Niat mandi wajib ialah rukun utama yang membezakan antara mandi biasa dengan ibadah. Niat boleh dilakukan di dalam hati sebaik sahaja air pertama kali menyentuh mana-mana bahagian tubuh badan.
Walaupun lafaz niat tidak wajib, ia sunat dilakukan untuk membantu menghadirkan niat dalam hati.
Selain niat, satu lagi rukun mandi wajib ialah meratakan air ke seluruh anggota zahir. Jika kedua-dua rukun ini tidak dipenuhi, maka mandi tersebut tidak sah.
Menurut penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, niat hendaklah dilakukan serentak ketika basuhan pertama mengenai anggota badan.
Berikut dikongsikan lafaz niat mandi wajib untuk lelaki dan perempuan, cara mandi wajib yang sah serta penjelasan lanjut berkaitan hukum dan keperluannya.
Ringkasan Mandi Wajib & Lafaz Niat
Mandi wajib hanya sah sekiranya memenuhi dua rukun utama berikut:
- Niat: Dilakukan dalam hati sebaik sahaja air pertama kali menyentuh mana-mana bahagian tubuh.
- Lafaz niat mandi wajib paling ringkas: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala.”
- Meratakan Air: Memastikan air mutlak sampai ke seluruh anggota zahir (kulit, rambut, dan kuku) tanpa sebarang halangan.
Trending sekarang
Maksud Mandi Wajib
Mandi wajib ialah mandi yang diwajibkan ke atas setiap Muslim untuk mengangkat hadas besar seperti selepas bersetubuh, keluar mani, haid atau nifas.
Mandi ini memastikan seseorang berada dalam keadaan suci dan sah menunaikan ibadah seperti solat dan tawaf.
Definisi mandi menurut bahasa ialah mengalirkan air kepada seluruh badan. Dari sudut syarak pula, ia bermaksud mengalirkan air ke seluruh tubuh dengan niat tertentu.
Allah SWT memerintahkan hambaNya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.
Bila Perlu Mandi Wajib?
Mandi wajib perlu dilakukan oleh setiap Muslim apabila berhadas besar. Hadas besar berlaku dalam beberapa keadaan, antaranya:
| Keadaan | Perlu Mandi Wajib? | Keterangan |
|---|---|---|
| Bersetubuh | Ya | Wajib mandi hadas walaupun tidak keluar air mani. |
| Keluar mani | Ya | Sama ada melalui persetubuhan atau mimpi basah. |
| Haid | Ya | Selepas tempoh haid selesai, wanita wajib mandi untuk bersuci. |
| Nifas | Ya | Selepas tempoh nifas selesai, wanita wajib mandi untuk bersuci. |
| Bersalin | Ya | Untuk menyucikan diri selepas melahirkan anak. |
| Mimpi basah | Ya | Jika keluar mani, mandi wajib perlu dilakukan. |
Lafaz Niat Mandi Wajib (Teks Arab, Rumi & Maksud)
Niat mandi wajib secara umumnya adalah sama bagi lelaki dan perempuan.
Namun, terdapat lafaz khusus mengikut sebab mandi tersebut (Junub, Haid, atau Nifas) untuk membantu menghadirkan niat yang lebih spesifik.
Niat mandi wajib boleh dibaca dalam hati atau dilafazkan melalui mulut apabila air telah menyentuh kulit tubuh kita.
Berikut adalah lafaz niat mandi wajib untuk lelaki dan perempuan:
1. Niat Mandi Wajib Umum (Paling Ringkas)
Ini adalah niat yang paling lazim digunakan dan sah untuk semua jenis hadas besar.
- Teks Arab: نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الْأَكْبَرِ لِلَّهِ تَعَالَى
- Lafaz Rumi: Nawaitu raf’al hadathil akbari lillahi ta’ala
- Maksud: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala.”
Maksud: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala
2. Niat Mandi Wajib Mengikut Jenis Hadas
Selain dari niat umum diatas, niat mandi wajib juga boleh dibaca secara khusus untuk Junub, Haid dan Nifas, seperti dibawah:
| Jenis Mandi Wajib | Lafaz Dalam Bahasa Arab | Lafaz Rumi (Transliterasi) | Maksud / Terjemahan |
| Junub / Janabah | نَوَيْتُ الْغُسْلَ مِنَ الْجَنَابَةِ لِلَّهِ تَعَالَى | Nawaitul ghusla minal janabati lillahi ta’ala | Sahaja aku mandi junub kerana Allah Ta’ala. |
| Selepas Haid | نَوَيْتُ رَفْعَ حَدَثِ الْحَيْضِ لِلَّهِ تَعَالَى | Nawaitu raf’al hadathil haidi lillahi ta’ala | Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Ta’ala. |
| Selepas Nifas | نَوَيْتُ رَفْعَ حَدَثِ النِّفَاسِ لِلَّهِ تَعَالَى | Nawaitu raf’al hadathil nifasi lillahi ta’ala | Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Ta’ala. |
| Wiladah (Bersalin) | نَوَيْتُ رَفْعَ حَدَثِ الْوِلَادَةِ لِلَّهِ تَعَالَى | Nawaitu raf’al hadathil wiladati lillahi ta’ala | Sahaja aku mengangkat hadas wiladah kerana Allah Ta’ala. |
Rukun Mandi Wajib
Berdasarkan garis panduan syarak, mandi wajib hanya dianggap sah sekiranya memenuhi dua rukun utama ini. Iaitu:
1. Niat
Niat dilakukan bertujuan membezakan antara mandi biasa (membersihkan diri) dengan ibadah (mengangkat hadas).
- Waktu Niat: Niat mesti dihadirkan dalam hati tepat pada saat air mula menyentuh mana-mana bahagian anggota badan (kulit atau rambut).
- Lafaz: Boleh dilakukan dalam bahasa apa pun dalam hati, contohnya: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala.” Lafaz niat tidak wajib tetapi sunat.
2. Meratakan Air ke Seluruh Anggota Zahir
Air mestilah sampai ke seluruh permukaan kulit, kuku, dan rambut tanpa ada halangan. Jika ada bahagian yang tidak terkena air, mandi wajib menjadi tidak sah.
Tatacara Mandi Wajib
Langkah-langkah mandi wajib berikut merupakan tatacara mandi wajib berdasarkan sunnah dan adab yang dianjurkan di dalam Islam.
- Hadapkan badan ke arah kiblat.
- Kemudian basuh kedua-dua tangan sebanyak tiga kali.
- Seterusnya, beristinjak yakni membasuh kemaluan, membuang najis dan benda-benda yang dapat menghalang sampainya air ke kulit badan kita.
- Berwuduk dengan niat; Sahaja aku berwuduk bagi melakukan mandi wajib, sunat kerana Allah Taala.
- Membaca Basmallah dan berniat sambil mencurahkan air ke seluruh badan.
- Pastikan anda meratakan air ke seluruh tubuh, termasuk ke celah-celah jari-jari tangan, kaki, pangkal rambut, janggut, cuping telinga, lubang hidung, pusat dan lubang dubur. Rambut yang terikat hendaklah diuraikan. Apabila air tidak kena pada salah satu daripada anggota badan maka mandi itu masih belum dianggap sempurna sahnya.

Ringkasan Perkara Sunnah Semasa Mandi Wajib
Bagi meningkatkan kualiti ibadah, amalkan perkara sunnah berikut:
- Menghadap Kiblat: Semasa melakukan mandi.
- Mendahulukan Bahagian Kanan: Mengikut sunnah Nabi SAW.
- Membasuh Sebanyak 3 Kali: Bagi setiap anggota badan.
- Membaca Doa Selepas Wuduk: Setelah selesai mandi sepenuhnya.
Doa Selepas Mandi Wajib
Setelah selesai mandi wajib, baca doa ini:
- Teks Arab: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
- Rumi: “Ashhadu an lā ilāha illallāhu wahdahu lā syarīka lah, wa ashhadu anna Muḥammadan ‘abduhu wa rasūluh”
- Maksud: “Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan saya bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.”
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut dan persoalan-persoalan berkaitan mandi wajib, sila layarI:
- Portal rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
- Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- Portal My Hadith JAKIM
Soalan Lazim Niat Mandi Wajib
Tidak wajib dilafazkan. Cukup berniat dalam hati ketika basuhan pertama mengenai anggota badan. Lafaz niat hanya sunat untuk membantu menghadirkan niat.
Ya, mandi wajib sah selagi air mutlak dan sampai ke seluruh anggota tubuh termasuk kepala dan rambut.
Tidak wajib. Cukup pastikan air merata ke seluruh badan dan rambut. Jika ada bahagian yang terlepas, basuh semula bahagian tersebut.
Sunat sahaja. Wuduk sebelum mandi tidak wajib, tetapi boleh membantu menyempurnakan kesucian sebelum meratakan air ke seluruh badan.
Niat dilakukan di dalam hati ketika basuhan pertama mengenai anggota badan, sebelum ratakan air ke seluruh tubuh.
Jika salah satu rukun mandi wajib (niat + meratakan air) tidak dipenuhi, mandi dianggap tidak sah dan ibadah seperti solat atau tawaf tidak sah sehingga mandi sempurna.
Jika anda tidak melakukan perkara yang membatalkan wuduk (seperti menyentuh kemaluan tanpa alas atau membuang angin) semasa atau selepas mandi, anda tidak perlu berwuduk lagi untuk solat. Ini kerana mandi wajib sudah pun mengangkat hadas besar dan kecil sekaligus.
Mandi wajib tidak sah sekiranya terdapat bahan yang menghalang air sampai ke anggota zahir (kulit dan kuku). Pewarna kuku yang tidak telap air atau kesan gam/cat mestilah dibersihkan sepenuhnya sebelum mandi.
BACA JUGA: Mandi Wajib Selepas Sahur : Sah Atau Tidak Puasa Jika Masih Junub Ketika Subuh?




