Pil Perancang : Fungsi, Cara Penggunaan dan Kelebihan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Pasangan suami isteri pasti menanti-nantikan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga. Namun, atas sebab tertentu, sesetengah pasangan mengambil keputusan untuk merancang keluarga.

Adakah anda juga sedang mempertimbangkan untuk menggunakan pil perancang namun tidak tahu cara untuk gunakannya?

Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Apa Itu Pil Perancang?

Juga dikenali sebagai pil kontraseptif oral, pil perancang merupakan salah satu alternatif bagi pasangan yang ingin menjarakkan kehamilan.

Pil ini boleh didapati dalam dua jenis dan mengandungi hormon wanita sama ada :

  • Kombinasi estrogen dan progesteron
  • Progesteron

Bagaimana Pil Pencegah Kehamilan Berfungsi?

Sekiranya pil ini dimakan secara konsisten dan tepat dengan caranya, ia boleh menukar keseimbangan hormon badan dan seterusnya mencegah kehamilan.

Pil ini bertindak dengan :

  • Mencegah ovulasi iaitu pengeluaran telur dengan merencatkan proses kematangan telur.
  • Menghalang sperma daripada mempersenyawakan telur
  • Mengubah ketebalan dinding sel rahim serta menghalang proses implantasi.

Kelebihan Pil Pencegah Kehamilan

Memetik My Health, pil ini boleh memberikan beberapa manfaat kepada wanita antaranya :

  • Mempunyai tahap keberkesanan sehingga 99% jika diambil dengan cara yang betul.
  • Untuk wanita yang merancang untuk hamil, mereka hanya perlu berhenti mengambil pil ini dan mereka akan subur seperti sedia kala.
  • Boleh memberikan manfaat lain seperti melancarkan peredaran haid dan mengurangkan pertumbuhan jerawat.

Cara Penggunaan dan Panduan

Sebelum menggunakannya, pastikan anda membaca label dengan teliti dan fahami cara pengambilan pil serta arahan spesifik sekiranya terlupa mengambil pil atau muntah.

Hal ini kerana terdapat banyak jenama pil ini di pasaran dan setiap satu mungkin mengandungi jumlah dan jenis hormon estrogen dan progesteron yang berbeza.

Secara umumnya, pil perancang ini digunakan dengan mengambil satu tablet secara oral pada masa yang sama setiap hari.

Perhatikan jumlah pil dalam pek sama ada 21 atau 28 pil.

  • Pek 21 pil – mengandungi 21 pil aktif yang perlu diambil selama 3 minggu dan diikuti dengan satu minggu tanpa pil.
  • Pek 28 pil – mengandungi 21 pil aktif dan perlu diambil selama 3 minggu. Ia diikuti dengan satu minggu pil tidak aktif.
pil perancang

Anda juga boleh ikuti tips ini sebelum amalkan pil pencegah kehamilan :

  • Semak sisip bungkusan yang disertakan sebelum mengambil pil atau jika anda tidak pasti cara penggunaannya.
  • Tentukan masa yang tetap dan ambil pil tersebut pada masa yang sama setiap hari.
  • Pil yang terlupa atau tertinggal boleh menyebabkan kehamilan. Semakin banyak pil anda yang tertinggal, semakin besar kemungkinan anda boleh hamil.
  • Kebanyakan pek ubat turut dicatatkan bersama nombor urutan mengikut hari dan minggu.
  • Sekiranya anda lupa, ikuti arahan yang dinyatakan kepada sisip bungkusan.

Siapa Yang Tidak Patut Mengambil Pil Ini?

Kebanyakan wanita boleh mengambil pil perancang ini sekiranya :

  • Memiliki kesihatan baik
  • Tidak mengalami berat badan berlebihan
  • Tidak merokok
  • Tidak mempunyai masalah perubatan

Namun, beberapa penyakit tertentu boleh menyebabkan peningkatkan risiko atau masalah kesihatan lain akibat pengambilan pil pencegah kehamilan ini.

Oleh itu, kesesuaian pengambilan pil ini juga bergantung kepada tahap kesihatan wanita tersebut.

Wanita yang mengalami masalah kesihatan tidak sesuai untuk mengambil pil ini antaranya :

  • Mempunyai penyakit hepatitis
  • Menghidap kanser payu dara

Ubat Yang Boleh Pengaruhi Kesan Pil Pencegah Kehamilan

Sesetengah ubat-ubatan seperti di bawah boleh mempengaruhi kesan pil perancang :

  • ubat tubercolosis (rifampicin)
  • ubatan bagi rawatan epilepsi atau sawan (barbiturates, carbamazepine, phenytoin, primidone, topiramate)
  • antibiotik
  • ubat migrain

Individu yang sedang mengambil ubat-ubatan yang dinyatakan ini mungkin perlu menggunakan kaedah kontraseptif tambahan ketika mengambil pil perancang.

Anda juga perlu maklumkan kepada pakar perubatan sekiranya pernah atau sedang alami masalah berikut :

  • Pernah mengalami strok atau serangan jantung
  • Pembekuan darah di paru-paru, mata atau kaki.
  • Sakit dada
  • Menghidap atau disyaki mengalami kanser uterus, serviks, vagina atau payudara
  • Penyakit jaundis iaitu kawasan putih mata atau kulit menjadi kuning semasa hamil atau semasa menggunakan pil pencegah kehamilan.
  • Tumor hati
  • Sedang hamil atau disyaki hamil

Kesan Sampingan

Wanita boleh alami kesan sampingan yang biasa akibat penggunaan pil ini antaranya :

  • Pendarahan vagina yang sementara. Jika ia berlaku melebihi satu kitara, sila berjumpa dengan doktor.
  • Gangguan pada penglihatan bagi pengguna kanta lekap
  • Bengkak badan atau edema
  • Melasma atau tompok hitam pada kulit terutamanya di wajah
  • Kesan sampingan lain seperti muntah, loya, sakit kepala, pening, keguguran rambut dan jangkitan pada vagina.

Sekiranya kesan sampingan yang dialami menggangu anda, segeralah berjumpa dengan doktor.

pil perancang

Kesimpulannya, pil pencegah kehamilan dapat membantu pasangan merancang keluarga secara berkesan.

Namun, ia boleh memberikan kesan sampingan kepada wanita dan mungkin tidak sesuai digunakan bagi wanita dengan masalah kesihatan tertentu.

Anda boleh berbincang dengan doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu untuk mendapatkan solusi pencegah kehamilan terbaik.

Sumber : myhealth.moh.gov.my

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut