Ladang Bunga Matahari Bagan Datuk, Perak : Harga Tiket dan Waktu Operasi

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Mungkin ramai yang tak tahu sebenarnya anda boleh nikmati keindahan pemandangan ladang bunga matahari di Malaysia sendiri. Tak perlu merentas sempadan ke Thailand atau ke negara musim bunga lain.

Jangan tak percaya di Ladang Bunga Matahari yang terletak di Bagan Sungai Burung, Bagan Datuk, Perak, anda boleh nikmati sendiri keindahan sebanyak lebih 2,000 pokok bunga matahari di ladang seluas 0.8 hektar!

Lebih menarik lagi, anda bukan sahaja boleh melihat bunga matahari sejauh mata memandang, malah terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini.

Dimiliki oleh Khor Weng Kiang, beliau telah mengusahakan taman bunga ini bersama kakak dan lima lagi rakan baiknya sejak 2019 bagi merancakkan sektor pelancongan domestik.

Pemilik yang berusia awal 50an itu berkata idea mula timbul apabila melihat pelancong dari luar yang suka mengambil gambar dengan pokok bunga matahari yang tumbuh di tepi jalan.

Dari situ, beliau melihat tarikan dan potensi tersendiri yang dimiliki oleh bunga dengan nama saintifik Helianthus annuus ini.

Meskipun menghadapi cabaran akibat berdepan dengan pandemik Covid-19, namun taman bunga yang ini berjaya bertahan dan kini mampu menerima sehingga 400 pengunjung pada setiap hari!

Kalau anda tidak mahu berpanas, kami cadangkan anda untuk berkunjung pada awal pagi atau lewat petang.

Anda juga berpeluang untuk nikmati panorama matahari terbenam di taman bunga yang indah ini pada waktu senja.

Aktiviti di Ladang Bunga Matahari

Selain menikmati panorama bunga matahari yang indah, pengunjung turut berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti memberi makan kepada ikan dan itik serta bergambar di taman bunga dan pelbagai backdrop menarik seperti replika kincir angin, buaian, tangga tergantung dan arca berbentuk hati.

Ladang Bunga Matahari
Ladang Bunga Matahari
Ladang Bunga Matahari
Ladang Bunga Matahari

Harga Tiket, Waktu Operasi Ladang Bunga Matahari Bagan Sungai Burung

Bagi yang berminat untuk berkunjung ke Sunflower Garden ini, berikut dikongsikan butiran mengenainya :

Harga Tiket :

  • Kanak-kanak umur 3-6 tahun : RM 5
  • Kanak-kanak umur 7 – 12 tahun : RM 10
  • Dewasa : RM 13

Waktu Operasi : 8.00 pagi – 7.30 malam

Alamat : Sunflower Garden. A128, Bagan Sungai Burung, 36100 Bagan Datuk, Perak Darul Ridzuan

Lokasi :

Nombor telefon : 016-232 0031

Facebook : Ladang Bunga Matahari Bagan Sungai Burung BAGAN DATUK PERAK

Jadi, tunggu apa lagi? Bagi yang sedang merancang percutian ke Perak, jangan lupa untuk berkunjung ke Taman Bunga Matahari atau Sunflower Garden yang terkenal ini.

Ia pasti bakal memberikan pengalaman yang luarbiasa buat anda dan orang tersayang.

Sumber : Facebook Ladang Bunga Matahari Bagan Sungai Burung BAGAN DATUK PERAK, Sinar Harian

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut