Hak pelajar intern atau latihan industri sering menjadi topik perbualan hangat di kalangan mahasiswa, terutama apabila ramai yang merasakan mereka diperlakukan sebagai buruh murah tanpa bimbingan yang sepatutnya.
Kes kematian seorang pelajar intern dalam projek pembersihan tangki air baru-baru mencetuskan persoalan sama ada pelajar tersebut memiliki latihan yang mencukupi untuk melakukan kerja berisiko tersebut dan sama ada pelajar intern tersebut boleh disuruh melakukan kerja tersebut memandangkan kerja diruang terkurung dianggap sangat berisiko.
Latihan industri atau internship merupakan satu komponen penting dalam sistem pengajian tinggi di Malaysia yang direka untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang realiti dunia pekerjaan sebelum mereka melangkah ke alam kerjaya sepenuh masa.
Untuk memanfaatkan sepenuhnya pengalaman ini, pelajar perlu memahami hak-hak mereka, memastikan skop kerja mereka selaras dengan objektif pembelajaran, serta mengambil langkah-langkah proaktif sebelum, semasa, dan selepas tempoh latihan mereka.
Dengan pengetahuan dan persediaan yang betul, pelajar dapat menjadikan latihan industri sebagai pengalaman pembelajaran yang berharga dan asas yang kukuh untuk kerjaya mereka pada masa hadapan.
Kepentingan Latihan Industri

Latihan industri memainkan peranan yang sangat kritikal dalam membantu pelajar membuat peralihan daripada alam akademik kepada alam profesional.
Ia bukan sekadar satu syarat wajib untuk bergraduasi, tetapi merupakan satu platform pembelajaran praktikal yang tidak ternilai harganya.
Melalui latihan inndustri atau internship, pelajar berpeluang untuk mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam situasi kerja sebenar, sekali gus memahami bagaimana sesebuah organisasi beroperasi dan menangani cabaran harian industri.
Pengalaman ini juga membolehkan pelajar membina kemahiran insaniah seperti komunikasi, penyelesaian masalah, dan pengurusan masa, yang amat diperlukan oleh majikan.
Selain itu, tempoh latihan industri juga merupakan peluang terbaik untuk membina rangkaian profesional, yang boleh membuka pintu kepada peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Statistik juga menunjukkan bahawa graduan yang mempunyai pengalaman internship mempunyai kebolehpasaran yang lebih tinggi berbanding mereka yang tiada pengalaman.
Status Undang-Undang dan Hak Asasi Pelajar Intern

Salah satu persoalan paling utama yang sering timbul adalah berkaitan dengan status pelajar intern di sisi undang-undang, terutamanya dalam konteks Akta Kerja 1955.
Menurut definisi dalam akta tersebut, seorang pekerja adalah individu yang mempunyai kontrak perkhidmatan dengan majikan dan menerima gaji.
Memandangkan pelajar intern tidak menandatangani kontrak perkhidmatan sedemikian, mereka tidak diklasifikasikan sebagai ‘pekerja’ di bawah akta ini.
Oleh itu, pelajar intern juga tidak layak untuk menerima gaji minimum yang ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum, dan tidak dilindungi oleh peruntukan-peruntukan seperti waktu kerja maksimum, bayaran kerja lebih masa (overtime), cuti tahunan, mahupun caruman KWSP dan PERKESO.
Begitu juga, tempat mereka menjalani latihan tidak dianggap sebagai ‘majikan’, tetapi sebagai ‘pembekal tempat latihan’.
Walau bagaimanapun, ketiadaan perlindungan di bawah Akta Kerja 1955 tidak bermakna hak pelajar intern terabai sepenuhnya.
Institut Pengajian Tinggi (IPT) biasanya mempunyai garis panduan dan perjanjian dengan syarikat bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara sementara dalam sektor kerajaan, satu dasar telah ditetapkan bermula 1 September 2019, yang mewajibkan pembayaran elaun minimum RM5 sejam kepada pelajar latihan industri, yang boleh mencecah sehingga RM900 sebulan.
Pihak swasta pula digalakkan untuk mencontohi inisiatif ini, walaupun tiada undang-undang yang mewajibkannya.
Artikel berkaitan: Latihan Separa Perubatan KKM Untuk Lepasan SPM, Ada Elaun & Terus Jadi Penjawat Awam
Hak dan Batasan Skop Kerja Pelajar Intern

Walaupun tidak dilindungi sepenuhnya oleh Akta Kerja 1955, pelajar intern tetap mempunyai hak asas yang perlu dihormati oleh pihak organisasi yang mengambil mereka untuk menjali LI atau internship di syarikat mereka.
Antara hak tersebut adalah hak untuk mendapatkan taklimat awal yang jelas tentang waktu kerja, skop tugas, peraturan tempat kerja, dan sesiapa yang menjadi penyelia mereka.
Pelajar juga berhak menerima bimbingan yang sewajarnya dalam melaksanakan tugasan, dan tugasan tersebut hendaklah berkaitan dengan bidang pengajian mereka serta mempunyai nilai pembelajaran.
Persekitaran kerja yang selamat juga adalah satu kemestian, di mana pelajar tidak sepatutnya diarahkan melakukan kerja-kerja berbahaya tanpa latihan keselamatan dan alat pelindung diri yang mencukupi.
Prinsip ini selaras dengan pandangan agama yang menekankan agar majikan tidak membebankan pelajar dengan tugasan di luar kemampuan mereka, malah perlu memberi bantuan dan tunjuk ajar .
Namun, terdapat beberapa tugasan yang jelas tidak wajar diberikan kepada pelajar intern antaranya ialah kerja-kerja berbahaya tanpa latihan yang mencukupi, kerja lebih masa yang berlebihan dan tugasan yang bertujuan untuk menggantikan pekerja tetap secara total.
Jika pelajar merasakan mereka dieksploitasi atau diberi tugasan yang tidak munasabah, mereka dinasihatkan untuk mencatat semua perkara penting, berbincang dengan penyelia dan jika perlu, merujuk kepada penyelia akademik di universiti atau kolej masing-masing.
Institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting sebagai pelindung pelajar dan perlu menyediakan saluran aduan yang jelas .
Tanggungjawab dan Etika Pelajar Intern

Selain mengetahui hak, pelajar intern juga perlu memikul tanggungjawab dan menjaga etika profesional sepanjang tempuh latihan.
Sikap proaktif, datang tepat pada masa, berpakaian kemas, dan menunjukkan kesungguhan untuk belajar adalah amalan yang sangat dihargai oleh majikan.
Pelajar juga digalakkan untuk bertanya jika tidak faham, merekodkan setiap tugasan dan pencapaian, serta menerima maklum balas dengan hati terbuka untuk penambahbaikan diri.
Perlu diingat bahawa walaupun tempoh internship singkat, prestasi dan sikap yang ditunjukkan boleh memberi impak besar terhadap peluang untuk ditawarkan pekerjaan tetap selepas tamat latihan.
Akhirnya, latihan industri seharusnya menjadi satu pengalaman yang membina, di mana pelajar bukan sahaja memperoleh kemahiran teknikal tetapi juga keyakinan dan kesediaan untuk menghadapi cabaran alam pekerjaan sebenar.




