Pernah tak masa hantar kereta pergi kedai tayar, lepastu pekerja bengkel tanya, “nak tayar saiz apa? 195/55 ke atau 205/55?” Lepas tu kita pun tergamam, terus angguk je sebab tak faham apa maksud nombor-nombor tu.
Sebenarnya, nombor dan huruf yang bertulis dekat dinding sisi (sidewall) tayar kereta anda tu bukan hiasan tau.
Itulah ‘kod rahsia’ yang menyimpan segala info penting pasal spesifikasi, had laju, dan ‘tarikh lahir’ tayar kereta anda.
Kalau tersalah pilih saiz atau gred, bukan je poket boleh bocor, tapi nyawa anda dan keluarga pun boleh melayang dekat atas jalan raya!
Jom rujuk maksud kod tayar kereta dan tips keselamatan berkaitan pemanduan di bawah.
Apa Maksud Kod Tayar Kereta?
Secara ringkasnya, kod pada tayar kereta ialah maklumat spesifikasi rasmi yang menetapkan had limit keupayaan tayar tersebut.
Ia merangkumi segala aspek bermula daripada ukuran fizikal tayar, struktur binaan, kapasiti berat yang boleh ditampung, sehinggalah had kelajuan maksimum yang selamat untuk dipandu.
Tanpa kod ini, pemandu boleh tersilap memasang tayar yang terlalu nipis, terlalu lebar, atau tayar yang tidak mampu menampung berat kenderaan.
Hal ini sangat berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kemalangan ngerI.
Kenapa penting tahu kod tayar?
- Elak pasang tayar yang tidak sesuai dengan kenderaan.
- Menjaga kestabilan, cengkaman, dan keselamatan pemanduan.
- Memastikan tayar menampung beban kenderaan dengan betul.
Cara Baca Kod Tayar Kereta
Berdasarkan contoh infografik di bawah, jom kita belajar cara baca kod tayar kereta mari kita rungkai maksud setiap kombinasi nombor dan huruf tersebut satu per satu:
KOD TAYAR KERETA: 195 / 55 R 16 87 V
- 195 (Lebar Tayar) – Lebar tayar dalam unit mm. 195 mm. Lagi besar nombor ini, bermakna lagi lebar permukaan tayar yang mencengkam jalan
- 55 (Nisbah Profil) – Menunjukkan ketinggian dinding sisi tayar dalam bentuk peratus (%) daripada lebar tayar. Nilai 55% di sini bermaksud tinggi dinding sisi tayar tersebut ialah 55% daripada 195 mm (iaitu sekitar 107 mm).
- R (Struktur Tayar): Mengesahkan binaan dalaman tayar ini adalah jenis Radial.
- 16 (Diameter Rim): Saiz rim (inci)
- 87 (Indeks Beban): Kapasiti maksimum berat yang boleh ditampung oleh sebiji tayar apabila diisi angin secukupnya.
- V (Simbol Kelajuan): Indeks kelajuan maksimum yang dibenarkan
Kod 4 Angka: Cara Nak Tahu Tayar Tu Baru Atau Stok Lama
Pernah tak dengar cerita orang beli tayar baru tapi baru pakai setahun dah merekah atau meletup? Itu tanda dia terbeli tayar stok lama yang dah tersimpan bertahun-tahun kat stor!
Nak tahu tayar tu dibuat bila, cari kod 4 angka yang ada dalam petak bujur kecil dekat tepi tayar. Contohnya kod 2524:
- 25 (Dua digit pertama): Merujuk kepada minggu tayar tu dibuat. Minggu ke-25 maksudnya tayar ni dihasilkan sekitar bulan Jun.
- 24 (Dua digit terakhir): Merujuk kepada tahun tayar tu dikilangkan iaitu tahun 2024.
Kod DOT XXXX 2524 bermaksud:
| Kod | Maksud |
|---|---|
| DOT | Pengesahan tayar mematuhi standard keselamatan antarabangsa. |
| XXXX | Identiti pengeluar, lokasi kilang geografi, dan spesifikasi siri tayar. |
| 25 | Minggu ke-25 tayar itu siap dikilangkan (sekitar bulan Jun). |
| 24 | Tahun tayar tersebut dikeluarkan (Tahun 2024). |
Jadi lepasni, kalau pergi bengkel nak tukar tayar tapi pekerja bagi harga murah sangat, cuba semak kod tahun. Biasanya harga murah tu sebab tayar menunjukkan tahun yang dah lama.
Fikirlah dua tiga kali sebelum beli sebab kemungkinan besar getah tayar tu dah mula keras dan kurang mencengkam.
Bila Perlu Tukar Tayar?
Tayar kereta perlu ditukar segera apabila ia mengalami salah satu daripada tanda-tanda utama kerosakan atau telah mencapai had masa tertentu. Iaitu:
- Bunga Tayar Dah Botak (Paras TWI): Cari bonggol kecil di dalam alur bunga tayar yang dikenali sebagai Tread Wear Indicator (TWI). Jika ketebalan bunga tayar sudah sama rata dengan bonggol TWI ini (kurang daripada 1.6mm), ini bermaksud tayar tersebut sudah botak dan sangat licin ketika hujan.
- Tayar Merekah (Mereput): Lihat pada dinding sisi (sidewall) tayar. Jika ada urat-urat rekahan halus akibat kesan cuaca panas, struktur getah tayar itu sudah reput, keras, dan berisiko tinggi untuk meletup.
- Tayar Bengkak (Melonjong): Jika tayar terkena lubang jalan yang dalam dengan impak kuat, struktur besi di dalam tayar boleh putus. Ini menyebabkan angin menolak getah keluar hingga menjadi bengkak atau macam ada ‘bisul’. Tayar sebegini boleh meletup pada bila-bila masa.
- Cengkaman Kereta Terasa Gelongsor: Jika anda memandu dalam kelajuan biasa waktu hujan dan terasa kereta mudah gelongsor atau sistem ABS kerap berbunyi ketika brek, itu tanda getah tayar sudah hilang sifat cengkamannya.
- Jarak Pemanduan (40,000 km – 50,000 km): Bagi pemandu harian (daily commuter), bunga tayar biasanya akan mula menipis selepas mencapai jarak pemanduan ini.
- Jangka Masa Penggunaan (3 hingga 5 Tahun): Jika kereta jarang bergerak dan bunga tayar masih tebal, tayar tetap wajib ditukar selepas 5 tahun digunakan. Getah tayar yang sentiasa terdedah pada berat kereta dan cuaca akan mengeras secara semula jadi selepas tempoh ini.
Rujukan: TyrePlus
Tips Keselamatan Pemanduan
Mengamalkan pemanduan berhemah bukan sahaja melindungi nyawa anda, malah memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Berikut ialah tips keselamatan pemanduan yang penting, dibahagikan mengikut kategori utama berdasarkan garis panduan keselamatan jalan raya di Malaysia:
1. Persediaan Sebelum Memandu (Pemeriksaan Kenderaan)
- Periksa Tayar: Pastikan tekanan angin mencukupi dan bunga tayar tidak botak (melebihi paras TWI 1.6mm).
- Uji Fungsi Lampu: Pastikan lampu hadapan, lampu brek, dan lampu isyarat (signal) berfungsi dengan baik sebelum bergerak.
- Cecair Kenderaan: Semak paras minyak hitam, minyak brek, dan air tangki radiator bagi mengelakkan enjin rosak atau rosak di tengah jalan.
- Pelarasan Tempat Duduk & Cermin: Laraskan cermin sisi dan cermin pandang belakang untuk mengurangkan kawasan titik buta (blind spot).

2. Semasa Di Atas Jalan Raya (Amalan Pemanduan Selamat)
- Patuhi Had Laju: Pandu mengikut had laju yang ditetapkan (contohnya 110 km/j di lebuh raya utama).
- Kekalkan Jarak Selamat: Gunakan ‘Peraturan 2 Saat’ untuk mengekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan bagi mengelakkan pelanggaran jika berlaku brek kecemasan.
- Gunakan Lampu Isyarat: Beri isyarat sekurang-kurangnya 3 saat sebelum menukar lorong atau membelok untuk memberi amaran kepada pemandu lain.
- Fokus Sepenuhnya: Elakkan gangguan di dalam kereta seperti menggunakan telefon bimbit, menyunting navigasi GPS semasa memandu, atau makan.
3. Pemanduan Dalam Keadaan Mencabar (Hujan & Waktu Malam)
- Perlahankan Kenderaan Waktu Hujan: Jalan basah mengurangkan cengkaman tayar dan boleh menyebabkan aquaplaning (kereta tergelincir di atas air).
- Pasang Lampu Hadapan (Bukan Lampu Hazard): Sentiasa pasang lampu utama apabila hari hujan lebat atau waktu malam. Jangan pasang lampu kecemasan (hazard light) semasa kereta sedang bergerak kerana ia mengelirukan pemandu lain.
- Beri Jarak Lebih Jauh: Gandakan jarak selamat dengan kenderaan hadapan semasa hujan kerana jarak brek bertambah apabila jalan licin.

4. Etika & Pengurusan Emosi
- Amalkan Pemanduan Defensif: Sentiasa beralah dan bersedia menghadapi kecuaian pemandu lain.
- Rancang Perjalanan: Gunakan aplikasi navigasi untuk menyemak aliran trafik bagi mengelakkan pemanduan tergesa-gesa akibat mengejar masa.
- Berehat Jika Mengantuk: Jika memandu jarak jauh, berhenti rehat di kawasan Rehat & Rawat (R&R) setiap 2 jam atau 200 km bagi mengelakkan microsleep.
Maklumat Lanjut
Untuk dapatkan maklumat lanjut dan info terkini mengenai pemanduan di Malaysia, sila rujuk:
Soalan Lazim Maksud Kod Tayar Kereta
Boleh, tetapi ada syaratnya. Pastikan ia tidak terkeluar daripada acuan badan kereta (fender) dan tidak menjejaskan fungsi pusingan tayar. Penukaran saiz yang terlampau ekstrem tanpa kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada JPJ boleh menyebabkan anda disaman kerana melakukan modifikasi berbahaya.
Huruf ini merujuk kepada jenis reka bentuk kenderaan yang sesuai untuk tayar tersebut:
– P (Passenger Car): Untuk kereta penumpang biasa (sedan, hatchback, SUV).
– LT (Light Truck): Untuk trak ringan, van, atau pacuan 4 roda (4×4) yang membawa beban berat.
– T (Temporary): Tayar gantian (spare tyre) jenis jimat ruang yang hanya boleh digunakan sementara waktu sahaja
Sangat berbahaya. Jika kereta anda dipandu laju melebihi had abjad tayar tersebut, tayar akan mengalami overheating (haba melampau).
Bukan. Indeks beban (contohnya kod 87) merujuk kepada kapasiti berat maksimum yang mampu ditampung oleh sebiji tayar sahaja.





