boleh disebabkan oleh jangkitan kuman yang menyebabkan telinga anda tersumbat bahkan boleh menyebabkan gegendang telinga anda pecah. Jangkitan ini juga dikenali sebagai Otitis Media.

Jangan biar lama-lama, dapatkan segera rawatan untuk mengelakkan kemungkinan yang lebih buruk berlaku. 

8. Masalah Pada Salur Darah

Telinga berdesing juga boleh disebabkan oleh aliran darah yang tidak selari berdekatan dengan telinga.

Keadaan ini boleh mengakibatkan komplikasi lebih teruk sehingga menyebabkan terjadinya strok/ serangan angin ahmar. 

9. Tahi telinga

Tahi telinga yang mengeras sehingga menyebabkan lubang telinga tersumbat juga boleh menjadi punca telinga anda berdesing. 

Justeru, rajin-rajinkanlah diri membersihkan telinga dengan cara yang betul bila tahi telinga mula keluar.

Elak dari mengorek telinga kerana ia justeru akan menyebabkan sakit telinga lebih teruk di kemudian hari.

10. Schwannoma Vestibular

Schwannoma Vestibular merupakan sejenis ketumbuhan yang terbentuk pada bahagian urat saraf telinga vestibular.

Ketumbuhan ini boleh menyebabkan pelbagai gejala antaranya ialah pening, kebas bahagian muka, badan tidak seimbang dan juga telinga berdengung atau tinnitus

Rawatan yang sesuai

Selalunya masalah sakit telinga berdesing ini tidak memerlukan rawatan khusus. Ia akan hilang dengan sendirinya.

Walaubagaimanapun, sekiranya ia menimbulkan ketidakselesaan serta menyebabkan kesakitan anda perlu berjumpa doktor dengan segera. 

Dapatkan diagnosis doktor untuk mengetahui masalah sebenar yang dihadapi oleh telinga anda. 

Selain itu, anda boleh cuba beberapa petua sebagai ikhtiar untuk menghilangkan bunyi berdesing di telinga.

Caranya, telan air liur banyak kali untuk membuka kembali tiub dalam telinga anda yang tersumbat.

Anda juga boleh cuba menguap atau mengunyah sesuatu. Jangan lupa cuba tarik nafas dalam-dalam kemudian lepaskan. 

Cara mencegah sakit telinga berdesing

sakit telinga

1. Gunakan alat pelindung pendengaran

Pendedahan kepada bunyi yang kuat boleh merosakkan saraf di telinga, menyebabkan kehilangan pendengaran dan juga tinnitus.

Oleh itu, hadkan pendedahan anda kepada bunyi yang kuat dan gunakan pelindung telinga untuk membantu melindungi pendengaran anda sekiranya perlu.

2. Kurangkan/Kecilkan Volume

Pendedahan jangka panjang kepada muzik yang dikuatkan tanpa pelindung telinga atau mendengar muzik pada volume yang sangat tinggi boleh menyebabkan kehilangan pendengaran dan tinnitus.

3. Jaga kesihatan

Amalkan gaya hidup sihat, bersenam dan amalkan pemakanan yang betul bagi membantu mencegah tinnitus yang dikaitkan dengan obesiti dan gangguan saluran darah.

Selain itu, hadkan pengambilan alkohol, kafein dan nikotin. Bahan-bahan ini, terutamanya apabila digunakan secara berlebihan, boleh menjejaskan aliran darah dan menyumbang kepada tinnitus.

Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan masalah sakit telinga berdegung ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Tinnitus (Ringing in Ears) – Symptoms and Causes. Penn Medicine
  2. When Should I Be Concerned About Ringing In My Ears? Harvard Health
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut