Siapa yang sering menonton rancangan berbentuk keagamaan dan informasi di televisyen pasti tidak asing lagi dengan nama Hana Ismail.
Si cantik manis ini sering muncul di kaca televisyen dan mencuri ramai mata yang memandang dengan kepetahannya mengacara, suaranya yang merdu dan gayanya yang lemah lembut.
Untuk artikel pada kali ini, kami akan membawa anda mengenali dengan lebih rapat dengan sosok individu cukup dikenali ramai, Hana Ismail.
Latar Belakang

| Nama | Nurulhana Ismail |
| Nama Panggilan | Hana Ismail, Hana, Hana Al-Mauzah |
| Umur | 38 tahun |
| Tempat Lahir | Johor Bahru, Johor |
| Pendidikan | Ijazah Sarjana Muda dalam TESL (Teaching of English as Second Language), UiTM |
| Pekerjaan | Personaliti TV, Hos, Content Creator, Produser, Emcee |
| Akaun Media Sosial | Instagram @hanaalmauzah TikTok @hanaalmauzah_ Facebook @hanaalmauzah Youtube @benanatv |
Kehidupan Peribadi



Hana Ismail berkahwin dengan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal bin Syed Mohd Shaiful Jamalullail (Dai Syed) pada 3 Disember 2022 yang lalu.
Pasangan ini kemudian menimang cahaya mata sulung perempuan, Sharifah Fatma Nour Jamalullail pada pukul 2.06 petang pada 14 Ogos lalu.

Kerjaya & Profesional Hana Ismail
Hana Ismail memulakan kerjayanya dalam bidang pengacaraan sebagai finalis program On Air kendalian Astro pada tahun 2012. Bakatnya seangkatan dengan hos Dahlia Shazwan dan Hefny Saad ketika sama-sama menyertai rancangan realiti televisyen tersebut.
Potensi dan bakatnya dalam bidang penyiaran mula dilihat sehingga beliau disunting oleh pihak Astro pada tahaun 2012.
Hana Ismail mula dikenali selepas tampil menghiasi program di bawah Astro seperti Buletin Awani, Raikan Cinta dan PM Live!
Beliau juga semakin popular sebagai seorang personaliti dan pengacara TV Al-Hijrah. Beliau sering tampil di kaca televisyen menerusi rancangan, majlis serta aktiviti keagamaan seperti Assalamualaikum TV Alhijrah dan Kemanisan Iman Bersama Al Quran.
Dai’Syed Jalani Hukuman 10 Tahun Penjara, 3 Sebatan
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap pendakwah selebriti, Da’i Syed, selepas menolak rayuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Mahkamah juga menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman dan mengarahkan tertuduh dihantar ke Penjara Kajang dengan segera bagi menjalani hukuman berkenaan. Keputusan itu dibuat selepas mahkamah berpuas hati bahawa sabitan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan adalah kukuh dan tiada kekhilafan dalam dapatan Mahkamah Sesyen.
Tertuduh yang berada di kandang tertuduh dilihat sebak ketika keputusan dibacakan. Mahkamah menegaskan bahawa kesalahan rogol merupakan kesalahan berat, manakala hukuman yang dijatuhkan adalah wajar serta tidak berlebihan atau bercanggah dengan undang-undang.
Mahkamah turut mendapati pembelaan tertuduh sekadar penafian dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Selain itu, mahkamah atasan tidak seharusnya mencampuri dapatan fakta yang dibuat oleh mahkamah bawahan kecuali sekiranya wujud kesilapan yang nyata.
Sebagai rekod, pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen Shah Alam mensabitkan Da’i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, atas kesalahan merogol seorang wanita pada tahun 2019 di sebuah kondominium di i-City, Shah Alam, dan menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun serta tiga sebatan.
Namun demikian, selepas menjalani hukuman penjara selama 21 hari di Penjara Kajang, tertuduh dibebaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu pendengaran rayuan utamanya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut.
Kes ini bermula apabila tertuduh didakwa pada 10 Disember 2020 atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di i-City, Seksyen 7, pada 11 September 2019.
“Saya Kuat…” – Hana Redha Suami ke Penjara
Hana menyatakan dirinya akur dan reda dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas suaminya diperintahkan menjalani hukuman penjara.
“Tiada komen. Insya-Allah saya kuat dan Allah akan urus serta permudahkan segala urusan,” katanya ketika ditemui.
Menurut Hana, segala tindakan dan urusan seterusnya diserahkan sepenuhnya kepada peguam yang mewakili suaminya. “Saya serahkan semuanya kepada peguam dan hanya berdoa kepada Allah sahaja. Insya-Allah, saya bertawakal,” ujarnya.
Terdahulu, Hana hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menemani Da’i Syed untuk mendengar keputusan rayuan yang disampaikan pada pagi Jumaat.

Kesimpulan
Setiap manusia akan diberikan ujian masing-masing. Namun bukanlah tugas kita untuk mengeji dan melontarkan cacian sesama sendiri.
Sama-sama kita doakan semoga Hana Ismail dan seluruh keluarga dapat menjalani ujian ini dengan penuh sabar dan tabah. Dan juga mangsa yang terlibat diberikan kekuatan untuk menjalani kehidupan seterusnya.
Baca juga:




